suria

Dari dunia fesyen ke Balai Seni Negara... Tom Abang Saufi ada strategi bela nasib pelukis, ubah mentaliti masyarakat hargai karya seni

Tom Abang Saufi yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam bidang fesyen kini menerajui Balai Seni Visual Negara. Foto MUHAMAD SHAHRIL ROSLI

SETIAP kali melihat motif batik Sarawak, pasti ramai daripada kita akan teringatkan pereka fesyen terkenal, Datuk Tom Abang Saufi.

Berpengalaman lebih 30 tahun dalam industri fesyen, Tom sudah mengecap pelbagai kejayaan terutamanya bagi mengangkat seni dan budaya Sarawak dalam setiap rekaannya.

Maka tidak hairan, Tom cukup sinonim dengan batik Sarawak malah sentiasa menggayakannya dalam apa juga acara yang dihadirinya.

ARTIKEL BERKAITAN: Hasil gabungan 2 generasi, 'lahir' parang buatan anak Malaysia ke seantero dunia

Kini, wanita berusia 65 tahun itu bukan sahaja seorang pereka fesyen tetapi menggalas tanggungjawab baharu sebagai Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual sejak Mei lalu.

"Jujurnya ini bukan bidang kepakaran saya memandangkan saya datang daripada dunia fesyen tetapi pelantikan ini amat bermakna dan penghormatan luar biasa buat diri saya.



Tom melihat seni lukisan yang dipamerkan di Balai Seni Negara.

"Saya sentiasa berpegang bahawa setiap hari adalah proses pembelajaran dan itu yang akan saya lakukan apabila diberi tanggungjawab ini.

"Seni sudah menjadi sebahagian daripada hidup saya dan tugas baharu ini adalah salah satu cabang yang akan saya terokai dalam membawa Balai Seni Negara ke tahap lebih tinggi," katanya kepada mStar.

Tom ditemui pada majlis ramah mesra bersama media yang diadakan di Balai Seni Negara baru-baru ini.

Perbezaaan fesyen, seni bukan halangan buat Tom

Teruja dengan tugas baharunya itu, Tom memberitahu dia tidak melihat perbezaan bidang sebagai penghalang untuknya, sebaliknya memberitahu fesyen dan seni dalam bidang yang sama.

Malah kata Tom, dia melihat pengalamannya selama 30 tahun dalam bidang fesyen dan perhubungan awam banyak memberi kelebihan dalam menghubungkan dua cabang tersebut menjadi satu.



Tom mempunyai pelbagai perancangan untuk membawa Balai Seni Negara ke tahap lebih tinggi.

"Saya mungkin datang daripada bidang berbeza tetapi saya yakin dapat memanfaatkan pengalaman saya seperti menggunakan rangkaian saya dalam fesyen serta memberi input dalam memberi nilai komersial pada Balai Seni Negara.

"Daripada apa yang saya lihat, Balai Seni Negara mempunyai fasiliti yang cukup mengagumkan dan kehebatan ini saya sendiri tidak sedar sebelum ini, apatah lagi orang ramai.

"Dengan suntikan segar dan perancangan yang betul, saya yakin ia boleh menarik minat lebih ramai pengunjung terutamanya dalam kalangan generasi muda dan kanak-kanak," ujarnya.

Fokus kepada artis, media sosial

Tidak hanya memfokus kepada itu, Tom juga memberitahu beliau mahu melihat nasib pelukis terbela terutamanya dalam situasi tidak menentu akibat Covid-19 ketika ini.

Atas dasar itu juga, Tom memberitahu sedang merangka strategi virtual dalam memastikan pameran kesenian terus berlangsung serta membolehkan masyarakat menikmati hasil seni tanpa perlu berada secara fizikal.



Tugas baharu di Balai Seni Negara bukan bererti Tom melupakan cintanya terhadap fesyen.

Ini termasuklah memastikan penggunaan media sosial seperti Instagram dan YouTube dimaksimumkan sebagai medium baharu dalam memperkenalkan hasil karya yang terdapat di Balai Seni Negara dan mempromosikan artis.

"Platform digital sangat penting dan dapat memberi pendedahan lebih besar kepada artis dan karya tempatan kerana capaiannya tidak terbatas.

"Menerusi media sosial juga kita bukan sahaja boleh mempromosikan produk dan seni kita, tetapi menjadikan ia medium untuk menjana pendapatan terutamanya pada situasi tidak menentu ketika ini," katanya.

Cukup optimis dapat membawa perubahan pada Balai Seni Negara, Tom memberitahu objektifnya ingin melihat lokasi itu menjadi tumpuan utama orang ramai dengan pengisian pelbagai aktiviti.

Kata Tom, dia berhasrat untuk mengubah kebiasaan segelintir daripada masyarakat yang lebih suka menghabiskan masa di pusat beli-belah ke pameran seni yang sarat dengan pengetahuan dan keseronokan.



Tom berharap akan lebih ramai pengunjung hadir ke Balai Seni Negara terutamanya dalam kalangan generasi muda.

"Cita-cita saya hendak melihat Balai Seni Negara menjadi tumpuan orang ramai terutamanya ibu bapa yang membawa anak-anak untuk menikmati dan menghargai karya seni.

"Jika dilihat di negara asing seperti di Eropah, kanak-kanak sudah didedahkan kepada seni sejak kecil dan saya mahu lihat perkara sama berlaku di Malaysia.

"Kita sendiri mempunyai pelukis dan karya yang hebat dan ia perlu diketengahkan kepada orang ramai," katanya.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain