suria

Pernah disangka artis Korea, penuntut ketenteraan di Kanada ini tak buang masa... kini bergelar model - “Restu ibu bapa paling penting”

Fahmi masih lagi menuntut di Royal Military College Saint-Jean, Kanada (RMCSJ).

TUAH ayam nampak dikaki, tuah manusia siapa yang tahu!

Pepatah tersebut cukup sesuai menggambarkan mengenai perjalanan seorang pemuda yang pernah tular di media sosial sebanyak dua kali sebelum ini sehingga namanya menjadi sebutan.

ARTIKEL BERKAITAN: Remaja pulang dari Kanada buat kejutan, reaksi ibu Fahmi paling kelakar!

ARTIKEL BERKAITAN: Anak Malaysia di Kanada disangka artis Korea, ramai gadis cuba nasib buat jejaka ini keliru - “Kalau ambil serius nanti orang cakap perasan pula”

Sesungguhnya Disember 2018 mengubah hidup Muhammad Fahmi Mohd Yunus apabila video kejutan yang dibuat kepada ibu bapanya mendapat perhatian netizen apabila dia secara tiba-tiba muncul di depan pintu rumah selepas lima bulan melanjutkan pelajaran ke Royal Military College Saint-Jean, Kanada (RMCSJ).



Nama Fahmi pernah tular sebanyak dua kali sebelum ini sehingga dia mendapat perhatian netizen.

Setahun kemudian, Fahmi sekali lagi menjadi 'buruan' netizen apabila gambarnya yang lengkap berpakaian tentera di Kanda turut tular di media sosial.

Ramai terpesona dengan ketampanan pemuda berusia 20 tahun itu dan mengatakan wajahnya mirip pelakon dan penyanyi popular Korea Selatan, Teacyeon.

Perhatian yang diberikan kepada dirinya juga telah membuka lembaran baharu dalam hidupnya apabila dilamar sebagai model oleh sebuah agensi tempatan, AUNim Modelling.



Segak... Fahmi adalah pelajar pertama dari Malaysia yang diterima masuk ke Royal Military College Saint-Jean, Kanada (RMCSJ).

Setuju bergelar model kerana elemen keislaman

Tidak pernah bermimpi untuk bergelar seorang model, Fahmi yang masih menuntut di Kanada bagaimanapun memberitahu dia tertarik dengan tawaran tersebut kerana melihat objektif yang diketengahkan oleh agensi itu berbeza.

Ini termasuklah, ia menerapkan nilai keislaman yang diyakini dapat menjadi platform motivasi terbaik buat generasi baharu.

"Model-model yang ditampilkan juga kebanyakannya mempunyai latar belakang cukup mengagumkan seperti pramugara, anggota bomba, polis, tentera malah dalam bidang agama.

"AUNim Modelling bukan sahaja mengetengahkan kami sebagai model tetapi menjadikan ia sebagai wadah untuk menyebarkan syiar Islam termasuk dalam adab berpakaian, percakapan, pembawakan diri, bacaan al-Quran dan sebagainya.



Gaya seorang model... Fahmi kini bernaung di bawah AUNim Modeling.

"Itu membuatkan saya tertarik untuk menyertai agensi itu kerana merasakan ia dapat menjadi ruang motivasi, bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi orang lain," katanya kepada mStar.

Kembali ke Malaysia sejak April lalu ekoran penularan Covid-19 di Kanada, Fahmi memberitahu dia juga sempat menyiapkan beberapa sesi fotografi selain membantu penghasilan video untuk laman sosial agensi itu pada waktu lapang.

Malah, pihak agensinya turut bercadang untuk mengadakan beberapa aktiviti lain termasuk kebajikan yang cukup menjadi perhatiannya.

"Sudah beberapa kali mereka mengadakan aktiviti kebajikan tetapi saya tidak berpeluang menyertai kerana berada di Kanada namun selepas tempoh PKP, agensi ada bercadang untuk mengadakannya lagi.



Fahmi (dua dari kiri) bersama keluarga tercinta ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri.

"Saya memang teruja kerana memang cukup suka dengan aktiviti kebajikan dan tidak banyak peluang yang dapat saya sertai sebelum ini. Sementara masih berada di Malaysia saya mahu gunakan waktu yang ada untuk aktiviti berfaedah," ujarnya yang juga anak keempat daripada enam adik-beradik itu.

Bercakap mengenai dirinya sebagai model, Fahmi bagaimanapun memberitahu dia tidak pernah berhasrat untuk menjadikan ia sebagai karier tetap kerana akan mengutamakan pelajaran dan kariernya dalam bidang ketenteraan selepas pulang ke Malaysia.

Malah Fahmi tidak berhasrat untuk mengembangkan karier seninya seperti berlakon atau menyanyi sekiranya diberi peluang berbuat demikian.

Saya tertarik untuk menyertai agensi itu sebagai model kerana merasakan ia dapat menjadi ruang motivasi, bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi orang lain.

FAHMI YUNUS

PENUNTUT ROYAL MILITARY COLLEGE SAINT-JEAN, KANADA/MODEL



Minat asal dalam bidang hiasan dalaman, kini penuntut Malaysia pertama di RMCSJ

Bercerita mengenai pengajiannya di RMCSJ Fahmi memberitahu dia bertuah kerana menjadi satu-satunya rakyat Malaysia yang melanjutkan pelajaran di sana selepas lulus ujian pengambilan ketika sedang berada dalam peringkat asasi di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) pada 2017.

Pada awalnya kata Fahmi, dia membuat permohonan menyambung pengajian di United States Air Force Academy (USAFA) namun gagal pada peringkat kedua ujian pengambilan.

"Sedih juga apabila tak dapat ke USAFA tetapi rezeki Allah itu tak pernah salah alamat apabila semua calon yang gagal diserapkan untuk mengambil ujian pengambilan di RMCSJ.



Fahmi bersama rakan-rakan di universiti ketika menjalani latihan ketenteraan.

"Alhamdulillah selepas menduduki semua ujian, saya dapat melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda di sana," katanya.

Ceritanya lagi, dia sangat gembira dan berbangga dapat menjadi pegawai kadet pertama dihantar ke sana namun sedar ia juga adalah tanggungjawab besar kerana turut membawa nama Malaysia di Kanada.

Namun dedah Fahmi, dia sebenarnya tidak pernah bercita-cita untuk menjadi seorang tentera kerana dia sangat meminati bidang hiasan dalaman dan arkitek.

Malah kata Fahmi, ketika membuat permohonan melanjutkan pelajaran ke universiti, dia meletakkan kursus itu sebagai pilihan utama sebelum mengubah fikiran.



Fahmi tidak berhasrat untuk mengembangkan karier dalam bidang lakonan atau nyanyian.

"Bapa saya pegawai tentera dan semua adik-beradik lain tiada yang mengikut jejak langkahnya dan apabila abang saya minta saya pertimbang melanjutkan pengajian di UPNM, saya terfikir mengapa tidak.

"Alhamdulillah keputusan saya buat itu telah membawa diri saya ke tahap sekarang dan itu juga adalah takdir yang ditentukan oleh Allah buat saya," katanya yang bakal bergelar Pegawai Tentera Udara selepas menamatkan pengajian menjelang Mei 2022.

Jadikan bapa sebagai inspirasi

Dalam pada itu, Fahmi turut menjadikan bapanya yang juga Ketua Pengarah Operasi Logistik, Bahagian Logistik Pertahanan, Markas Angkatan Tentera Malaysia, Brig Jen Datuk Dr. Mohd Yunus Masjuki sebagai inspirasi untuknya berjaya dalam kariernya selepas ini.

Kata Fahmi, dia sentiasa menjadikan bapanya itu sebagai role model malah lelaki itulah paling gembira apabila dia dapat menyambung pengajian di Kanada.

"Bapa banyak beri nasihat, tunjuk ajar dan inspirasi kepada saya, bukan sahaja dalam pelajaran atau bidang ketenteraan tetapi dalam pelbagai hal.



Ibu dan bapanya adalah pendorong utama kejayaannya pada hari ini.

"Saya mahu jadi sepertinya dan berbakti kepada negara apabila habis pengajian nanti," katanya.

Tambah Fahmi, bapanya juga menyokong keputusannya untuk menyertai AUNim Modeling dan mahu melihatnya berjaya dalam semua bidang diceburi.

Malah katanya, dia sentiasa memastikan akan memaklumkan ibu bapanya bagi mendapatkan restu terhadap setiap keputusan dibuat kerana yakin doa dan restu mereka akan memudahkan semua urusannya.

"Tidak kiralah berapa usia kita, sejauh mana kita sudah pergi... Satu perkara yang tidak boleh dilupakan adalah doa dan restu ibu bapa kita.

"Itu yang saya pegang sehingga ke hari ini dan Alhamdulillah semua urusan saya dipermudahkan kerana adanya restu dan berkat mereka," ujarnya.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain