suria

Dari kru kabin ke pekerja restoran, Joel tak anggap ‘down grade’ diri - “Hidup perlu diteruskan, terokai perkara baharu”

Joel Lance Theseira berkhidmat selama tujuh tahun bersama AirAsia X sebelum bertugas di Santan cawangan Sunway Pyramid.

PADA awal Jun lalu, AirAsia Berhad menamatkan perkhidmatan 111 kru kabin daripada 1,900 keseluruhannya, 172 juruterbang termasuk 50 jurutera dalam usaha pengecilan operasi syarikat penerbangan tambang murah itu.

Joel Lance Theseira antara 111 kru kabin yang diberhentikan akibat penstrukturan semula tersebut selepas tujuh tahun berkhidmat bersama AirAsia X (AAX).

Ketika menerima berita tersebut, pemuda berusia 27 tahun itu mengakui cukup berasa terkesan dan sedih apabila terpaksa meninggalkan kerjaya yang dicintainya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pernah disangka artis Korea, penuntut ketenteraan di Kanada ini tak buang masa... kini bergelar model - “Restu ibu bapa paling penting”

Tidak hanya itu, pemuda itu memberitahu AirAsia adalah tempat dia 'membesar' dan menimba pengalaman sepanjang bergelar kru kabin, selain berat hati berpisah dengan All Star yang lain (panggilan staf AirAsia).



Joel memberitahu meskipun sedih terpaksa meninggalkan AirAsia namun dia kini gembira dengan tugas baharu di Santan.

"Memang ketika mendapat berita diberhentikan itu saya berasa sangat sedih dan itu adalah perkara biasa memandangkan saya sudah tujuh tahun bersama AirAsia.

"Tetapi pada masa sama, saya perlu memahami situasi semasa yang dihadapi oleh syarikat dalam meneruskan operasi terutama ketika berdepan pandemik ketika ini.

"Jadi meskipun sedih, ketika itu saya terima keputusan syarikat dengan hati terbuka serta percaya ada peluang lain buat saya di luar sana," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Kembali sebagai All Star di Santan!

Selepas hampir sebulan menganggur, anak kelahiran Melaka ini memberitahu dia tidak menyangka mendapat panggilan daripada AirAsia yang menawarkan jawatan di cawangan kedua Restoran Santan di Sunway Pyramid, Petaling Jaya.

Kata Joel, dia menganggap panggilan itu sebagai 'rezeki yang tidak pernah salah alamat' dan gembira apabila diberi peluang kedua untuk berkhidmat bersama anak syarikat AirAsia itu.



Joel (tiga dari kanan) bersama Pengurus Besar Santan, Catherine Goh (dua dari kanan) bersama staf lain Santan Sunway Pyramid.

"Saya sendiri tak menyangka akan kembali sebagai All Star meskipun di dalam lapangan berbeza namun saya cukup bersyukur dengan peluang yang diberikan.

"Sejujurnya saya akui agak sukar menyesuaikan diri dengan persekitaran pekerjaan baharu memandangkan sebagai kabin kru jadual kami tidak pernah tetap dan sentiasa 'terbang' ke pelbagai destinasi.

"Saya cukup bertuah kerana digandingkan dengan rakan sekerja yang banyak membantu saya memahami perkara baharu dan saya mula menyukai tugas saya sekarang.

"Memandangkan cawangan di Sunway Pyramid ramai dengan pelanggan, ia turut memberi saya peluang untuk belajar dengan lebih cepat," katanya.

Tambah Joel, pengalaman sebagai kru kabin juga banyak membantunya di Santan terutamanya kemahiran menguruskan makanan serta komunikasi dengan pelanggan.

Saya cukup bertuah kerana digandingkan dengan rakan sekerja yang banyak membantu saya memahami perkara baru dan saya mula menyukai tugas saya sekarang.

JOEL LANCE THESEIRA

BEKAS ALL STAR AIRASIA X

Pembukaan cawangan kedua Santan juga mewujudkan peluang pekerjaan bagi membantu bekas kakitangan industri penerbangan yang terkesan.

Mereka yang mempunyai latar belakang profesional dan berbeza seperti kru kabin dan perkhidmatan pelanggan akan dilatih semula dengan kemahiran untuk berhubung dengan pelanggan luar dan dalam talian Santan.

Bukan 'down grade', lebih banyak masa untuk diri sendiri

Sementara itu, ditanya mengenai perbezaan bekerja sebagai kru kabin dan pekerja restoran, Joel memberitahu jadual kerja yang tetap membuatkan dia lebih mudah menguruskan masa.

"Jika dahulu, kerja memang tak tentu masa namun kini saya ada jadual yang tetap selain bekerja di satu tempat sahaja. Ia mengubah rutin harian saya menjadi lebih teratur.



Joel tidak merasakan tugas baharunya itu adalah 'down grade' berbanding kerjayanya sebelum ini.

"Apabila tidak bertugas, saya ada lebih masa untuk diri sendiri dan melakukan perkara lain yang belum pernah sempat saya buat sebelum ini," jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Joel tidak melihat tugasnya sekarang sebagai sesuatu yang merendahkan dirinya berbanding kerjayanya sebelum ini yang terdapat pelbagai kelebihan dan keistimewaan.

Sebaliknya, dia melihat perubahan itu daripada sudut positif termasuk memperbaiki dirinya serta mencuba bidang baharu.

"Sudah tentu saya rindukan kerjaya sebagai kru kabin termasuk berada di dalam pesawat, melawat tempat menarik serta mencuba makanan di pelbagai negara.

"Tetapi saya tidak boleh terus mengenang perkara lalu dan perlu teruskan hidup kerana inilah peluang saya menerokai perkara baharu dan belajar tentang diri saya sendiri," katanya yang tidak menolak akan kembali sebagai kru kabin jika diberi peluang suatu hari nanti.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain