suria

Warga emas Terengganu tak peduli dianggap gila, kutip 9,000 botol kaca di pesisir pantai... paling sempoi siap buka muzium!

Tengku Mohamad Ali Mansor melakukan kerja kraftangan pada waktu lapang. Foto AFP

USAHA seorang warga emas berusia 74 tahun membersihkan kawasan pantai di Terengganu telah membuatkan dia mengumpul beribu botol kaca yang ditemui di pesisiran pantai.

Sejak 15 tahun lalu, Tengku Mohamad Ali Mansor mula menjalankan misi itu dan sehingga kini, dia berjaya mengutip 9,000 botol kaca dipercayai dihanyutkan dari Laut China Selatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Siapa sangka dulu OKU ini tokan dadah, kini imam surau

Semua botol yang dikutip itu kini dipamerkan di sebuah rumah kayu tradisional yang diubah menjadi muzium.



Tengku Mohamad Ali Mansor bergambar di hadapan muzium botol yang terletak di Kampung Penarik, Terengganu.

Botol kaca pelbagai saiz dan bentuk dari seluruh dunia disusun kemas di atas rak menjadikan ia cukup menarik untuk dilihat.

Tengku Mohamad Ali memberitahu dia bahkan pernah menjumpai nota dalam dua botol, di mana satu daripadanya berserta gambar berbentuk hati.

"Pada mulanya saya kutip botol kerana ingin membersihkan kawasan pantai yang tercemar dengan sampah. Saya juga tidak mahu ada sesiapa tercedera sekiranya mereka terpijak kaca.

"Orang menganggap saya gila, tetapi saya tidak peduli. Allah tahu apa yang saya lakukan. Saya lakukan ini kerana saya sayangkan bumi,"

katanya.

TENGKU MOHAMAD ALI MANSOR

PEMILIK MUZIUM BOTOL

"Paling penting menyelamatkan bumi daripada pencemaran botol," katanya dari Kampung Penarik, Terengganu.

Bercerita mengenai aktiviti membersih pantai itu,Tengku Mohamad Ali memberitahu dia biasanya akan keluar pada waktu pagi dan akan membaca doa terlebih dahulu sebelum mengutip sebarang botol yang dijumpainya.

Bekas askar itu memberitahu dia akan membersihkannya terlebih dahulu sebelum menyimpan di dalam beg galas yang dibawa bersamanya.



Tengku Mohamad Ali akan membawa beg galas untuk menyimpan botol kaca yang dijumpainya.

Obsesi datuk kepada 20 cucu ini bermula pada 2005, di mana ketika itu dia melihat sekumpulan kanak-kanak menggunakan botol kaca untuk bermain mercun.

Bimbang kaca yang pecah akan mencederakan orang lain, dia mengupah kanak-kanak itu mencari botol kaca - dan mereka kembali dengan lebih daripada 500 botol!

Apabila koleksinya bertambah, Tengku Mohamad Ali memutuskan untuk membuka sebuah muzium bersebelahan rumahnya.



Pesara berusia 74 tahun ini menyusun dan memeriksa botol di muziumnya.

Tapak muzium itu menjadi perhatian dan tumpuan pengunjung dan pelancong dari luar negara yang ingin melihat dengan lebih dekat koleksinya.

Semasa negara menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19, Tengku Mohamad Ali tidak membuang masa sebaliknya menghabiskan masa dengan membuat botol gaya Kintsugi yang popular di Jepun di mana tembikar yang pecah diperbaiki menggunakan serbuk emas dan kaca.

Tidak berhasrat untuk menghentikan misi mengutip botol kaca, Tengku Mohamad Ali memberitahu dia akan meneruskan aktiviti itu selagi dia masih hidup.

"Orang menganggap saya gila, tetapi saya tidak peduli. Allah tahu apa yang saya lakukan. Saya lakukan ini kerana saya sayangkan bumi," katanya. - AFP

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!



TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain