SEJAK pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 8 Mac lalu, petugas barisan hadapan seperti pasukan perubatan, pasukan keselamatan (polis, tentera) antara pihak yang paling sibuk dalam memastikan penularan wabak itu dapat dikawal. Dedikasi mereka serta sokongan rakyat Malaysia umumnya berjaya melandaikan kes Covid-19 di negara kita sekaligus menjadikan negara ini antara yang terbaik dalam menangani pandemik membunuh itu.ARTIKEL BERKAITAN: Pernah disangka artis Korea, penuntut ketenteraan di Kanada ini tak buang masa... kini bergelar model - “Restu ibu bapa paling penting” Sesuailah dengan slogan Hari Kemerdekaan ke-63 tahun ini iaitu Malaysia Prihatin yang menunjukkan semangat berganding bahu sesama rakyat Malaysia. Bagi jururawat di bahagian kecemasan Pusat Perubatan Sunway, Muhammad Ahsan Hazwan Abd Halim, pengalaman bertugas ketika PKP antara cabaran terbesar sejak menceburi bidang tersebut tiga tahun lalu. Melissa dan Muhammad Ahsan mengakui tugas sebagai frontliners memenatkan namun gembira dapat membantu orang lain. Takut itu bukan pilihan Berkongsi pengalamannya, Muhammad Ahsan berkata, sepanjang tempoh itu dia pernah ditugaskan di khemah perubatan yang disediakan hospital itu bagi ujian saringan Covid-19. Cerita anak kelahiran Kuala Lumpur ini, perasaan gementar dan bimbang itu sentiasa ada kerana mereka antara yang berisiko dijangkiti Covid-19 meskipun memakai peralatan perlindungan diri (PPE). "Kita tidak akan tahu siapa yang positif atau pun tidak, apatah lagi ada yang tidak menunjukkan simptom. Kami petugas barisan hadapan juga manusia biasa yang ada rasa bimbang dan takut. "Tetapi saya perlu buang semua perasaan itu jauh-jauh kerana paling penting semua yang datang dapat membuat saringan. Mereka juga berada dalam keadaan takut, jadi tugas kami untuk pastikan mereka berasa selesa," katanya kepada mStar. Apabila berjaya menyelamatkan pesakit, perasaan itu terlalu sukar digambarkan tetapi apa yang pasti ia menaikkan semangat saya dan pulang dalam keadaan puas. MUHAMMAD AHSAN HAZWAN ABD HALIM JURURAWAT, PUSAT PERUBATAN SUNWAY Tidak pernah menganggap dirinya sebagai hero, Muhammad Ahsan sebaliknya berpendapat apa dilakukan itu sebagai amanah dan tanggungjawab. Jelasnya, jika dia membiarkan ketakutan menguasai dirinya, mungkin dia tidak dapat melunaskan tugasnya dengan sempurna. Bagaimanapun jelas pemuda berusia 24 tahun ini, setiap kali pulang ke rumah dia akan memastikan terus membersihkan diri dan menukar pakaian bersih sebelum bertemu kedua ibu bapanya. "Ini barangkali antara cabaran besar saya sepanjang bertugas ketika PKP kerana saya tidak dapat memeluk dan bersalaman dengan ibu bapa sebaik pulang dari kerja. "Tetapi itulah pengorbanan yang terpaksa saya lakukan demi negara dan kerana saya sayangkan mereka. Mujur ibu bapa juga memahami dan sentiasa menyokong saya dalam situasi getir itu," katanya. Setiap hari Muhammad Ahsan akan memakai kelengkapan PPE sebagai langkah keselamatan sebelum memulakan tugas. Bidang kejururawatan paling tepat! Bagi Muhammad Ahsan, keputusannya menceburi bidang kejururawatan adalah pilihan paling tepat dibuatnya kerana tugas yang sinonim dengan kaum wanita itu memberi kepuasan maksimum kepadanya. Jelasnya, tugas itu sebenarnya sangat mencabar dan bukan semata-mata menjaga keperluan pesakit seperti memberi makan ubat atau memeriksa keadaan pesakit. Sebaliknya kata Muhammad Ahsan, tugas di bahagian kecemasan mengajarnya untuk lebih peka dan berpengetahuan tentang keadaan pesakit yang kebanyakannya memerlukan rawatan berbeza. "Pesakit yang datang ke bahagian kecemasan biasanya perlu distabilkan terlebih dahulu atas pelbagai komplikasi dan kami perlu tangkas dalam menstabilkan pesakit. "Apabila berjaya menyelamatkan pesakit, perasaan itu terlalu sukar digambarkan tetapi apa yang pasti ia menaikkan semangat saya dan pulang dalam keadaan puas. Melissa dan Muhammad Ahsan gembira dapat membantu orang lain sepanjang tempoh PKP. "Itu juga sebagai pemangkin semangat untuk datang bekerja meskipun adakalanya perlu bertugas dalam tempoh yang panjang. "Sebelum ini ada juga bertanya kenapa saya pilih kerjaya ini namun kini saya tak dapat bayangkan melakukan perkara lain kerana keputusan bergelar jururawat adalah tepat," katanya. Terima 700 sampel Covid-19 dalam sehari! Bagi Melissa Anne Bany yang bertugas di bahagian makmal Pusat Perubatan Sunway, meskipun tidak berhadapan dengan pesakit secara langsung namun dia tetap berbangga dapat menyumbangkan sesuatu kepada negara. Kata Melissa, selain tugasan harian, dia juga bertanggungjawab dalam memastikan semua sampel ujian Covid-19 yang diterima akan dilabel dengan betul, selain dibungkus rapi dan diletakkan ais bagi memastikan ia tidak rosak. Ini kerana jika terkena haba, ia boleh merosakkan sampel sekaligus mencacatkan keputusan ujian yang dilakukan. Melissa tekun ketika bertugas di makmal. "Saya masih ingat ada satu ketika, kami di Pusat Perubatan Sunway menerima 600 ke 700 sampel dalam masa sehari dan ia perlu diuruskan segera supaya tidak rosak. "Masa itu memang kami semua kena kerja lebih masa bagi membantu rakan-rakan lain menyiapkan semua ujian sampel yang diterima. Ia memang proses memenatkan tetapi cukup memberi kepuasan apabila kita tahu dapat membantu orang lain. "Bayangkan perasaan orang yang dalam keadaan tidak tenteram menanti berita sama ada dirinya positif atau negatif, jadi sudah menjadi tugas kami untuk segerakan semua ujian agar keputusan dapat diberikan secepat mungkin," katanya. Berharap tiada gelombang kedua Covid-19 di Malaysia, Melissa percaya lama-kelamaan orang ramai sedar tentang bahayanya wabak ini dan mahu semua rakyat Malaysia terus mematuhi SOP ditetapkan kerajaan. Jelasnya, bagi membendung penularan wabak ini, ia perlu dimulai dengan diri sendiri di mana penjarakkan fizikal di jaga, memakai pelitup muka serta kerap mencuci tangan. "Sebagai petugas perubatan saya sentiasa berdoa agar tiada gelombang kedua Covid-19. Saya tidak dapat bayangkan perlu bermula dari bawah dan mengharunginya sekali lagi. Jujur saya katakan, ia proses yang cukup memenatkan," katanya. Pada waktu lapang, Melissa gemar menyanyi sebagai penghilang tekanan selepas bekerja. Menyanyi bantu kurangkan tekanan Mengakui ia tugas yang penuh dengan tekanan, Melissa bagaimanapun memberitahu nyanyian banyak membantunya mengurangkan tekanan selepas seharian berada di makmal. Aktif menyanyi di aplikasi Smule, Melissa memberitahu dia memang minat menyanyi malah mempunyai saluran YouTube bagi memuat naik video nyanyiannya. "Setiap kali pulang ke rumah, saya memang kena menyanyi terlebih dahulu bagi mengurangkan tekanan dan ia membantu saya tidur dengan lebih baik. "Saya sukakan semua jenis lagu termasuk lagu berbahasa Melayu seperti Datuk Siti Nurhaliza dan Bunga Citra Lestari," katanya. Bersempena sambutan Hari Kebangsaan, Melissa dan Muhammad Ahsan tiada permintaan tertentu sebaliknya berharap semua rakyat Malaysia terus mematuhi SOP dan bersikap prihatin terhadap satu sama lain dalam memastikan Malaysia bebas daripada cengkaman Covid-19. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!