KETIKA ditanya mengenai makanan Malaysia kegemarannya, YouTuber popular berasal dari Kanada, Trevor James memberitahu sukar membuat pilihan namun memberitahu durian dan sambal petai adalah kesukaannya. James, 32, berpindah ke Malaysia tahun lalu bersama isteri, Xie Chuiting yang dikenalinya ketika mengembara ke Turki beberapa tahun lalu. Dalam tempoh enam tahun, pencinta makanan itu telah mendokumentasikan pengalamannya menerusi saluran YouTube miliknya, The Food Ranger yang sehingga kini mempunyai 4.4 juta pengikut.ARTIKEL BERKAITAN: Wow! Cef kelahiran Pulau Pinang diberi RM1.2 juta promosi juadah Malaysia di Australia... semuanya di Adam Liaw Heritage Kitchen "Makanan adalah sesuatu yang dapat membuatkan semua orang bersatu hati dan impian saya adalah untuk menyatukan semua orang dari seluruh dunia menerusi makanan," katanya kepada The Star. Pasangan suami-isteri itu aktif menerbitkan video mengenai makanan dari seluruh dunia sejak 2016. "Isteri akan menjadi jurukamera, saya makan dan membuat suntingan video. Isteri James, Xie bertindak sebagai jurukamera ketika dia menjalani rakaman. "Saya lebih suka cara itu kerana ia lebih mendekatkan kami dengan penonton, peniaga dan masyarakat setempat yang kami temui," ujarnya.Sifatkan durian kampung seperti hadiah, elak makanan eksotik James pertama kali melawat Malaysia pada 2006 dan segera jatuh cinta dengan kepelbagaian makanan di negara ini. "Saya masih ingat merasai nasi lemak dan rendang daging buat pertama kali, saya terus jatuh cinta. Masyarakat di sini sangat ramah selain saya kagum dengan kepelbagaian budaya dan makanan. "Malaysia adalah antara negara yang mempunyai makanan yang sedap pernah saya cuba. Gabungan Melayu, Cina dan India dalam masakan penuh dengan aroma dan menyelarakan," tambahnya. Bagi James, peluang menikmati durian setiap hari, menerokai lokasi baharu dan merasai pelbagai juadah seperti laksa dan rendang adalah kehidupan yang sempurna baginya. "Durian adalah buah yang paling enak di dunia! Ia mempunyai rasa yang anda tidak akan jumpa di mana-mana pun!" katanya yang cukup menggemari durian kampung. James ketika menjalani rakaman di sebuah restoran di Pulau Pinang bagi mencuba Sup Tornedo. "Setiap durian yang dikupas bagaikan hadiah - anda tidak akan tahu apakah rasa yang akan anda dapat. Ia lebih mengujakan berbanding makan durian lebih mahal seperti Musang King," jelasnya. Selain makanan Malaysia, James juga menggemari makanan di China dan pernah menetap di sana selama lima tahun. Berkongsi mengenai makanan paling pelik yang pernah dicubanya, James memberitahu antaranya adalah Ulat Sago ketika di Vietnam, Unta (Dubai) dan Sup Torpedo di Pulau Pinang. "Ulat Sago menggeliat ketika dicelup dalam sos ikan pedas dan ia akan meletup di dalam mulut, jadi ia sangat unik," katanya. Meskipun jarang baginya menolak sesuatu makanan, James bagaimanapun memberitahu dia tidak akan sesekali makan hidangan yang menggunakan haiwan peliharaan atau spesis terancam. Cinta pandang pertama Cinta James terhadap makanan dan merakamkan vlog bermula sejak dia di bangku sekolah lagi pada 2006. Pasangan ini bertemu ketika James menjelajah ke Turkey. "Saya pernah pergi mengembara bersama rakan selama empat bulan, mengembara dari Singapura ke Beijing. Ketika itu saya jatuh cinta dengan melancong dan mencuba makanan baharu," ujarnya. Ketika melanjutkan pengajian di universiti pada 2008, James memberitahu ketika itu dalam fikirannya hanyalah untuk menamatkan pelajaran supaya dia dapat kembali mengembara. Dia juga memasang angan-angan untuk memulakan saluran YouTube sendiri dan akhirnya membuka The Food Ranger yang juga diilhamkan oleh bapanya. "Selepas menamatkan pengajian pada 2014, saya berpindah ke Chengdu, China supaya dapat menikmati makanan Sichuan yang pedas setiap hari dan merakamkan kepelbagaian makanan jalanan di sana. "Saya juga menyambung pengajian di Universiti Chengdu untuk mempelajari bahasa Mandarin dan perdagangan antarabangsa sekiranya saluran YouTube saya tidak berjaya," imbaunya. Bagaimanapun saluran miliknya mendapat sambutan luar biasa dan sejak itu dia tidak berhenti daripada mengembara dan merasai pelbagai makanan di seluruh dunia. Makanan jalanan antara lokasi yang akan ditujui James bagi mengenali sesuatu makanan dan budaya. James mendedahkan, dalam 300 video yang dihasilkan, kegemarannya adalah ketika menjalani penggambaran di Peshawar, Pakistan. "Peshawar adalah sebuah kota pasar kuno dan terasa seperti kembali ke masa lalu. Suasananya seperti dalam filem! "Kami mencuba makanan yang sangat unik dan penduduknya juga sangat ramah. Lebih menyentuh hati, semua restoran dan gerai yang kami kunjungi semuanya tidak mahu menerima bayaran dan mengatakan kami adalah tetamu di negara mereka," katanya. Sebelum pandemik Covid-19, James memberitahu dia dan isteri telah mengembara selama 250 hari untuk merasai pelbagai keunikan budaya dan makanan di seluruh dunia namun kini mereka terpaksa melupakannya buat seketika dan memilih Malaysia untuk dijadikan tempat tinggal. Bagaimanapun sejak kerajaan memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), James dan isteri kembali menerokai Malaysia untuk menghasilkan video. "Pada saya, makanan di tepi jalan adalah paling enak yang boleh anda jumpa. Ia juga cara paling baik untuk melawat sesuatu lokasi - bukan hanya dapat makanan enak tetapi dapat berjumpa dengan masyarakat setempat," katanya. Meskipun James sudah menjelajah banyak negara, namun dia memberitahu ia masih belum berakhir buatnya malah dia memasang impian untuk mengeliling dunia dalam tempoh 10 ke 15 tahun. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!