UMAT Osman sanggup berjalan kaki sejauh kira-kira 10 kilometer di sepanjang persisiran pantai Kuala Perlis semata-mata untuk mengutip sampah seperti barangan plastik, tin minuman dan besi buruk yang dibuang di kawasan pantai itu. Walaupun perbuatan itu dianggap ‘gila’ oleh sesetengah pihak, ia tidak mematahkan semangat penjaga parkir itu untuk terus mengutip sampah kerana rimas melihat sampah yang dibuang merata-rata sehingga menyakitkan pandangan dan mencacatkan pemandangan di pantai itu.ARTIKEL BERKAITAN: Kisah di sebalik rumah sewa RM1... “Dia serahkan kunci tanpa banyak tanya, saya sifatkan wanita ini 'gila' sedekah” Umat, 42, yang akan keluar mengutip sampah selepas subuh berkata pada awalnya dia hanya suka-suka mengutip sampah namun tidak menyangka barang yang dianggap tidak berharga itu mempunyai nilai apabila dikumpul dan dijual. Umat bersama koleksi barangan seperti plastik, tin dan kaca yang berjaya dikutip. “Kira-kira 116 kilogram botol plastik dan tin minuman yang saya pungut dalam masa sebulan apabila dijual hanya dapat lebih kurang RM203, kalau dikira dari segi wang ringgit memang tidak berbaloi, ” katanya. Namun, katanya apa yang dicari bukanlah wang ringgit sebaliknya niat mahu berbakti kepada alam sekitar kerana sedar tiada orang yang sanggup melakukan kerja ‘kotor’ itu dan jika dibiarkan, sampah akan terus bertaburan merata-rata. Umat yang juga penghidap kanser tulang itu turut tidak menjadikan penyakitnya sebagai alasan dan akan terus mengutip sampah di kawasan itu selagi terdaya asalkan alam sekitar terpelihara sekali gus punca pendapatan nelayan sekitar juga tidak terjejas disebabkan sampah yang dibuang. “Terdapat nelayan yang saya kenali mengadu apabila menangkap ikan, mereka dapat lebih banyak sampah daripada ikan,” katanya yang turut menasihati orang ramai agar tidak membuang sampah khususnya ke dalam laut yang akan mengganggu ekosistem hidupan marin. Umat memberitahu apa dilakukan bukan kerana wang tetapi ingin berbakti kepada alam sekitar. Lebih menarik, Umat juga kreatif menghasilkan pelampung pukat menggunakan barangan terpakai yang dikutipnya dan menggunakan jaring rosak yang dibuang nelayan untuk memuatkan sampah yang dikutipnya. Kisah Umat mula menjadi tular dalam laman sosial apabila seorang penduduk di Kuala Perlis memuat naik gambar Umat ke Facebook dan menggelarnya sebagai ‘Trash Hero’ sehingga mendapat pujian dalam kalangan netizen. Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perlis Azman Shah Ismail meminta orang ramai mencontohi inisiatif yang dilakukan Umat bagi mengekalkan kelestarian alam sekitar. “Apa yang dilakukan Umat hari ini bertepatan dengan kempen kerajaan dalam sambutan Hari Alam Sekitar Negara baru-baru ini dengan slogan ‘Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama’, ” katanya ketika menemui Umat sebagai penghargaan JAS kepada usaha murni lelaki itu. - BERNAMA Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!