suria

Kisah di sebalik rumah sewa RM1... “Dia serahkan kunci tanpa banyak tanya, saya sifatkan wanita ini 'gila' sedekah”

Uncle Kentang menawarkan rumah sewa dengan harga RM1 semalam. Foto Facebook KUAN CHEE HENG

SIAPA tidak kenal dengan aktivis kebajikan Kuan Chee Heng yang selalu muncul menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan tanpa mengira bangsa atau agama.

Terbaharu, Kuan atau lebih mesra dengan sapaan Uncle Kentang menawarkan rumah sewa di Putrajaya dengan harga RM1 semalam.

Ia bagi membolehkan keluarga pesakit kanser yang sedang mendapatkan rawatan di Hospital Putrajaya dan Institut Kanser Negara (IKN) menginap sekiranya perlu berulang alik terutamanya bagi yang datang dari negeri lain.

ARTIKEL BERKAITAN: Memang ramai tertanya-tanya, akhirnya Uncle Kentang buka kisah sedih yang lama disimpan - “Wajah ayah kaku di bangku panjang, ditutup tikar mengkuang”

Uncel Kentang bagaimanapun ketika dihubungi memberitahu, projek itu dapat dilaksanakan atas keprihatinan seorang wanita yang disifatkan sebagai 'gila' sedekah.



Uncle Kentang memberitahu ada juga pihak yang menderma tilam dan kelengkapan rumah.

Katanya, wanita itu menghubunginya baru-baru ini memaklumkan ingin membantu projek itu dengan menawarkan apartmentnya sebagai rumah persinggahan tanpa mengenakan sebarang bayaran sewa kepadanya.

"Bayangkan wanita itu tidak meminta sebarang bukti pengesahan, tidak mengenakan sewa atau apa-apa dokumen seperti mana kebiasaan dilakukan di antara pemilik rumah dan penyewa.

"Dia jumpa saya dan serahkan kunci tanpa banyak pertanyaan dan sebab itu saya anggap wanita ini 'gila' sedekah.

"Tanpa kebaikan dan niat murninya untuk membantu masyarakat Malaysia, kami mungkin tidak mempunyai rumah bagi membantu mereka yang memerlukan dan dalam kesusahan," katanya kepada mStar.

Uncel Kentang memberitahu, wanita itu membenarkan apartmentnya digunakan sebagai rumah sewa kepada golongan memerlukan selama dua tahun.

Paling mengharukan katanya, apartment itu juga lengkap dengan perabot serta keperluan asas yang diperlukan ketika menginap.

Bayangkan wanita itu tidak meminta sebarang bukti pengesahan, sebarang wang sewa atau apa-apa dokumen seperti mana kebiasaan dilakukan di antara pemilik rumah dan penyewa.

KUAN CHEE HENG (UNCLE KENTANG)

AKTIVIS KEBAJIKAN

Simbolik sewa RM1

Menjelaskan mengenai simbolik kadar sewa RM1 semalam, Uncle Kentang memberitahu dia mengenakan caj itu kerana tahu ia harga yang mampu dibayar oleh sesiapa pun.

Jelasnya lagi, caj itu juga dikenakan kerana tidak mahu membuatkan penyewa berasa rendah diri atau segan apabila mendapat tempat tinggal percuma.

"Jika kita beri percuma mungkin penyewa akan berasa segan dan ia sedikit sebanyak membuatkan mereka rasa rendah diri. Perasaan membayar sendiri perkhidmatan digunakan adalah berbeza," katanya.

Bagi memastikan keselesaan penyewa, Uncle Kentang memberitahu apartment itu juga mempunyai penjaga dan akan dibersihkan setiap kali ada tetamu akan mendaftar masuk.

Bercakap lanjut mengenai projek itu, Uncle Kentang berkata, ia sebenarnya sudah lama dilakukan malah pihaknya mempunyai sebuah rumah sewa di Puchong, Selangor bagi tujuan sama.



Uncle Kentang cukup terkenal dengan sikapnya yang gemar membantu orang yang dalam kesusahan.

Jelasnya, menyedari penjagaan pesakit kanser yang memerlukan tempoh panjang terutamanya jika pesakit perlu menjalani pembedahan atau rawatan kimoterapi, kos tempat tinggal keluarga juga mahal terutamanya di Lembah Klang.

"Bayangkan kalau pesakit yang datang dari Terengganu atau Johor kerana perlu menjalani rawatan kimoterapi selama dua bulan.

"Untuk ulang-alik, ia memerlukan kos yang sangat mahal, apatah lagi menginap di hotel atau menyewa rumah. Jadi timbul idea untuk membantu dengan memberi sewa rumah dengan harga RM1.

"Projek ini sebenarnya tidak akan berjaya tanpa kebaikan rakyat Malaysia yang cukup pemurah dan suka bersedekah dalam membantu golongan memerlukan," katanya.

Tidak terhenti di situ, Uncle Kentang memberitahu pihaknya juga turut menyediakan perkhidmatan pengangkutan secara percuma daripada hospital ke tempat kediaman sewa bagi yang tidak mempunyai kenderaan.



Uncle Kentang mendengar dengan teliti kisah masyarakat yang ditemuinya.

Malah katanya, pesakit atau keluarga boleh terus merujuk kepada bahagian sosial di hospital sekiranya inginkan perkhidmatan mereka.

Uncle Kentang mahu teruskan projek rumah transit

Sementara itu, Uncle Kentang berharap dapat mengembangkan lagi projek rumah transit ini ke lebih banyak kawasan di Lembah Klang terutama di kawasan berdekatan hospital.

Malah pihaknya mengalu-alukan sekiranya ada pihak ingin mewakaf atau menyewakan rumah mereka kepada pihaknya bagi tujuan itu.

"Sejak lancarkan projek ini, ternyata ramai inginkan bantuan terutama apabila tiada tempat untuk dituju jika perlu menjaga keluarga yang sakit di hospital kerana tidak cukup wang untuk menyewa hotel.

"Saya juga bersyukur kerana dengan adanya rumah transit ini, ramai dapat menggunakannya serta memudahkan urusan mereka sepanjang menjaga ahli keluarga yang sakit.

"Jadi saya harap, ada lagi rakyat Malaysia yang sudi membantu atau memberi maklumat mengenai rumah yang boleh kami sewa dengan harga berpatutan atau diwakafkan bagi tujuan ini," katanya.

Untuk informasi lanjut mengenai projek rumah transit ini boleh melayari Facebook Kuan Chee Heng atau menghubungi talian 018-268 3999.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain