PENGUMUMAN pereka fesyen tersohor, Datuk Rizalman Ibrahim sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 16 Oktober lalu ternyata mendapat respons positif daripada masyarakat khususnya penuntut dan alumni universiti itu. Rata-rata menyifatkan pelantikan itu sesuai dengan status Rizalman sebagai alumni UiTM serta resume cemerlangnya sebagai pereka fesyen dan usahawan selama 30 tahun.ARTIKEL BERKAITAN: Dari dunia fesyen ke Balai Seni Negara... Tom Abang Saufi ada strategi bela nasib pelukis, ubah mentaliti masyarakat hargai karya seni Terharu dengan sokongan orang ramai terhadap pelantikannya itu, Rizalman berhasrat untuk turun padang bagi mengetahui keadaan semasa di UiTM sebagai langkah awal tugas baharunya itu.Bagi Rizalman, 49, menjadi kemestian untuk beliau berbuat demikian sebagai cara memahami selok-belok UiTM serta mengetahui isu dan masalah berbangkit sebelum membuat sebarang keputusan selepas ini. Rizalman dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah UiTM bermula 16 Oktober 2020. "Perkara pertama yang akan saya lakukan selepas ini adalah turun padang, berjumpa dengan semua lapisan daripada pihak pengurusan, pengajar, pelajar malah pekerja pembersihan. "Mereka semua adalah tunjang kepada UiTM sebagai sebuah institusi yang besar dan penting untuk saya bertemu mereka bagi mengetahui situasi semasa serta masalah yang boleh pihak kami perbaiki. "Kalau rumah sendiri pun kita perlu ambil tahu semua perkara, sama juga keadaannya di UiTM. Saya perlu tahu setiap sudut mengenainya," katanya menerusi temubual Zoom bersama media pada Sabtu. Dalam pada itu, Rizalman memberitahu dia mahu mengambil langkah itu kerana tidak mahu dilabel sebagai 'berlagak pandai' dan membuat sebarang keputusan tanpa mengetahui situasi sebenar di UiTM."Sejujurnya selepas dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah UiTM, baru saya sedar jawatan itu sangat tinggi dan kami adalah pembuat keputusan. Ia adalah amanah yang besar. Sejujurnya selepas dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah UiTM, baru saya sedar jawatan itu sangat tinggi dan kami adalah pembuat keputusan. Ia adalah amanah yang besar. DATUK RIZALMAN IBRAHIM AHLI LEMBAGA PENGARAH UiTM "Sebab itu saya mahu tahu selok-belok mengenainya agar keputusan dibuat adalah tepat dan mengambil kira situasi yang sedang berlaku di UiTM," jelasnya. Berkongsi pengalaman menuntut di UiTM pada 1989, Rizalman menyifatkan universiti itu banyak mendedahkannya tentang pelbagai aspek kehidupan selain belajar berdikari. Sepanjang empat tahun menuntut ilmu, Rizalman memberitahu beliau tidak pernah mensia-siakan peluang diberikan selain sentiasa menerapkan dalam fikiran untuk berjaya serta buat keluarganya bangga. "Ketika melangkah masuk ke UiTM, itu adalah kali pertama saya berjauhan dengan keluarga dan hidup berdikari. Di sini juga saya cipta pelbagai memori, mengenali ramai orang serta menimba ilmu untuk menjadi seorang pereka fesyen yang berjaya."Saya memang fokus terhadap pelajaran kerana saya mahu membina kehidupan dan kerjaya serta membuatkan keluarga bangga. Alhamdulillah semua usaha itu akhirnya membuahkan hasil," katanya. Rizalman mahu turun padang bagi mendekati semua peringkat di UiTM. Ditanya sama ada beliau ingin mencurahkan kepakaran dan pengalamannya sebagai pensyarah di UiTM, Rizalman memberitahu tidak terfikir mengenainya memandangkan tidak mempunyai kelulusan yang membolehkan beliau bergelar seorang pendidik. Pun begitu kata Rizalman, beliau akan menggunakan amanah diberikan sebagai Ahli Lembaga Pengarah UiTM bagi menaikkan lagi taraf universiti itu dalam pelbagai aspek dengan perancangan dan formula yang tepat. Untuk rekod, Rizalman merupakan alumni UiTM adalah graduan Ijazah Sarjana Muda Seni Lukis dan Seni Reka dalam jurusan fesyen pada 1989 hingga 1993. Pencapaian terbaik disandang ketika menuntut adalah Pelajar Terbaik Kajian (jurusan dan Fakulti) dan Pelajar Terbaik Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (Seni Reka Fesyen). Terdahulu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Rizalman atas pelantikannya itu dan meletakkan keyakinan pereka fesyen terkenal itu dapat memberikan sumbangan besar kepada UiTM berdasarkan kepakaran, pengalaman dan prospeknya sebagai usahawan. Februari lalu, Rizalman mengejutkan peminat apabila mengumumkan pengundurannya sebagai pereka fesyen selepas tiga dekad terlibat dalam dunia fesyen.