suria

Pernah hilang kerja akibat Covid-19, suami pula sakit tapi Jumaroh tetap positif - "Kita bertahan sebelum ini, kini pasti dapat melaluinya lagi"

Jumaroh sentiasa bersikap positif meskipun ketika ini negara sedang dilanda Covid-19.

PEMBANTU kedai runcit, Jumaroh Rokasim memberitahu perasaan takut itu adalah perkara biasa namun ia tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk melumpuhkan kehidupan gara-gara pandemik Covid-19 yang sedang melanda ketika ini.

Wanita berusia 50 tahun itu berkata, hidup perlu diteruskan walaupun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kembali diperkenalkan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya selama dua minggu.

ARTIKEL BERKAITAN: Nampak manja tapi jangan terkejut, si bulus ini dah tawan lebih 30 gunung di seluruh negara! - “Jibek ajar saya erti kesabaran”

"Kita boleh bertahan sebelum ini dan kini kita pasti dapat melaluinya sekali lagi. Perasaan takut dan bimbang itu adalah perkara biasa tapi jangan biarkan ia menjadi penghalang untuk kita teruskan hidup," katanya.

Ibu kepada tiga cahaya mata yang menetap di Kampung Sungai Kayu Ara, Petaling Jaya, telah bekerja di kedai runcit tersebut selama tiga bulan.

Sebelum ini, Jumaroh berkerja di sebuah kafe kecil di kawasan rumahnya namun terpaksa berhenti selepas ia ditutup ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperkenalkan.



Jumaroh bekerja sebagai pembantu kedai sejak tiga bulan lalu.

Bagi Jumaroh, adalah penting untuk semua orang kekal optimis dan positif kerana ia dibiarkan perasaan takut dan sedih menguasai diri ia boleh memberi kesan kepada kesihatan.

"Sikap negatif akan beri kesan kepada kesihatan dalam jangka masa panjang dan kita harus kekal positif untuk terus hidup. Oleh itu, lebih baik bersikap positif meskipun perlu mengambil satu langkah setiap hari," ujarnya.

Bercerita mengenai rutin hariannya, Jumaroh memberitahu setiap kali keluar bekerja, anak perempuannya sentiasa akan berpesan agar dia berhati-hati.

Pesanan itu kata Jumaroh, sentiasa memberi kesan kepadanya untuk melakukan yang terbaik dan menjaga keselamatan diri.

"Saya cuba untuk tidak terlalu memikirkan atau berasa bimbang. Setiap hari saya akan pastikan memakai pelitup muka, menjauhkan diri daripada orang ramai dan mencuci tangan dengan kerap.

"Apabila pulang ke rumah, saya akan segera mencuci baju dan membersihkan diri sebagai langkah berjaga-jaga," jelasnya.



Jumaroh berharap pandemik ini segera berakhir dan semua dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa.

Sikap positif Jumaroh itu juga disebabkan dia adalah punca rezeki utama keluarganya memandangkan suaminya hanya melakukan kerja kontrak (pengubahsuaian dan pembaikan) ekoran faktor kesihatan yang tidak mengizinkan.

Malah sejak PKP dilaksanakan, suaminya sudah tidak banyak mendapat tawaran pekerjaan.

Jumaroh juga mengakui, sebelum ini dia tidak mengetahui atau memahami tentang Covid-19 atau PKP yang diperkenalkan kerajaan.

Namun, dia mula memahaminya selepas bertanya kepada rakan-rakan selain sentiasa membaca perkembangan terbaharu mengenai kes Covid-19 di internet.

"Ia bukan sesuatu yang dapat dijelaskan dengan mudah. Sekiranya virus itu dapat dilihat seperti nyamuk dan lalat, maka ia dapat dibunuh dengan mudah.

"Tetapi virus ini kita tidak dapat lihat dengan mata kasar, jadi bagaimana hendak menghapuskannya?," katanya.

Atas sebab itu kata Jumaroh, selagi vaksin tidak ditemui, kita semua perlu hidup dalam keadaan berjaga-jaga serta mengamalkan semua SOP ditetapkan. - THE STAR

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain