suria

42 tahun membelah awan... Tragedi MH17, pesawat bergolak di hari lahir antara memori Kapten Aminudin... Syabas! 4 anak pewaris legasi

Kapten Aminudin bersama isteri Rahinah Darus bersama empat anak lelaki mereka yang juga bertugas sebagai juruterbang.

SEPANJANG 42 tahun berkhidmat sebagai juruterbang di Malaysia Airlines System (MAS), Kapten Aminudin Salimon telah menerbangkan pelbagai jenis kapal terbang seperti DC 10, Jumbo Boeing B747-200, B747-300, B747-400 dan Super Jumbo A380-800.

Dalam tempoh itu juga, Aminudin telah membawa penumpang ke pelbagai destinasi di dunia seperti Australia, Afrika Selatan, Eropah, Amerika Syarikat dan sebagainya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Dulu nak makan pun susah, badan kurus” - Remaja miskin, tercicir pelajaran sebak dapat peluang kedua... syukur mampu bantu mak ayah

Namun penerbangan ke Madinah pada 28 Februari tahun lalu meninggalkan kesan mendalam kepada dirinya apabila ia menjadi penerbangan terakhir sebelum bersara.

"Sudah banyak kali saya terbang ke Madinah atau Jeddah sebelum ini bagi membawa jemaah haji dan umrah, tetapi Allah berikan rezeki kepada saya untuk terbangkan penumpang ke sana sebelum saya bersara.



Selepas 42 tahun berkhidmat sebagai juruterbang MAS, Kapten Aminudin akhirnya bersara.

"Tiada perasaan lain yang boleh saya katakan selain rasa bersyukur dapat membawa penumpang buat kali terakhir ke destinasi kegemaran saya meskipun ada perasaan sedih kerana kerjaya ini sudah sebati dalam diri saya," katanya kepada mStar ketika ditemui di kediamannya baru-baru ini.

Tak pernah bercita-cita jadi juruterbang

Bercerita lanjut mengenai dirinya, Aminudin memberitahu dia dibesarkan di Ijok, Selangor dalam sebuah keluarga sederhana dan tidak pernah terfikir untuk menjadi seorang juruterbang.

Sebaliknya kata Aminudin, 63, dia berhasrat untuk mengikut jejak langkah abangnya yang berkhidmat sebagai seorang askar ketika itu.

"Kehidupan ketika itu saya masih ingat, agak ringkas di mana ibu bapa saya bekerja sebagai petani untuk menyara kami adik-beradik. Apa yang saya fikir ketika itu adalah untuk membantu ringankan beban ibu bapa selain ingin jadi askar macam abang," katanya.



Aminudin memberitahu dia tidak pernah bercita-cita untuk bergelar seorang juruterbang.

Bagaimanapun rezeki menyebelahinya apabila Aminudin diterima masuk ke Maktab Tentera Diraja (RMC) pada 1974 dan ketika di situ dia mula mengubah fikirannya.

"Ketika di RMC saya banyak terdedah kepada pelbagai perkara dan salah satunya tentang dunia penerbangan yang menarik minat saya," jelasnya.

Sejurus selesai persekolahan, Aminudin memberitahu dia ditawarkan biasiswa penuh untuk melanjutkan latihan penerbangan di Philippines Airlines Aviation School, Manila pada 1978.

Menariknya, atas komitmen dan kesungguhannya, Aminudin berjaya menamatkan program itu hanya dalam tempoh 14 bulan.

Sejurus pulang ke tanah air, Aminudin memberitahu dia ditawarkan bertugas dengan MAS dan berpangkalan di Kota Kinabalu, Sabah dan di situ bermulanya kariernya sebagai juruterbang.

Insiden MH17 antara hari yang cukup menyedihkan buat saya dan tidak boleh dilupakan sehingga ke hari ini.

KAPTEN AMINUDIN SALIMON

BEKAS JURUTERBANG MAS

"Saya masih ingat, saya terbangkan Fokker 27 sebagai pegawai kedua selama sembilan bulan sebelum saya dinaikkan pangkat sebagai pegawai pertama dan menerbangkan Boeing B737 dan berpindah ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang.

"Kemudian dari tahun 1981 hingga 1984, saya diberi peluang menerbangkan Airbus A300-B4 dan DC 10-30 hingga 1988. Pada tahun yang sama, saya dinaikkan pangkat menjadi Kapten dan dipindahkan ke Kuching, Sarawak.

"Sekali lagi dia terbang Fokker 27 tetapi kali ini sebagai Komander. Setelah 14 bulan, pada tahun 1989 ia dinaikkan pangkat ke Boeing B737 dan dipindahkan kembali ke Subang untuk pandu Boeing B737-200 hingga tahun 1992," katanya.

Selain itu, Aminudin memberitahu dia juga pernah mengendalikan B737-300, B737-400 and B737-500 sepanjang kariernya.

"Sebenarnya tugas sebagai seorang juruterbang ini memerlukan kecekapan yang tinggi dan banyak proses perlu dilalui sebelum sesebuah kapal terbang itu berlepas.



Tugas sebagai juruterbang telah membawa Aminudin ke pelbagai destinasi di dunia.

"Setiap enam bulan juga, tidak kira apa juga pangkat, kita diwajibkan untuk menjalani ujian pemanduan bagi memastikan juruterbang dapat mengawal situasi kecemasan yang tidak diingini," katanya.

Hari jadi yang tak boleh dilupakan, tragedi MH17 tersemat dalam hati

Bercakap mengenai situasi mencemaskan, Aminudin memberitahu kejadian pada 4 Jun 2016 yang juga hari jadinya akan sentiasa tersemat dihatinya apabila pesawat MH1 Airbus A380 yang dikendalikannya dari London ke Kuala Lumpur terpaksa mengharungi awam bergolak yang menyebabkan 27 cedera dan 10 daripadanya adalah krew penerbangan.

"Kejadian ini berlaku ketika pesawat melalui Teluk Benggala dan ia peristiwa yang paling tidak boleh saya lupakan.

"Meskipun ada yang cedera namun saya amat bersyukur kerana semua selamat dan berterima kasih dengan sikap profesional semua krew ketika kejadian," imbaunya.

Selain itu, insiden pesawat MH17 yang dalam penerbangan menuju Kuala Lumpur dari Amsterdam 17 Julai 2014 turut meninggalkan kesan mendalam kepada Aminudin.



Aminudin bersama rakan setugas.

Katanya, ketika kejadian, beliau sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke London dan turut menggunakan laluan udara MH17 ditembak jatuh.

"Saya hanya mengetahui tentang kejadian sejurus selepas tiba di London dan saya jadi terdiam kerana rasa seperti tidak percaya dengan berita yang saya dengar.

"Juruterbang pesawat itu adalah kenalan saya dan kami pernah terbang bersama-sama selain beberapa krew lain turut pernah bertugas dalam penerbangan saya.

"Ia antara hari yang cukup menyedihkan buat saya dan tidak boleh dilupakan sehingga ke hari ini," katanya.

4 anak lelaki ikut jejak langkah sebagai juruterbang

Meskipun kini sudah bersara, Aminudin memberitahu beliau sangat beruntung kerana empat anak lelakinya Kapten Afiq Aizat, 37, Kapten Afiq Azfar, 35, Afiq Akhari, 32 dan Afiq Anaqi, 29 turut mengikut jejak langkahnya sebagai juruterbang.



Bertuah... Empat anak lelaki Aminudin mengikut jejak langkahnya sebagai juruterbang.

Aminudin memberitahu tiga anaknya Afiq Aizat, Afiq Azfar dan Afiq Anaqi kini berkhidmat bersama MAS manakala Afiq Akhari bersama AirAsia.

Katanya, beliau sendiri tidak menyangka dan terkejut apabila anak-anaknya ingin mengikut jejak langkahnya kerana tidak pernah memaksa atau cuba mengatur masa depan mereka.

"Sejak kecil saya tidak pernah cuba mengatur kehidupan mereka apatah lagi cuba memaksa mereka menjadi juruterbang seperti saya kerana pada saya dalam hal seperti ini sebagai bapa kita tidak boleh memaksa anak-anak.

"Apabila mereka beritahu nak jadi juruterbang saya terkejut tetapi tidak pula saya menghalang jika itu sudah menjadi minat mereka.

Alhamdulillah masing-masing berjaya dan sudah tentu saya berbangga dengan pencapaian mereka," katanya.



Aminudin pernah bergandingan dengan anaknya menerbangkan pesawat ke London.

Paling tidak boleh dilupakan, Aminudin memberitahu beliau sempat bergandingan bersama anak lelakinya, Afiq Azfar menerbangkan pesawat ke London.

Kata Aminudin, perkara itu berlaku secara kebetulan dan terkejut apabila melihat jadual penerbangan beliau ditugaskan bersama anak lelakinya sendiri.

"Ketika itu memang saya teruja kerana tidak pernah terfikir akan datang peluang seperti itu. Saya masih ingat, saya bawa isteri dan keluarga untuk menyertai penerbangan itu kerana ia adalah momen istimewa.

"Meskipun tempoh berada di London hanya sekejap tetapi kami sekeluarga cukup seronok kerana dapat merasai pengalaman itu bersama-sama," ceritanya.

Hargai pengorbanan isteri

Bercakap mengenai isterinya, Rahinah Darus, Aminudin cukup sentimental kerana menyifatkan wanita itu cukup banyak berkorban terutamanya membesarkan tujuh anak mereka bersendirian manakala dirinya sibuk dengan tugas sebagai juruterbang.



Isteri adalah penyokong terbesarnya.

"Menjadi seorang suri rumah bukan tugas mudah namun kredit harus saya berikan kepada isteri yang cukup penyabar dan mengorbankan hidupnya demi memastikan semua keperluan anak-anak dan diri saya terurus.

"Tanpa isteri, saya tidak mungkin akan capai tahap sekarang dan beliau adalah sumber inspirasi saya," katanya.

Setahun bersara, Aminudin memberitahu kini adalah tempoh untuknya menghabiskan lebih banyak masa bersama isteri dan keluarga selain melakukan perkara-perkara yang tidak sempat dilakukan sebelum ini.

"Rindu hendak terbang itu ada, tetapi kini saya ada perancangan lain dan pastinya ingin menghabiskan masa lebih bersama keluarga," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain