suria

Ketepi kritikan, 3 remaja perempuan buktikan dunia teknologi bukan monopoli lelaki

Saii Yashaa (dua dari kiri) menganggap minatnya terhadap bidang STEM dan reka bentuk telah menyuburkan rasa cinta terhadap inovasi digital.

LAPAN daripada 10 pekerjaan baharu di negara ini memerlukan tenaga kemahiran teknologi digital. Menyedari perkara ini, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) melaksanakan program #mydigitalmaker dalam memastikan negara dapat melahirkan lebih ramai golongan muda berkemahiran.

Melalui program itu, MDEC menyediakan akses kepada kandungan dan keupayaan digital yang setakat ini telah dimanfaatkan sebanyak 2.19 juta pelajar sekolah di seluruh negara sehingga Disember 2020.

ARTIKEL BERKAITAN: Santuni pelajar sekolah, penuntut UPSI bantu pastikan pematuhan SOP lebih optimum

Lebih daripada 25,000 pelajar mendaftar dalam kursus teknologi digital pada 2019 iaitu peningkatan 40 peratus ketika inisiatif ini mula dilaksanakan pada 2017.

Bagi Chan Hew Yan, 17, yang menyertai program Ninja Digital 2019 di bawah gerakan #mydigitalmaker MDEC memberitahu program itu telah banyak menyelesaikan teka-teki dan persoalan yang wujud dalam dirinya sebelum ini.

"Setiap kali belajar dan menemui sesuatu yang baharu, saya sering bertanya mengapa dan mula mencipta teori sendiri. Tapi menerusi program ini saya sangat berpuas hati dan teruja kerana menyedari bahawa semuanya saling berkaitan," katanya.

Program Digital Ninja membolehkan rakyat Malaysia terutama kumpulan berpendapatan rendah untuk menjana pendapatan tambahan dengan mengambil bahagian dalam tugasan digital melalui platform dalam talian. Semua peserta #mydigitalmaker dipadankan dengan kerjaya digital yang sesuai dengan kemahiran masing-masing.



Hew Yan melakukan projek sendiri di rumah.

Hew Yan berkata, minat mendalamnya terhadap game turut membuatkannya ‘jatuh cinta’ kepada dunia digital. Gadis ini berpendapat, jalan cerita dalam permainan yang berpandukan simulator sebenarnya mempunyai persamaan dengan masalah yang sering dihadapi dalam kehidupan seharian. Oleh itu, dia berasa kagum terhadap keupayaaan pencipta kandungan permainan yang memahami aspek berkenaan.

“Sejak kecil lagi, saya sangat berminat dengan game. Saya suka bercerita dan menjelajah dunia yang dicipta oleh pencipta game. Ini membolehkan pemain merasai pelbagai pengalaman dan memupuk sifat seperti bertimbang rasa dan belajar melihat sesuatu dari perspektif yang berbeza, ” jelasnya.

Ketika ditanya pandangannya mengenai semakin ramai pelajar perempuan yang menunjukkan minat terhadap bidang teknologi, Hew Yan berkata, dia turut mempunyai idola wanita dalam bidang ini iaitu Rachel Hofsetter atau lebih dikenali sebagai Valkyrae, seorang streamer YouTube dan pencipta kandungan yang juga penerima Anugerah Pencipta Kandungan 2020 pada Anugerah Permainan.

“Melihat adanya wanita bekerja dalam bidang teknologi membuatkan saya terfikir bahawa kejayaan tiada hadnya. Tidak kira siapa anda, selagi mempunyai minat dan sanggup belajar dan tidak mendengar kepada kritikan-kritikan yang mematahkan semangat, anda pasti akan berjaya, ” katanya.



Aisyah memberitahu pertandingan itu telah membentuk sifat tekun dalam menyelesaikan masalah.

Manakala Aisyah Batrisyia Muhamad Ramdzan, 16, pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Abu Bakar Baginda telah menyertai Pertandingan Cabaran IT Global Untuk Belia Orang Kurang Upaya.

Berkongsi pengalamannya, Aisyah memberitahu cabaran yang dihadapinya dalam pertandingan ini telah membantunya untuk membina sifat tekun dan berusaha dalam menyelesaikan masalah.

"Saya sangat berminat dengan barangan elektronik," katanya ketika ditanya mengenai aspek digital yang paling digemarinya.

“Ibu saya yang merupakan pensyarah bidang mikroelektronik adalah pendorong utama untuk saya mengikuti kursus digital seperti Python, Arduino dan Scratch. Itu memberi peluang kepada saya untuk meneroka dengan lebih mendalam bidang pengaturcaraan, ” katanya menerangkan faktor lain yang telah mendorong untuk mendalami bidang pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dengan lebih bersemangat.



Saii memberitahu banyak mendapat peluang melihat penemuan baharu dan inovasi ketika menyertai program tersebut.

Kemampuan untuk berfikir di luar kotak merupakan perkara yang paling dibanggakan oleh Saii Yashaa Gopinath Rao. Gadis ini menganggap minatnya terhadap bidang STEM dan reka bentuk telah menyuburkan rasa cinta terhadap inovasi digital.

Saii Yashaa berkata, perkara yang paling digemarinya mengenai STEM adalah apabila berpeluang melihat penemuan baharu dan inovasi yang dihasilkan oleh rakan sebayanya untuk menyelesaikan masalah kehidupan sebenar.

"Saya memberitahu diri sendiri bahawa saya juga ingin menjadi seperti mereka, ” katanya yang menetap di Puchong. Dia mengakui bahawa dunia digital telah mencipta ruang yang membolehkannya meneroka kreativiti dan menunjukkan apa yang dapat dicapai.

Bersemangat setelah menyertai program seperti Digital Ninja, dia berpendapat bahawa program yang akan datang di bawah Gerakan #mydigitalmaker harus melibatkan peserta berpengalaman yang dapat membimbing dan memberi inspirasi kepada peserta baharu.

Mengulas mengenai pentingnya Hari Wanita Antarabangsa, Saii Yashaa berpendapat bahawa wanita muda dapat mencapai apa sahaja dengan penuh semangat asalkan mempunyai sikap untuk terus belajar dan berjanji menyokong usaha menghapuskan stereotaip gender berteraskan tema #ChooseToChallenge pada tahun ini.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain