suria

Terperangkap di Tanzania akibat pandemik dan pergolakan politik, Cikgu Anita tetap bersemangat teruskan impian kembara 70 negara, dah berjaya hasilkan 4 buku!

Anita memulakan kembara Global Dream Ride 2 sejak Disember 2019. Foto Facebook ANITA YUSOF

TARIKH 11 September 2015 adalah tarikh keramat bagi Anita Yusof apabila beliau mengambil keputusan untuk memulakan menggembara dengan hanya bermotosikal secara solo ke seluruh dunia menerusi Global Dream Ride.

Penggembaraan yang bermula di Seattle, Amerika Syarikat itu telah membawa Anita atau lebih mesra dengan sapaan Cikgu Anita menjelajah 40 buah negara dalam empat benua termasuk negara seperti Mexico, Colombia, Chile, Turki dan Mongolia.

Lebih membanggakan, Anita berjaya menamatkan misi itu dalam tempoh setahun dengan menunggang motosikal jenis Yamaha FZ150i merentasi sejauh 65,000 kilometer sebelum pulang ke tanah air.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita ini sedih hidap kanser selepas jalani kehidupan sihat, namun bangga mampu habiskan maraton, buat lompatan bungee

Bagaimanapun jiwa kembara bekas pensyarah Institut Pendidikan Guru, Kampus Ipoh ini tidak pernah terhenti untuk meneruskan kembaranya sebelum melancarkan Global Dream Ride 2 pada Disember 2019.

Menerusi misi kali ini, kata ibu tunggal berusia 54 tahun ini, beliau menyasarkan untuk menjelajah ke 70 buah negara di tujuh buah benua meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran dan rintangan ekoran pandemik Covid-19.



Anita kini dalam misi menjelajah 70 buah negara di tujuh buah benua.

"Selepas saya menamatkan Global Dream Ride yang pertama, saya pernah juga menggembara selama dua bulan di New Zealand selain Afrika Selatan pada 2018.

"Sejurus selesai kembara di Afrika Selatan, saya mengambil keputusan untuk pulang ke Malaysia bagi menyambung tugas dan tinggalkan motosikal saya di rumah kenalan di Cape Town.

"Memandangkan saya sudah terbiasa menggembara dan memang tidak boleh duduk diam, akhirnya selepas bersara saya mengambil keputusan untuk kembali dengan Global Dream Ride 2," katanya kepada mStar ketika dihubungi di Tanzania.

Kembara tergendala akibat Covid-19

Berkongsi mengenai Global Dream Ride 2, Anita memberitahu dia sempat menggembara dari Cape Town ke Ethiopia sebelum dunia dilanda wabak Covid-19.

Memandangkan keadaan tidak terkawal, Anita memberitahu dia mengambil keputusan untuk meninggalkan motosikal kesayangannya di Ethiopia sebelum terbang ke Tanzania untuk berehat seketika.

Saya reda dan sentiasa berpegang, setiap apa yang berlaku dalam kembara saya ini pasti ada hikmahnya. Saya hanya mampu berdoa agar pandemik ini segera berakhir.

ANITA YUSOF

"Saya pilih Tanzania untuk berehat kerana rakyat Malaysia tidak memerlukan visa untuk tinggal di negara itu dan kerajaannya membenarkan pelancong menetap selama tiga bulan.

"Kebiasaannya selepas tempoh menetap tamat, saya akan ke Kenya selama sebulan sebelum masuk kembali ke Tanzania. Diam tak diam, sudah setahun saya terperangkap di sini.

"Sepatutnya selepas Ethiopia, saya merancang ke Sudan dan Mesir sebelum ke Eropah... namun disebabkan Covid-19, saya terpaksa membatalkan hasrat itu buat masa ini," ujarnya.

Lebih malang kata Anita, dia tidak boleh berpatah balik ke Ethiopia untuk mengambil motosikalnya memandangkan negara itu kini masih menutup pintu sempadannya.

Itu tidak termasuk pelbagai pergolakan politik, peperangan dan masalah dalaman seperti di antara puak pemisah yang menyukarkan lagi usahanya untuk mengambil motosikal.



Motosikal kesayangannya kini terpaksa ditinggalkan di Ethiopia.

"Jika difikirkan memang menyesal juga meninggalkan motosikal saya di sana... dan Covid-19 bukan satu-satunya halangan ketika ini sebaliknya terdapat pelbagai faktor lain yang menghalang saya meneruskan perjalanan.

"Meskipun saya sangat bersyukur dapat berehat di Tanzania tetapi alangkah bagusnya jika motosikal ada bersama saya, sekurang-kurangnya dapat juga saya melakukan perjalanan domestik.

"Tetapi saya reda dan sentiasa berpegang, setiap apa yang berlaku dalam kembara saya ini pasti ada hikmahnya. Saya hanya mampu berdoa agar pandemik ini segera berakhir," katanya yang tidak meletakkan sebarang tempoh untuk menyelesaikan kembaranya itu.

Pernah lengkapkan kembara ke Asia Tengah dalam masa 30 hari

Bercerita mengenai minatnya terhadap dunia permotoran, ibu kepada dua cahaya mata ini memberitahu niat mahu keluar daripada kemelut konflik kehidupan dan meneroka potensi diri menjadi pendorong untuk menggembara ke merata dunia.

Sebelum merancang kembara dunia, Anita terlebih dahulu berjinak-jinak dengan perjalanan sekitar negara Asia Tenggara pada 2012 dan seterusnya membuat tunggangan soloa Asia Tengah melalui lima negara iaitu Kyrgyzstan, Uzbekistan, Tajikistan, Afghanistan dan Kazakhstan.

Dalam masa sekitar 30 hari, Anita berjaya melengkapkan misinya dan sejak itu, beliau mula dikenali dalam kalangan penunggang motosikal.



Merentasi Gurun Namib di Namibia dengan suhu sudah mencecah 40 darjah celcius pada pukul 9.00 pagi.

“Pada mulanya saya hanya menjelajah ke negara Eropah dengan menggunakan pengangkutan awam pada tahun 2002 secara backpacking. Ketika banyak kemudahan teknologi maklumat boleh dicapai, saya mula mendapat banyak maklumat kembara daripada ramai penulis blog tanah air.

“Saya mendapat inspirasi melalui salah sebuah blog kembara yang mengelilingi dunia dengan berbasikal saja. Melalui blog tersebut saya mula menggerakkan daya untuk mencuba mengembara menggunakan motosikal pula, ” katanya.

Pada asalnya, kata Anita, dia mahu mengembara ke lokasi blogger tersebut nyatakan dalam tulisannya apatah lagi bila melihat gambar yang indah di bumi Kyrgystan yang dirakamkan.

Namun kerana kos yang tinggi untuk backpacking kerana kawasan tersebut sukar diakses menggunakan pengangkutan awam, terbitlah idea menggunakan motosikal untuk mengembara.

“Saya nekad untuk teruskan ekspedisi menjelajah seluruh dunia pada tahun 2015 dengan membawa misi ‘Global Dream Ride’ dengan menjelajah benua Amerika di Seattle seterusnya ke seluruh Amerika Utara, Eropah dan seterusnya ke benua Asia, ” katanya yang juga menjadi kebanggaan Alumni Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) atau Anak Kandung Suluh Budiman.



Sepanjang tempoh pandemik ini juga, Anita sempat menulis empat buah buku.

Hasilkan 4 buah buku ketika pandemik

Bercerita lanjut mengenai aktivitinya ketika terperangkap dalam suasana Covid-19, Anita memberitahu dia sempat menulis empat buah buku sepanjang tempoh setahun iaitu Kembara Solo 'Stans' Asia Tengah, Global Dream Ride - Andai Ini Takdir Yang Kupilih... sebanyak tiga siri.

Anita memberitahu, meskipun tidak dapat meneruskan perjalanan namun dia menganggap ia tempoh untuknya berehat dan memberi fokus kepada perkara lain buat seketika termasuklah menulis buku.

"Saya rasa jika pandemik ini berterusan, mungkin akan ada buku lain yang saya tulis selepas ini," ujarnya yang menjual buku tersebut di laman sosialnya seperti Facebook dan Instagram.

Selain itu, Anita memberitahu dia juga turut meluangkan masa dengan membuat kerja-kerja amal seperti memberi sumbangan kepada golongan memerlukan selain mengajar kanak-kanak bahasa Inggeris.

"Saya sudah niatkan untuk mendermakan sebahagian hasil jualan buku saya ke tabung bagi membantu orang kurang bernasib baik terutamanya kanak-kanak.



Anita turut mempunyai bertemu degnan ramai kenalan baharu dalam kembaranya.

"Pengalaman berada di bumi Afrika memang menginsafkan saya kerana kemiskinan mereka di sini memang sukar diungkapkan dengan kata-kata... Mereka sangat rajin berusaha tetapi tidak dapat lari daripada kemiskinan.

"Sebab itu saya ingin membantu... selain menderma saya juga banyak libatkan diri dalam program komuniti tempatan serta mengajar kanak-kanak bahasa Inggeris," katanya.

Cucu paling dirindui!

Selepas lebih setahun berada di luar negara, Anita mengakui mula rindukan Malaysia terutama cucu tunggalnya yang kini sudah pun berusia satu tahun.

Kata Anita, beliau hanya sempat menatap wajah cucu lelakinya itu sebanyak dua kali sebelum terbang ke Cape Town untuk memulakan kembara Global Dream Ride 2.

"Cucu paling saya rindu. Bayangkan saya hanya sempat berjumpa dengannya hanya dua kali iaitu selepas dia dilahirkan dan ketika dia berusia 10 hari sebelum saya ke luar negara.



Perjalanan solo Anita banyak memberinya ruang untuk muhasabah diri.

"Sekarang pun dia dah berjalan... Rindunya hendak peluk, cium satu-satunya cucu saya itu. Alhamdulillah dapat juga saya tengok perkembangannya menerusi gambar dan video yang dihantar oleh anak dan menantu," jelasnya.

Tidak terburu-buru untuk menyelesaikan kembaranya itu, Anita memberitahu perjalanan yang ditempuhnya juga banyak membuatkan dia merenung dan refleks diri sendiri.

"Saya akui sebelum ini saya agak panas baran orangnya tetapi kembara ini banyak mengajar saya tentang erti kesabaran dan reda dalam erti sebenar-benarnya.

"Setiap kali ada ujian menimpa dalam penggembaraan saya, saya selalu berdoa agar Allah memberikan saya kekuatan untuk menempuh semua ujian diberikan.

"Alhamdulillah doa orang musafir ini memang mustajab... Terlalu banyak insiden yang saya alami menunjukkan tepatnya doa seorang musafir itu," katanya.



Anita bergambar bersama sekumpulan keturunan Swazi di Eswatini, Afrika.

Jadi tidak hairan wanita ini menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan termasuk memegang dua rekod Malaysia Book Of Records (MBOR) sebagai wanita pertama negara menunggang solo ke lima negara di Asia pada 2013.

Selain wanita pertama negara menunggang solo mengelilingi dunia dan mencatat nama dalam Asia Book Of Records sebagai wanita menunggang paling lama secara solo mengelilingi dunia.

Selain itu, beliau dinobatkan sebagai Tokoh Alumni Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan dipilih sebagai Ikon Negaraku.

Bukan itu sahaja beliau turut diundang untuk berkongsi pengalaman dan kepakarannya di dalam serta luar negara termasuk di Amerika Syarikat dan Dubai.

Kembaranya hampir keseluruhan benua sekali gus membawa semarak api semangat sambutan 100 tahun penubuhan institusi keramat UPSI.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain