suria

Wanita ini sedih hidap kanser selepas jalani kehidupan sihat, namun bangga mampu habiskan maraton, buat lompatan bungee

Pada November 2017, Tan Soh Hooi befjaya melengkapkan maraton pertamanya di Chiangmai, Thailand meskipun sedang bertarung dengan kanseer serviks.

PADA November 2017, Tan Soh Hooi berjaya menamatkan maraton pertamanya hanya dalam tempoh enam jam 55 minit meskipun berasa letih dan sakit di seluruh tubuhnya ketika menyertai Muang Thai Chiang Mai Marathon di Thailand.

Segala kepayahan yang perlu ditempuh ketika menyertai acara larian itu dianggap kecil berbanding kejayaannya melawan kanser serviks yang dihidapinya sejak 2015.

ARTIKEL BERKAITAN: Kanser serviks ketiga tertinggi dalam kalangan wanita, ujian HPV dan vaksin boleh kurangkan risiko

"Tiada apa yang dapat menghalang saya kerana menyertai maraton adalah salah satu impian saya dan kejayaan menamatkan maraton itu satu kejayaan besar buat diri saya," katanya.

Apa yang lebih mengagumkan, Tan nekad untuk meneruskan larian meskipun tiga bulan sebelum acara berlangsung, doktor mengesahkan kansernya kembali menyerang.



Tan tidak pernah menjadikan kanser sebagai alasan untuknya terus menikmati kehidupan.

"Bayangkan saya tidak berlatih secukupnya sebelum menyertai maraton itu tetapi semangat saya sangat berkobar-kobar.

"Saya tidak yakin dapat berlari lebih dari 10 kilometer tetapi saya berjaya melakukannya!," ujarnya.

Sukar terima kenyataan hidap kanser

Tan, 54, mendapat perkhabaran dirinya menghidap kanser pada pertengahan 2015 selepas mengalami pendarahan luar biasa dan segera berjumpa dengan doktor.

Pada awalnya, Tan memberitahu dia tidak menyangka pendarahan itu adalah tanda kanser memandangkan sebelum ini dia kerap melakukan ujian papsmear selain tidak mengalami sebarang kelainan atau gejala tertentu.

Selepas doktor mengesahkan dia menghidap kanser serviks tahap satu, Tan tidak menunggu lama untuk terus bersetuju menjalani pembedahan histerektomi bagi membuang tumor dan tidak memerlukan rawatan lanjut selepas itu.

Pada awalnya saya mengakui sukar menerima kenyataan diri menghidap kanser memandangkan setahun sebelum itu saya mula menjalani kehidupan sihat.

TAN SOH HOOI

"Pada awalnya saya mengakui sukar menerima kenyataan diri menghidap kanser memandangkan setahun sebelum itu saya mula menjalani kehidupan sihat.

"Saya mula berdiet, bersenam malah saya jatuh cinta dengan maraton dan sering melakukan aktiviti itu dengan rakan-rakan.

"Apabila saya diberitahu menghidap kanser selepas menjalani kehidupan yang sihat memang saya sedih," katanya yang juga seorang pereka hiasan dalaman.

Bagaimanapun, Tan berkata, dia beruntung kerana dapat mengesan kanser tersebut pada tahap awal.

Kanser kembali, 'bucket list' tetap jalan!

Bercakap mengenai kansernya yang muncul kembali pada 2017, Tan memberitahu apabila mendapat perkhabaran itu dia berasa sedih namun tidak menjadikan ia sebagai halangan.



(kiri) Tan melakukan terjunan bungee dan melawat Navajo Reserve di Amerika.

Ketika itu kata Tan, dia bukan sahaja sudah mendaftar untuk menyertai maraton di Chiang Mai, Thailand malah merancang untuk bercuti ke New Zealand bersama rakan-rakannya sempena ulang tahunnya yang ke-50.

Perancangan yang telah dibuat itu kata Tan menjadi penggerak untuk dirinya melawan penyakit tersebut.

"Saya tidak akan membatalkan perancangan yang telah dibuat. Saya berjumpa doktor dan mendapatkan rawatan yang membolehkan saya tetap pergi ke New Zealand dan Thailand," jelasnya.

Tan menjalani rawatan intensif kimoterapi dan radioterapi selama enam minggu yang disifatkan menggunakan keseluruhan tenaga dan kekuatannya.

Namun katanya, dia bertuah kerana suami, anak-anak dan rakan-rakan banyak membantunya mengharungi waktu sukar itu sehingga dia kembali pulih dan melaksanakan impiannya



Tan memberitahu sangat penting untuk melakukan ujian HPV dan pemeriksaan kanser.

"Ketika di New Zealand saya lakukan pelbagai aktiviti seperti berkuda, membuat lompatan bungee sebelum ke Thailand untuk menyertai maraton... ia cukup menyeronokkan," katanya.

Tan sekali lagi diuji, apabila pada Julai 2018, kansernya kembali dan perlu menjalani rawatan radioterapi malah kanser itu turut merebak ke paru-parunya pada Februari tahun lalu.

"Saya berasa marah tetapi saya tidak pernah sekali pun menangis. Apabila kanser kembali, saya sedar saya perlu lakukan sesuatu.

"Saya mula letakkan diri dalam mod menyelesaikan masalah selain mula membuat kajian dan cuba memahami lebih banyak tentang kanser.

"Ini bukan masanya untuk bersedih dan meratap nasib diri tetapi melawan penyakit ini dengan sebaik-baiknya," ujar ibu kepada dua cahaya mata ini.



Tan menunggang kuda di Glenorchy, New Zealand pada November 2017.

Selepas menjalani enam kitaran kimoterapi, Tan memberitahu kansernya kini berjaya dikawal dan masih dalam proses pemulihan.

Pengalaman menghidap kanser juga kata Tan membuatkan dia turut berhenti bertanya mengapa dia yang terpilih menghidap kanser.

Pertama kali mengalirkan air mata

Tan memberitahu dia sedar tiada jawapan untuk soalan itu selepas menghadiri program kumpulan sokongan yang anjuran oleh Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM).

Di situ juga kata Tan, dia pertama kali mengalirkan air matanya.

"Saya tidak mahu bersikap emosional tentang penyakit saya. Sebaliknya saya menjadi taksub mencari jawapan mengapa saya menghidap barah!



Tan memberitahu dia optimis dengan kehidupannya hari ini dan masih banyak perkara yang ingin dicapainya.

"Sehinggalah saya menyertai program sokongan ini, moderator di situ menyedarkan saya bahawa tidak mengapa untuk menunjukkan emosi saya.

"Ketika itulah air mata saya mengalir dan saya sedar tiada jawapan kepada persoalan mengapa saya dipilih menghidap kanser," katanya.

Sejak itu katanya, dia mula menjalani kehidupannya dengan lebih baik malah bekerja seperti biasa.

Berkongsi pengalamannya juga bukan mudah kata Tan, namun dia sedar perkongsiannya dapat membuka mata golongan wanita untuk lebih peka tentang kanser serviks.

"Pesanan saya, jangan malu untuk berjumpa doktor sekiranya kita rasa ada sesuatu yang tidak kena dengan diri. Pencegahan awal itu sangat penting," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain