suria

Jaga sejak hari pertama di universiti, pelajar bawa sahabat ada masalah penglihatan balik kampung... tak sanggup biar beraya seorang diri di kampus

Mohd Amirul (kanan) membantu rakannya Mohd Sufri (kiri) mengemaskan keperluan untuk di bawa pulang menyambut Aidilfiri di Kemaman, Terengganu.

"KAWAN ketawa senang dicari, kawan menangis sukar dicari."

Itu kata-kata yang cukup sesuai menggambarkan peribadi seorang penuntut Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Mohd Amirol Ridzuan Aripin, 23, yang nekad membawa pulang rakan sekuliahnya ke kampung halaman di Kemaman, Terengganu untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

ARTIKEL BERKAITAN: Rakyat Malaysia kongsi pengalaman berpuasa di Hong Kong ketika dunia berdepan pandemik yang boleh meragut nyawa

Mohd Amirol mengajak sahabat baiknya itu pulang ke kampungnya kerana berasa bimbang sesuatu akan berlaku kepada Mohd Sufri Syahrifuddin, 23, yang mengalami masalah penglihatan sekiranya dia tinggal di kampus.

Kedua-dua sahabat baik itu merupakan rakan sekuliah tahun tiga Sarjana Muda Dakwah dan Pengurusan Islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan dan mereka merupakan antara kumpulan pertama 181 penuntut USIM yang dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing di Kelantan dan Terengganu menggunakan bas universiti pada Sabtu lalu.



Mohd Amirol (kanan) menjaga Mohd Sufri yang mengalami masalah penglihatan sejak mereka mula masuk ke USIM.

Berkongsi kisah bersama sahabatnya itu, Mohd Amirol memberitahu hatinya berasa tidak tenang memikirkan keadaan Mohd Sufri yang berasal dari Kunak, Sabah menguruskan diri sekiranya tinggal bersendirian di kampus pada hari raya nanti.

"Penglihatannya terhad dan perlu ada seseorang sentiasa bersamanya, malah dia pernah beberapa kali terjatuh ketika berjalan seorang diri di kampus dan mengalami kecederaan serius," katanya.

Mohd Amirol memberitahu sejak minggu orientasi di tahun pertama, dia dengan ikhlas hati mengambil tanggungjawab menjaga sahabat baiknya itu atas dasar prihatin padanya.

"Kebetulan kami sekuliah dan rakan sebilik di asrama, jadi lebih mudah. Dia rapat dan selesa dengan saya, jadi pastinya saya rasa sedih jika dia sambut hari raya seorang diri di asrama.

"Soal keselamatan dan makan minum dia juga saya bimbang kerana selama ini saya bantu menguruskannya," ujarnya.

Ibu bapa di Sabah bersyukur kerana saya tidak berseorangan dan sentiasa berpesan agar saya jaga kesihatan dan diri.

MOHD SUFRI SYAHRIFUDDIN

PENUNTUT UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA (USIM)

Dalam pada itu, Mohd Amirol memberitahu dia berasa teruja dan gembira Mohd Sufri dapat pulang ke kampung bersamanya malah ibu bapanya turut mengalu-alukan kedatangannya.

Ini kerana, ibu bapanya sudah menganggap Mohd Sufri sebagai anak mereka sendiri selain adik-beradiknya juga cukup rapatnya dengannya.

Tambah Mohd Amirol, dia menganggap ujian Allah seperti Covid-19 ada hikmah tersendiri malah kedatangan Ramadan dan Syawal merupakan masa terbaik untuk mendekatkan diri kepada-Nya dan berbuat kebaikan kepada insan memerlukan.

Bagi Mohd Sufri, dia sentiasa berasa bersyukur insan seperti Mohd Amirol hadir dalam hidupnya selain sentiasa mengambil berat tentang keadaan dirinya.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama mereka seperti meraikan bersama keluarga saya. Ibu bapa di Sabah bersyukur kerana saya tidak berseorangan dan sentiasa berpesan agar saya jaga kesihatan dan diri," katanya.



Mohd Sufri (kiri) gembira dapat menyambut Aidilfitri bersama sahabat baiknya.

Sementara itu, kumpulan kedua pelajar USIM seramai 74 orang selamat bergerak pulang ke kampung halaman masing-masing di Melaka,

Johor dan Perak pada Ahad pagi menaiki empat buah bas dan sebuah van universiti yang disediakan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar.

Seramai 1,979 pelajar USIM yang berada di kampus terlibat dalam program pergerakan pulang berhari raya dengan 538 orang daripadanya memilih untuk pulang ke kampung menggunakan kenderaan universiti bermula 8 sehingga 11 Mei ini.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain