suria

Pengalaman takluk gunung tertinggi di Eropah bantu gadis ini raih 9A dalam SPM 2020, bapa jadi inspirasi

Sara Sofea bergambar kenangan di atas puncak Gunung Elbrus selepas menyelesaikan pendakian pada 2019.

PENGLIBATAN dalam aktiviti mendaki gunung tidak menghalang seorang pelajar, Sara Sofea Muhammad Illaham mencatat keputusan cemerlang 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.

Bukan itu saja, bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor itu sebelum ini turut mencatat kejayaan mendaki puncak gunung tertinggi di benua Eropah iaitu Gunung Elbrus di Rusia, setinggi 5,642 meter.

ARTIKEL BERKAITAN: Minat Sazali Samad, jejaka ini kongsi kisah transformasi dari 'keding' ke sado – “Pakai baju je longgar, nampak tak elok“

Kejayaan itu diciptanya pada 15 Ogos 2019, di bawah Program Pendakian Belia Merdeka 2020, anjuran Kelab Jelajah Alpine Malaysia (KJA).

Bercerita mengenai minatnya itu, Sara Sofea memberitahu dia banyak mengikut jejak langkah bapanya, Muhammad Illaham Ishak yang pernah mendaki Gunung Everest.



Sara Sofea mendapat keputusan cemerlang pada SPM 2020.

Malah katanya, bapanya banyak memberi bimbingan dan berkongsi pengalaman dalam aktiviti mendaki gunung sehingga dia berjaya menakluk Gunung Elbrus.

"Barangkali tanpa ayah, saya tidak akan mencapai tahap sekarang kerana dia banyak membimbing saya dalam sukan mendaki gunung ini selain berpengalaman sebagai pendaki Everest," katanya.

Sara Sofea memberitahu, aktiviti mendaki gunung yang diceburi telah banyak memberi inspirasi kepada dirinya untuk berjaya dalam bidang akademik.

Ini kerana kepayahan dan keperitan ketika mendaki gunung telah mengajarnya erti semangat perjuangan dan tidak berputus asa dalam apa sahaja dilakukan.

Situasi ketika mendaki gunung yang mencabar itu telah mengajar saya supaya kuat dari segi mental dan fizikal.

SARA SOFEA MUHAMMAD ILLAHAM

"Situasi ketika mendaki gunung yang mencabar itu telah mengajar saya supaya kuat dari segi mental dan fizikal. Semangat itulah yang telah saya gunakan dalam bidang akademik sehingga saya berjaya mencapai keputusan cemerlang dalam SPM baru-baru ini," katanya.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Bagi Sara Sofea, pembabitan dalam aktiviti ekstrim mendaki gunung itu tidak sesekali menjejaskan tumpuannya dalam pelajaran.

Malah dia sangat berterima kasih dan terhutang budi kepada bekas pengetua sekolahnya, Mohd Shahadan Abdul Rahman yang menyokong pembabitannya dalam sukan mendaki gunung dengan membenarkannya mengambil cuti tambahan ketika melaksanakan pendakian di Gunung Elbrus itu.

"Saya ingin berterima kasih kepada semua pihak terlibat seperti guru-guru, keluarga dan rakan-rakan kerana tanpa mereka saya tak mungkin mencapai impian itu," ujarnya.



Sara Sofea mahu meneruskan aktiviti pendakian selepas ini.

Berkongsi mengenai perancangannya selepas ini, Sara Sofea memberitahu dia bercadang untuk menyambung pengajian dalam bidang kedoktoran di samping akan meneruskan minatnya dalam sukan mendaki gunung.

Malah dia merancang untuk membuat pendakian ke gunung lebih tinggi selepas ini seperti Gunung Aconcagua, Argentina, yang tertinggi di Amerika Selatan dan Gunung Vinson Massif yang tertinggi di benua Antartika.

Dalam perkembangan lain, atas kecemerlangan akademik dan ko-kurikulumnya itu, KJA telah menyampaikan sumbangan RM2,000 sebagai insentif dan penghargaan kepada Sara Sofea baru-baru ini.

Majlis penyerahan sumbangan itu dilakukan secara dalam talian oleh Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Yang Farina Abdul Aziz yang juga penggiat sukan mendaki gunung.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain