suria

Niat suka-suka kongsi cara jaga kucing BSH, saluran YouTube pemuda ini ditonton pencinta kucing pelbagai negara

Saluran YouTube KucingKu mempunyai hampir 25,000 subscribers dan ditonton oleh pencinta kucing dari pelbagai negara.

MELIHAT kepada kucing baka British Shorthair (BSH) yang semakin mendapat sambutan peminat kucing di negara ini, seorang pekerja kilang mendapat inspirasi untuk mewujudkan saluran YouTube khusus untuk mendidik orang ramai tentang penjagaan kucing baka tersebut.

Mohd Arif Niza Burhanuddin aktif menghasilkan kandungan berkaitan kucing baka BSH di saluran KucingKu sejak tahun 2019.

ARTIKEL BERKAITAN: Syarikat penerbangan tutup, pemuda ini percaya jualan mampu cecah RM2 juta kerana niatnya mahu bantu orang lain ketika pandemik

ARTIKEL BERKAITAN: Sebak pelajar hanya jamah bubur, bimbang fikir keberkesanan PdPR... dua guru atur strategi didik anak bangsa!

Kini, salurannya itu mempunyai lebih 24,500 subscribers dan ditonton bukan sahaja oleh rakyat Malaysia, tetapi juga penonton dari pelbagai negara lain.

“Saya merupakan seorang pencinta kucing, dan saya juga mempunyai kemahiran dalam mengendalikan kamera dan menyunting video, jadi saya cuba menghasilkan video-video mengenai kucing untuk mendidik orang ramai.

Tip ubat dan vitamin untuk kucing (reupload).00_09_47_02.Still001

Arif tidak mahu orang ramai tertipu ketika melakukan urusan membeli kucing.

“Saya tak sangka ramai juga yang berminat menonton saluran saya dan sambutan yang diberikan juga semakin hari semakin memberangsangkan," katanya.

Berkongsi cerita, Arif berkata, pada mulanya dia mewujudkan saluran KucingKu untuk berkongsi kepada penonton tentang kucing-kucingnya, tetapi selepas melihat sambutan memberangsangkan yang diberikan, dia mula aktif memuatnaik video mengenai kucing BSH.

Arif berkongsi pelbagai info seperti cara-cara penjagaan kucing BSH, pemakanan, cara mengimport dari luar negara dan lain-lain lagi kandungan tentang kucing baka itu.

Jelasnya, antara sebab dia terpanggil untuk berkongsi tentang kucing BSH adalah kerana tidak mahu orang ramai terpedaya dengan 'scammer', memandangkan harga bagi seekor kucing BSH boleh mencecah sehingga puluhan ribu ringgit.

Nak kata saya pandai dan serba tahu tentang kucing itu tidaklah, saya sendiri pun masih lagi dalam proses pembelajaran.

MOHD ARIF NIZA BURHANUDDIN

PEMILIK SALURAN YOUTUBE KUCINGKU

“Saya lihat banyak kes di mana orang ramai tertipu apabila membuat urusan membeli kucing, terutamanya dari luar negara. Memandangkan saya mempunyai pengalaman dalam membawa masuk beberapa ekor kucing dari luar, saya mahu mendidik orang ramai supaya tidak jatuh dalam perangkap scammer,” kata bapa kepada empat orang anak ini.

Arif berkata, sejak mula berkecimpung secara serius dalam dunia kucing pada 2019, dia sudah membelanjakan sekitar RM60,000 secara keseluruhan, termasuk kos membeli enam kucing BSH serta kos membina ruang untuk kucing-kucingnya.

“Mula-mula saya hanya membela seekor kucing baka BSH yang saya beli dari Rusia. Kemudian, terdetik dalam fikiran saya untuk cuba berkecimpung dalam bidang pembiakan kucing.

“Dengan bantuan rakan-rakan lain dalam dunia kucing, saya mengambil keputusan untuk membeli lagi seekor kucing BSH daripada salah seorang pembiak tempatan,” katanya yang kini mempunyai empat ekor kucing betina dan dua ekor kucing jantan induk baka BSH.



Salah seekor kucing BSH yang dibela oleh Arif.

Arif juga telah membuka cattery sendiri sejak tahun 2019 yang diberi nama Dreamsgolgenzt yang terletak di Sepang.

Menurut Arif, dia seronok berkongsi pengetahuan tentang kucing kepada penonton-penonton saluran KucingKu dan gembira apabila menerima banyak ucapan terima kasih di ruangan komen.

“Nak kata saya pandai dan serba tahu tentang kucing itu tidaklah, saya sendiri pun masih lagi dalam proses pembelajaran. Saya hanya akan kongsikan mengenai perkara yang saya tahu kepada penonton.

“Jika ada pertanyaan yang saya tidak mampu jawab, saya akan cuba bertanya kepada rakan-rakan yang lebih arif dan berpengalaman, katanya.



Arif kini turut menjadi pembiak kucing baka BSH.

Tambah Arif, walaupun salurannya lebih tertumpu kepada kucing baka BSH, dia tetap tidak lokek berkongsi ilmu mengenai penjagaan kucing secara umum.

“Alhamdulillah kini saluran saya sudah boleh ‘buat duit’ sejak hujung tahun 2019. Jujurnya, saya tidak sangka ramai juga yang berminat untuk menonton kerana saya hanya mahu berkongsi cara saya menjaga kucing-kucing saya," katanya.

“Saya mahu menghasilkan lebih banyak lagi kandungan yang bermanfaat supaya lebih ramai pencinta kucing yang boleh mendapat info-info berguna tentang cara penjagaan kucing daripada saluran saya," ujarnya.

Saluran YouTube KucingKu boleh ditonton di https://www.youtube.com/c/KucingKu.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain