KEKURANGAN fizikal tidak menjadi penghalang untuk seseorang menjalani kehidupan normal dan menggapai impian. Setidak-tidaknya, itulah falsafah yang dipegang oleh seorang pemuda yang berasal dari Andorra, David Aguilar. Sejak lahir, David hanya bergantung kepada tangan kiri manakala tangan kanannya mengalami kecacatan dan membuatkan dia sentiasa merasakan dirinya berbeza dengan rakan sebayanya.ARTIKEL BERKAITAN: Berjaya namakan negara 147 bendera dalam 15 minit, budak 4 tahun pecah rekod MBOR... kini gigih menghafal nama planet Bagaimanapun kekurangan itu langsung tidak membuatkan David berasa rendah diri sebaliknya sejak kecil dia sentiasa memasang angan-angan memiliki dua tangan seperti orang lain. David menghasilkan tangan palsu menggunakan Lego. "Saya ingin melihat diri saya di cermin seperti saya melihat orang lain, memiliki dua tangan," katanya. Pada usia sembilan tahun, David mula menghasilkan tangan prostetik. Dia membuat tangan palsu itu menggunakan bahan unik iaitu daripada Lego. "Lego adalah mainan pertama saya ketika kecil, rasanya kita boleh mencipta pelbagai benda menggunakan Lego. Hanya imaginasi yang membataskan kita," katanya. Impian David itu tidak hanya sekadar imaginasi tetapi dia turut melanjutkan pengajian dalam bidang bioteknologi di Universiti Internacional de Catalunya, Sepanyol. Rekaannya turut mendapat pengiktirafan Guinness World Record. Pada usia 18 tahun, David mencipta tangan palsu pertama yang diberi nama MK-1 yang diperbuat daripada set helikopter Lego Technic. Ciptaannya itu turut tercatat dalam rekod Guinness World Record untuk 'First Functional Lego Prosthetic Arm' pada 2017. Tangan palsu rekaannya itu memiliki sambungan siku yang boleh digerakkan serta mampu memegang barang yang diangkat. "Model lengan pertama saya tidak digerakkan oleh mesin, saya mengendalikan lengan dengan otot saya dan ia menyakitkan selepas membuat pelbagai gerakan dalam tempoh yang lama. "MK-1 cukup kuat untuk menampung berat badan malah mampu melakukan beberapa tekan tubi," jelasnya. David bersama beberapa rekaan tangan prostetik miliknya. Model terbaharu rekaannya, MK-V pula dilengkapi dengan ciri Spike Prime Hub yang boleh diprogram untuk menerima dan mengirimkan arahan daripada sensor tubuh ke motor."Ini adalah lengan prostetik paling selesa yang saya hasilkan dan saya tidak perlu menggunakan otot untuk mengangkat sesuatu," katanya. Kejayaan mencipta tangan palsu menggunakan Lego itu turut mendapat perhatian daripada Ketua Pembangunan Visual di Marvel, Charlie Wen. Malah Charlie turut memberi David gelaran sebagai 'The Real Tony Stark' atas kejayaannya. Lelaki ini tidak pernah melihat kekurangan dirinya sebagai satu masalah. Bagaimanapun kata David, masih ada beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian dalam rekaannya termasuk keseimbangan di antara fungsi dan keselesaan pemakai. "Ia mungkin berfungsi tetapi belum tentu selesa kepada seseorang dan sebaliknya. Saya dalam usaha memastikan kedua-dua perkara itu seimbang dan seragam untuk semua pengguna," katanya. Terbaharu, David dalam proses mencipta model terbaharu MK-VI iaitu tangan prostetik yang dapat menggerakkan tangan dan siku secara automatik. Dia juga merancang untuk menghasilkan bahagian jari dengan versi berbeza dengan gerakan lebih semula jadi. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI