suria

Dulu bergelar guru... minat berniaga dorong buka pasar basah, mahu bantu usahawan kecil lebarkan bisnes

Fathiri memberitahu semua bekalan ikan di Grocer Mat adalah segar dan harga berpatutan. Foto Kredit IZZUL IMAN

DALAM suasana pandemik tidak ramai usahawan berani untuk membuka atau melebarkan perniagaan kerana enggan mengambil risiko apatah lagi apabila melihat banyak bisnes tidak dapat bertahan.

Tetapi tidak bagi Datuk Fathiri Fadzlah apabila dia mengambil langkah berani dengan membuka Grocer Mat yang menawarkan pelbagai barangan basah berkualiti dan segar.

ARTIKEL BERKAITAN: Niat suka-suka kongsi cara jaga kucing BSH, saluran YouTube pemuda ini ditonton pencinta kucing pelbagai negara

ARTIKEL BERKAITAN: Usaha Ben Ali, Nadiyah Shahab berbaloi... kini Absolut Chocolat masuk pusat beli-belah popular

Fathiri, 43, berkata, langkah berani itu bukan dibuat secara semberono tetapi berdasarkan ilmu, kecekalan serta pengalaman yang ditempuh sebelum ini termasuklah dalam bidang pendidikan, pelancongan, logistik, perlombongan dan produk.

"Setiap perniagaan mempunyai risiko tersendiri tetapi sebagai seorang usahawan kita sendiri perlu bijak mengatur strategi dan pemasaran agar ia 'tidak karam' dan paling penting apa boleh kita sebagai peniaga tawarkan kepada pelanggan.

DSC01350

Suasana pasar yang selesa.

"Saya melihat pasar basah seperti Grocer Mat mempunyai potensi sangat baik apatah lagi barangan makanan adalah keperluan seharian," katanya.

Fathiri memberitahu menariknya di Grocer Mat, ia memperkenalkan tiga elemen iaitu patuh syariah, selesa dan murah selain premis yang luas dan berhawa dingin membolehkan pelanggan berbelanja dalam keadaan selesa.

Ia juga menawarkan harga lebih jimat setanding membeli barangan basah di pasar borong.

Grocer Mat yang bertempat di Sri Gombak beroperasi sepenuhnya bermula 29 September lalu menyediakan lebih dari 80 jenis sayuran segar dan sebanyak 40 jenis barangan basah, seperti ikan dengan tawaran harga menarik.

Fathiri menjelaskan antara faktor ia mampu menjual dengan harga murah adalah kerana membuat pembelian secara pukal daripada pembekal.

Kami juga bercadang untuk mengadakan jualan lelong seperti 'Infaq Jumaat atau Crazy Sunday' untuk memberi peluang pelanggan membeli dengan harga berpatutan kerana kita tahu makanan laut bukannya murah.

DATUK FATHIRI FADZLAH

PEMILIK GROCER MAT

Tinggalkan kerjaya sebagai guru

Berkongsi mengenai penglibatannya dalam bidang perniagaan, Fathiri memberitahu dia memang bercita-cita untuk menjadi seorang usahawan namun perjalanan itu tidak mudah.

Sebaliknya Fathiri mengubah haluan hidupnya dengan menyambung pengajian dalam bidang pendidikan sebelum bergelar seorang guru subjek Matematik di sebuah sekolah di Lembah Klang.

"Selama dua tahun saya bergelar guru dan ia karier yang mulia tetapi jauh disudut hati ada sesuatu yang menggerakkan saya untuk mencapai cita-cita dan cinta pertama saya iaitu bergelar usahawan.

"Hanya selepas dua tahun bergelar seorang pendidik, saya nekad mengejar cita-cita saya dan sejak itu pelbagai perniagaan saya usahakan," katanya.

DSC01589

Grocer Mat dibuka kepada pelanggan sejak 29 September lalu.

Meskipun pengalaman sebagai seorang pendidik singkat, namun Fathiri berkata, ia cukup untuk memberinya ilmu dan kemahiran terutamanya dalam 'mendidik' kakitangannya agar menguruskan perniagaan dengan baik.

"Saya sentiasa menganggap semua staf saya seperti pelajar, saya perlu bimbing dan beri ilmu kepada mereka. Pengalaman singkat sebagai guru tetap saya guna sehingga ke hari ini," ujarnya.

Sementara itu, Fathiri juga sentiasa menerapkan nilai murni serta kebajikan dalam semua perniagaannya dan ia hasil contoh daripada Allahyarham bapanya sendiri.

Katanya, arwah bapanya sentiasa memastikan dua elemen itu diselitkan dalam setiap perkara dilakukan dan dia sendiri berhasrat untuk membantu peniaga kecil menerusi perniagaannya itu.

DSC01365

Sayur-sayuran dan buah-buahan diambil segar dari Cameron Highlands.

Mahu bantu peniaga kecil, sasar buka 2,000 cawangan!

Ini termasuklah menyediakan tempat penyimpanan makanan sejuk beku di tingkat tiga premis itu sebagai tanda sokongan kepada peniaga kecil.

Grocer Mat juga mahu memainkan peranannya dalam membantu usahawan bumiputera dimana tidak hanya bertumpu kepada usaha menyediakan peluang perniagaan bahkan memberi fokus kepada pembangunan usahawan.

Antara impian itu termasuk mampu menyediakan peluang pelesenan bagi mereka yang berminat membuka rangkaian Grocer Mat dengan modal yang berpatutan.

"Kami juga bercadang untuk mengadakan jualan lelong seperti 'Infaq Jumaat atau Crazy Sunday' untuk memberi peluang membeli dengan harga yang berpatutan kerana kita tahu makanan laut bukannya murah.

DSC01462

Fathiri bersama isteri, Datin Freida jihan Abdul Kadir dan anak mereka, Amalina Azalea Farahannah.

“Ini juga cara kita untuk menambah bekalan baru setiap sehari atau dua hari sekali memandangkan kesegaran barangan basah hanya mampu bertahan tiga ke empat hari sahaja. Barangan basah dan segar seperti sayur sayuran juga boleh disedekahkan pada rumah rumah golongan asnaf dan warga tua yang memerlukan,” ujarnya.

Sasaran jangka panjangnya adalah untuk membuka lebih banyak pasaraya Grocer Mat dan menyasarkan 2,000 cawangan menjelang 2025.

"Apabila sudah berada di tahap itu, Grocer Mat secara tidak langsung dapat menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan untuk orang ramai dan yang lebih utama, membantu menjana ekonomi anak bangsa.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain