suria

Pemuda ini bakal daki Gunung Everest, mahu jadi OKU pertama negara kibar Jalur Gemilang di puncak

Meskipun mempunyai kekurangan namun Hawari yakin dapat menakluk puncak Everest. Foto BERNAMA/Instagram @hawariwarie

MATA pemuda ini cukup fokus kepada jurubahasa isyarat yang duduk di hadapannya ketika mendengar ucapan penuh inspirasi daripada Komander 69 Komando SAC Abdul Razak Mohd Yusoff pada sidang media memperkenalkan 10 peserta pasukan Malaysia Everest 2022 (ME2022) di Putrajaya, Sabtu lalu.

Meskipun mempunyai masalah pekak dan bisu sejak lahir, namun jelas terpancar semangat juang yang tinggi di wajah Muhammad Hawari Hashim ketika namanya dipanggil ke pentas utama misi pendakian ke Everest pada Mac ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Status OKU tak halang Latif Romly kejar impian, ini 15 fakta menarik atlet paralimpik negara bergelar Datuk!

Tidak lekang senyuman di wajahnya bagi menzahirkan rasa bangga dan semangat untuk melakukan pendakian tersebut apatah lagi jika berjaya, Muhammad Hawari, 32, bakal menjadi Orang Kelainan Upaya (OKU) pertama negara menawan puncak tertinggi dunia tersebut.

file7joso78b81t6m69j2hs

Muhammad Hawari (dua dari kiri) bersama sembilan peserta pasukan Malaysia Everest 2022 (ME2022).

"Saya mahu membuktikan golongan OKU juga boleh dan mampu menawan puncak gunung tertinggi dunia itu," katanya kepada mStar.

Misi yang bakal bermula 26 Mac hingga 11 Jun depan turut melibatkan anggota beruniform dari Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan pasukan 69 Komando (VAT 69) Polis Diraja Malaysia (PDRM) pelbagai kaum iaitu Ahmad Murshid Makhtar, 35; Jack Oh Heng, 37; Pengarah APM Kedah Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub, 54; serta tiga wakil daripda VAT 69 iaitu Kanang Anak Usin, 42; Pragash Murusgesu, 32 dan Mohammad Hanif Che Ahmad, 28.

Ekspedisi itu turut disertai dua peserta wanita iaitu Ayu Wanirah Naharuddin, 29 dan bekas pesilat negara Rina Jordana Adnan, 42.

Pendakian itu pula diketuai Presiden Kelab Eksplorasi Altitud, Azim Afif Ishak, 33.

Based Camp ABC

Menjejakkan kaki di Annapurna Base Camp (ABC) pada September 2019.

Persiapan sejak dua tahun lalu, latihan di Annapurna Base Camp

Bercakap mengenai persediaannya menawan puncak tertinggi dengan ketinggian 8,848 meter dari paras laut itu, Muhammad Hawari memberitahu sudah melakukan persiapan sejak dua tahun lalu bagi memantapkan staminanya.

Kata kakitangan Muzium Pulau Pinang itu, ini termasuklah dengan mendaki beberapa gunung di dalam negara sebagai mempersiapkan fizikal dan mentalnya.

Selain itu, Muhammad Hawari memberitahu pada September 2019 juga dia bersama pasukannya sempat membuat latihan dan menjejakkan kaki di Annapurna Base Camp (ABC) yang berketinggian 4,130 meter dari aras laut.

"Sebenarnya perancangan untuk menjejakkan kaki di puncak Everest sudah dibuat sejak dua tahun lalu namun disebabkan pandemik yang melanda seluruh dunia, kita terpaksa membatalkan hasrat tersebut.

Hawari 2

Anak kelahiran Pulau Pinang ini sudah melibatkan diri dalam sukan lasak itu sejak berusia 15 tahun.

"Pun begitu, di sebalik halangan pandemik, saya sendiri tetap melakukan pelbagai latihan persediaan sementara menanti sempadan dibuka semula dan Alhamdulillah impian itu hampir terlaksana," ujar bapa kepada dua cahaya mata ini.

Paling penting kata anak jati Pulau Pinang ini, dia mahu mengibarkan Jalur Gemilang di puncak Everest sebagai tanda rasa bangga terhadap negaranya yang tercinta nanti.

Berbaki kurang sebulan sebelum berangkat ke Nepal, Muhammad Hawari kini giat melakukan latihan ketahanan termasuk berlari, joging, memanjat bukit dan sebagainya.

"Sebelum mendaki gunung Everest, perjalanan ke Everest Base Camp juga adalah satu bentuk latihan selain kami akan menyesuaikan diri di Lobuche Peak dengan ketinggian 6,119 meter sebelum mendaki ke puncak Everest.

file6zenw0fxzp51hoqrj85k

Hari bahagia... Muhammad Hawari dan isteri, Safiyyah Tang Xie Li ketika majlis perkahwinan mereka pada 2018.

Cuaca sejuk cabaran paling getir

Bagaimanapun, Muhammad Hawari tidak menolak cuaca sejuk akan menjadi cabaran terbesar ketika pendakian namun tetap optimis dapat melakukannya demi negara.

Mengimbau penglibatannya dalam sukan pendakian, Muhammad Hawari memberitahu dia mula serius dalam aktiviti lasak itu sejak usianya 15 tahun.

Katanya, Bukit Tanjung Bungah, Pulau Pinang adalah destinasi pertama pendakiannya dan sejak itu dia tidak pernah menoleh ke belakang.

Baginya, saat berada di puncak sesebuah gunung cukup memberinya satu kepuasan yang luar biasa dan segala penat lelah ketika mendaki hilang begitu sahaja.

Hawari

Pelbagai gunung dan bukit sudah ditawan pemuda berusia 32 tahun ini.

Antara gunung yang pernah ditawan Muhammad Hawari termasuklah, Poon Hill, Nepal; Gunung Rinjani, Indonesia; Gunung Tebing Keraton, Indonesia; Gunung Kinabalu & Multipeak Sabah; Gunung Irau, Gunung Tok Nenek, Gunung Rajah, Gunung Baha dan banyak lagi.

Ada cara tersendiri berkomunikasi dengan pasukan

Sebagai seorang OKU pendengaran, Muhammad Hawari mengakui tidak dapat berkomunikasi adalah jurang terbesar ketika pendakian namun dia tidak pernah menjadikan perkara itu sebagai alasan untuk menawan puncak.

Jelasnya, dia sentiasa mencari cara untuk memastikan dapat berkomunikasi dengan baik bersama pasukannya termasuk mengajar mereka beberapa bahasa isyarat yang mudah.

"Sebagai contoh semasa di Annapurna Base Camp, saya tidak dengar ada keldai mahu turun, jadi ketua ekspedisi, Azim membaling batu kecil ke arah saya sebagai bahasa isyarat.

Latihan Di Kinabalu

Latihan di Gunung Kinabalu, Sabah.

"Saya juga ada mengajar bahasa isyarat ringkas kepada pasukan selain menggunakan lampu laser ketika pendakian dan isyarat tali yang disambung pada saya dan sherpa," jelasnya.

Ditanya mengenai pemilihannya sebagai salah seorang peserta ME2022, Muhammad Hawari berkata dia tidak melihat ia sebagai kejayaan peribadi sebaliknya mewakili semua OKU di Malaysia.

"Saya rasa kejayaan ini bukan milik saya seorang tetapi kejayaan bersama semua OKU di Malaysia," katanya.

Tiga tahun tertangguh!

Dalam perkembangan sama, ketua ekspedisi, Azim yang pernah menawan Everest pada 2016 melalui Tibet berkata, pihaknya nekad meneruskan misi menawan puncak tertinggi itu selepas hampir tiga tahun tertangguh akibat Covid-19.

file7josoe2hbz4131ieo2hr

Azim akan mengetuai ekspedisi ke puncak Everest yang akan bermula 26 Mac hingga 11 Jun depan.

Azim berkata, misi yang bermula di Nepal itu dijangka mengambil masa kira-kira 63 hari termasuk sebahagiannya dilakukan ketika bulan Ramadan yang jatuh pada awal April depan.

"Misi kali ini adalah tentang kerjasama yang membawa semangat muhibah dan perpaduan seiring aspirasi Keluarga Malaysia!

"Jika berjaya, bermakna Malaysia akan mempunyai keseluruhan 29 pendaki yang sampai ke puncak Everest," ujarnya.

Sebelum ini, Azim pernah dua kali gagal sampai ke puncak Everest melalui Nepal pada 2014 dan 2015 disebabkan runtuhan salji dan gempa bumi ketika pasukan sedang bersiap sedia untuk melakukan pendakian.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain