suria

Dua jiran saling tak kenal ‘bergabung’ cipta ais krim tarik pertama Malaysia, tak sangka raih pendapatan lumayan

Azareil dan Elmira menghasilkan sendiri ais krim tarik di bawah jenama milik mereka, Krem Tarik.

PASTI ramai daripada kita yang pernah melihat aksi lucu penjual ais krim dari Turki melakukan pelbagai helah sehingga ada pembeli cuba merampasnya dari tangan penjual.

Bagi yang belum pernah mencuba atau pertama kali merasai ais krim itu, anda mungkin akan rasa tertipu dengan kerenah penjualnya tetapi itulah keunikan ais krim Turki atau lebih dikenali sebagai dondurma.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Pakej’ kacak dan bijak! Anak Malaysia bakal menyinar di pentas global selepas muncul naib juara pertandingan model antarabangsa

Di Malaysia sendiri sukar mendapatkan ais krim tersebut dan mungkin perlu ke lokasi tumpuan pelancong seperti di Bukit Bintang, Kuala Lumpur untuk mengalami sendiri pengalaman 'dipermainkan' penjual sebelum dapat merasai keenakannya.

Disebabkan perkara itu juga, dua usahawan muda berbakat besar iaitu Azareil Akasha, 21 dan Elmira Nabilah, 18, tampil dengan ais krim Turki buatan mereka sendiri menerusi jenama Krem Tarik.

file7jn9dzye404gdlsgbxp

Meskipun masih muda namun Azareil dan Elmira yakin dapat membangunkan perniagaan mereka.

Lebih membanggakan, Krem Tarik adalah jenama ais krim tarik pertama di Malaysia yang menampilkan sembilan perisa iaitu strawberi, coklat, vanila, mocha, cip coklat, kopi, pistachio, susu dan bijirin termasuk Blue Comet serta teh tarik yang menjadi kegemaran pelanggan.

Jualan RM1,000 dalam tempoh sehari

Peluang bertemu dan berbual dengan dua usahawan ini tentang inspirasi serta keberanian mereka terjun dalam bidang perniagaan pada usia masih muda cukup memberi inspirasi.

Mana tidaknya, Azareil dan Elmira sudah merencana perancangan dan hala tuju masa depan perniagaan yang diusahakan meskipun ia baharu ditubuhkan pada Ogos tahun lalu.

Maka tidak hairan, kesungguhan mereka berdua berjaya menarik perhatian pelanggan dalam tempoh singkat malah ketika hari pertama ia dijual, mereka berjaya mendapat keuntungan sebanyak RM1,000 dan sehingga kini jualan Krem Tarik sudah mencecah RM60,000.

Saya sudah tidak ingat berapa kali saya gagal mendapatkan tekstur ais krim tersebut tetapi saya tidak pernah berputus asa sehingga saya berjaya menemui formula yang betul.

AZAREIL AKASHA

PENGASAS KREM TARIK

"Saya memang sukakan bidang perniagaan tetapi saya sedar bukan mudah untuk menjual sesuatu produk sekiranya ia tidak mempunyai sebarang keistimewaan.

"Krem Tarik terhasil selepas puas saya berfikir tentang apa yang belum ada di Malaysia dan saya terfikir tentang dondurma yang belum pernah ada peniaga tempatan menghasilkannya.

"Alhamdulillah idea itu berhasil serta berjaya menarik perhatian pelanggan dan perniagaan kami semakin berkembang dalam tempoh singkat," kata Azareil kepada mStar.

Belajar cara buat ais krim di internet

Azareil menjelaskan meskipun mengambil inspirasi daripada dondurma namun produk Krem Tarik adalah hasil sepenuhnya buatan tempatan dan daripada kudrat mereka berdua.

241176711_1086385205502890_7727533130784213131_n

Bermula daripada idea, kini Krem Tarik menjadi kegemaran ramai.

Dedah Azareil meskipun dia seorang penggemar ais krim namun dia tidak pernah tahu memasak apatah lagi menghasilkan bancuhan ais krim justeru dia belajar cara pembuatannya menerusi internet.

"Jujur saya katakan, saya memang tidak pandai memasak apatah lagi membuat ais krim. Tetapi semangat untuk memulakan perniagaan sendiri telah mendorong saya untuk belajar termasuk dari internet.

"Sebelum berjaya menghasilkan dondurma, saya sudah tidak ingat berapa kali saya gagal mendapatkan tekstur ais krim tersebut tetapi saya tidak pernah berputus asa sehingga saya berjaya menemui formula yang betul," katanya.

Ketika sedang buntu mencari teknik dan pembuatan ais krim yang betul, di situlah muncul rakan kongsinya, Elmira yang juga jiran di hadapan rumahnya di Bukit Jelutong, Shah Alam.

file7jn9dyu78sz72m0kbxp

Elmira kagum dengan kesungguhan Azareil membangunkan Krem Tarik.

Rakan kongsi jiran depan rumah

Azareil memberitahu dia tidak pernah bertegur sapa dengan Elmira sejak wanita itu berpindah ke kawasan kejiranannya pada pertengahan 2020 namun ais krim tarik telah menyatukan mereka berdua.

"Saya sering buat ais krim di hadapan rumah dan ketika itu Elmira nampak dan bertanya tentang apa yang sedang saya lakukan. Dari situ saya beritahu idea dan dia merasakan ia sangat menarik.

"Apabila Elmira datang membantu, dia mula faham tentang idea saya dan kami cukup serasi bekerja bersama dan sejak itu kami bersama-sama memerah otak mencari idea terbaik menghasilkan produk Krem Tarik," ujarnya.

Sementara itu, Elmira memberitahu meskipun pada awalnya dia kurang yakin dengan idea sahabatnya itu namun kagum dengan semangat dan kesungguhannya merealisasikan idea tersebut.

Krem Tarik 2

Bahan istimewa yang dapat menjadikan ais krim elastik.

Itu juga membuatkan dia ingin bergabung tenaga dengan Azareil dan menyifatkan pemuda itu seorang yang berwawasan dan tidak mudah putus asa.

"Pada awalnya, saya fikir tak rugi pun saya bantu dia kerana ketika itu pun tidak banyak perkara boleh saya lakukan disebabkan pandemik.

"Tetapi apabila melihat kesungguhannya dan cita-citanya tentang Krem Tarik saya jadi kagum. Kami bersama-sama memerah idea, mencari bahan alternatif dan mencipta resepi baharu.

"Alhamdulillah semua idea dan perancangan dibuat dapat dilaksanakan... paling penting pelanggan menyukainya," katanya.

file7jn9e826h0kf9pnsbxp

Proses menghasilkan ais krim tarik dilakukan sendiri mereka berdua.

Dapat ilham bahan rahsia dalam mimpi

Azareil memberitahu selain mengikut dan menggunakan resepi asal dondurma, formula rahsianya turut menjadikan Krem Tarik unik dan tersendiri berbanding dengan ais krim tarik dari Turki.

Secara dasarnya ais krim dari Turki diperbuat daripada sahlep yang berasal dari akar orkid dan mastic iaitu resin tumbuhan daripada pokok mastic.

Bagaimanapun kata Azareil, kedua-dua bahan itu tidak dijual di Malaysia dan lebih menyedihkan ia tidak boleh diimport selepas diharamkan oleh kerajaan Turki.

Disebabkan itu juga, penghasilan Krem Tarik menjadi mencabar dan Azareil dan Elmira perlu menggunakan kreativiti mereka untuk menggantikan bahan lain bagi mendapatkan tekstur sama.

file7jn9dyhld0zuxqkgbxn

Azareil berharap Krem Tarik dapat berdiri setanding dengan jenama ais krim popular lain.

Bagaimanapun usaha mereka tidak sia-sia apabila Azareil mendapat ilham daripada mimpi tentang ramuan gantian yang boleh digunakan.

"Pada satu tahap ada rasa putus asa kerana pelbagai ramuan gantian digunakan tidak dapat memberikan tekstur elastik yang membolehkan ais krim itu ditarik.

"Tetapi dengan kuasa Allah, pada suatu malam saya bermimpi tentang ramuan yang boleh digunakan dan Alhamdulillah ia berjaya," katanya yang enggan mendedahkan bahan tersebut.

Kini selepas enam bulan beroperasi, Azareil dan Elmira bangga dengan pencapaian mereka dalam memberi peluang kepada penggemar ais krim menikmati dondurma buatan tempatan.

Krem Tarik 1

Terdapat sembilan perisa yang ditawarkan termasuk Teh Tarik.

Malah Krem Tarik sudah sampai ke seluruh Malaysia selain mempunyai seorang ejen di Brunei dan berharap jenama itu dapat berdiri sebaris dengan jenama terkenal lain pada masa hadapan.

Apa lebih menarik, setiap kali mendapat tempahan daripada pelanggan, mereka akan menyediakan ais krim tersebut segar dari ruang dapur yang dibina khas di rumah Azareil.

"Kebiasaannya kita akan buka pra tempahan dan akan membuat ais krim sehari sebelum penghantaran dibuat. Kami ingin memastikan pelanggan dapat merasai ais krim yang segar apatah lagi kami tidak menggunakan sebarang bahan pengawet.

"Buat masa ini juga kami selesa bekerja dari rumah dan sudah tentu dalam perancangan kami untuk melihat jenama Krem Tarik berkembang dengan mempunyai kedai sendiri dan gerai di pasar raya seperti beberapa jenama popular lain," katanya.

file7jn9e7hxywj12p3hobxn

Setiap perisa mempunyai topping tersendiri.

Projek besar sebagai pembekal

Impian itu mungkin terlaksana dalam beberapa tahun kerana keenakan ais krim tarik buatan mereka berdua bukan sahaja popular dalam kalangan pelanggan tetapi ada yang mula ingin melakukan kerjasama.

Beritahu Azareil, terdapat beberapa restoran mewah telah menghubunginya untuk membekalkan ais krim ke restoran mereka selain terdapat beberapa syarikat menawarkan untuk membeli formula ais krim tarik miliknya.

"Alhamdulillah ada beberapa tawaran telah datang sebagai pembekal termasuk satu projek besar yang masih dalam peringkat perbincangan.

"Ini antara impian saya untuk melihat idea saya ini berkembang dan boleh dinikmati oleh sesiapa sahaja dan paling penting ia buatan tempatan.

"Saya percaya produk Krem Tarik boleh berdiri sebaris dengan jenama sedia ada dan saya tahu kami mampu melakukannya," katanya penuh optimis.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain