"MUKA dia sangat eksotik dan unik." Begitulah ungkapan rata-rata yang melihat foto-foto seorang jejaka Melayu melakukan peragaan di Minggu Fesyen Paris 2022 di Paris, Perancis. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) Bukan calang-calang orang dapat menjadi sebahagian daripada minggu fesyen paling berprestij di dunia. Apa yang lebih membanggakan salah seorang daripada mereka yang datang dari pelusuk dunia itu merupakan anak kelahiran Malaysia! Ritz memperagakan koleksi Hermes di Minggu Fesyen Paris 2022. foto IG RidzmanZidaine / Hermes Siapa sangka pada usia 22 tahun, kisah Ridzman Zidaine menjadi tular apabila dikatakan menjadi model Melayu pertama melakukan 'catwalk' di Minggu Fesyen Paris. Koleksi yang diperagakannya di atas pentas juga membawa jenama-jenama mewah terkenal di dunia seperti Louis Vuitton, Hermes, Zegna (Ermenegildo Zegna). ARTIKEL BERKAITAN: 'Pakej' kacak dan bijak! Anak Malaysia bakal menyinar di pentas global selepas muncul naib juara pertandingan model antarabangsa Malah, Ridzman merupakan model lelaki Malaysia pertama yang membuat kemunculan untuk Louis Vuitton di Minggu Fesyen Paris sempena koleksi Musim Panas / Luruh 2023. Penglibatan dalam Minggu Fesyen Paris ternyata membuatkan anak muda berketinggian 188 sentimeter ini berasa amat teruja dan berbesar hati. "Saya sangat gembira," kata Ridzman kepada mStar secara ringkas. Ritz berlatarkan Menara Eiffel di Paris. foto IG RidzmanZidaine Bukan sekadar di Paris, Ridzman atau mesra disapa Ritz turut menempa nama di pentas peragaan Minggu Fesyen London di United Kingdom (UK) dan Minggu Fesyen Milan di Itali. Sepanjang tiga acara fesyen terbesar dunia itu, pemuda ini turut memperagakan koleksi Issey Miyaki, Casablanca, Alyx, Robyn Lynch, Juoyo Wang dan Wooyoungmi. Bukan sekadar wajahnya yang unik, malah nama Ritz juga meraih perhatian ramai. "Itu nama sebenar saya," ujar Ritz lagi sambil menambah nama tersebut turut menjadi nama di pentas peragaan. Ritz di Minggu Fesyen London 2022. foto IG Topboicitizen / Robyn Lynch / Voli.ldn Namanya diberikan sempena legenda bola sepak Perancis, Zinedine Zidane. "Ayah menggalakkan saya bermain bola sepak ketika saya masih muda, sekali gus menjelaskan mengapa saya dinamakan sempena legenda bola sepak Perancis," kata Ritz menerusi wawancara bersama majalah fesyen dan gaya hidup untuk lelaki, Men's Folio. Pada 2019 ketika usianya 19 tahun, potensi Ritz diintai oleh Topboi Citizen, sebuah agensi model yang berpangkalan di Kuala Lumpur. Tahun itu menyaksikan penampilan sulungnya di pentas peragaan di Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2019 (KLFW 2019). Rekaan unik daripada Juoyu Wang diperagakan Ritz di Minggu Fesyen London 2022. foto IG Topboicitizen / Juoyu Wang Difahamkan, Ritz juga bekerjasama dengan agensi model di Eropah iaitu Next Models di bawah Next Model Management, salah satu agensi model terbesar dan terulung di dunia. "Peragaan merupakan bahagian penting dalam industri fesyen dan juga penting untuk memahami bahawa model mempersembahkan konsep yang ingin ditunjukkan oleh jenama. Model dalam banyak cara, menghidupkan dunia fesyen," ujarnya. Model dalam banyak cara, menghidupkan dunia fesyen. RIDZMAN ZIDAINE Memetik Men's Folio, kata Ritz, kualiti terpenting model yang berjaya adalah kecenderungan untuk belajar. "Setiap orang mempunyai kelemahan dan dapat mengakuinya sambil mempunyai keberanian untuk menambah baik supaya boleh menjadi lebih baik dalam apa yang kita lakukan adalah kualiti yang baik untuk dimiliki," katanya. Ritz beraksi untuk Issey Miyaki. foto IG Topboicitizen / Issey Miyaki Dalam pada itu, Ritz bersyukur kerana mempunyai sistem sokongan yang kuat yang boleh dia harapkan dari segi psikologi dan emosi. "Walaupun saya percaya adalah penting untuk kita yakin pada diri sendiri, sokongan tanpa henti daripada keluarga dan rakan-rakan mendorong saya untuk bertahan dan mahu membanggakan mereka. "Perkara mudah seperti melihat dan bercakap dengan orang yang saya sayangi seperti ibu bapa saya, perkara pertama dilakukan pada waktu pagi membuatkan saya terus bersemangat. "Ia juga penting untuk menyedari bahawa kita hanya perlu menumpukan pada kebaikan dan mengabaikan perkara yang tidak menyenangkan daripada individu yang kita temui, tanpa mengira siapa mereka," katanya. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI