BUKAN satu, tapi dua rekod dunia yang berjaya dipegang oleh seorang murid Tahun Dua Sekolah Kebangsaan Seri Selangor di Subang Jaya, Selangor. Ketangkasan kanak-kanak perempuan ini begitu luar biasa apabila dapat mengenal pasti lebih 200 bendera negara, hanya dalam masa kurang lima minit! Si cilik pintar ini, Anjanaa Rhea Ganeson dapat menembusi Rekod Dunia Kanak-kanak (KWR) Kanada dan Buku Rekod Dunia Jackhi (JBWR) India menerusi catatan masa terpantas yang dicapainya bagi mengenal pasti 230 bendera negara dalam tempoh empat minit dan 38 saat. "Saya sangat teruja dan berbesar hati untuk memperoleh pengiktirafan berganda ini. Ia pastinya menaikkan semangat saya untuk melakukan yang lebih baik pada masa depan," kata Anjanaa dalam satu wawancara menerusi e-mel, baru-baru ini. Anjanaa memperoleh KWR, portal dalam talian berpangkalan di Kanada yang menonjolkan bakat kanak-kanak berumur empat hingga 16 tahun, di bawah kategori perempuan (tujuh hingga sembilan tahun). Sementara itu, pencapaian Anjanaa juga membanggakan menerusi JBWR, yang berpangkalan di Tamil Nadu, India, yang mempamerkan bakat terpendam orang di seluruh dunia. Anjanaa memegang dua rekod dunia dengan mengenal pasti 230 bendera dalam masa kurang lima minit. Anjanaa yang berusia lapan tahun menyelesaikan tugas tersebut secara maya dan memperoleh pengiktirafan KWR dan JBWR, masing-masing pada Januari dan Mac lalu. "Sebelum pandemik Covid-19, saya bersama ibu bapa mengembara ke banyak negara termasuk Indonesia, Kemboja dan India. "Selama bertahun-tahun, minat saya semakin mendalam untuk mengetahui lebih lanjut mengenai bendera negeri dan negara yang berbeza-beza. "Saya sangat menyukai warna dan simbol yang menarik bagi setiap bendera. Ia memberi inspirasi kepada saya untuk belajar dan mengetahui tentang bendera semua negara di dunia," ujar Anjanaa yang bercita-cita untuk menjadi doktor haiwan. ARTIKEL BERKAITAN: Berjaya namakan negara 147 bendera dalam 15 minit, budak 4 tahun pecah rekod MBOR... kini gigih menghafal nama planet Tambah kanak-kanak itu, dia dapat menghafal 195 bendera negara dan ibu negara sejak berusia enam tahun. "Ia bermula semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Sepanjang tempoh duduk di rumah, ibu bapa mencipta aktiviti yang menyeronokkan untuk saya. "Salah satunya ialah menghafal bendera. Aktiviti ini memerlukan disiplin dan banyak latihan untuk mencatat rekod masa," kata Anjanaa. Ibunya, Shiyamala Amos, 45, membeli buku dan bendera mini dari platform beli-belah dalam talian untuk mengasah bakat Anjanaa dalam kemahiran menghafal. "Saya dan Anjanaa bermain permainan menghafal bendera semasa PKP. Saya akan memintanya untuk mengenal pasti bendera dari negara berbeza di seluruh dunia. "Saya terkejut bagaimana dia berjaya mengekalkan maklumat berdasarkan setiap warna, logo dan keunikan bendera," katanya yang merupakan suri rumah. Anjanaa bakal Pertandingan Muzik dan Bakat Festival Seni Antarabangsa Asia Pasifik 2022. Menurut Shiyamala, rahsia kejayaan Anjanaa ialah mengurangkan masa menggunakan gajet. "Bagi memastikan dia mempunyai lebih banyak masa untuk permainan pendidikan dan aktiviti lain, kami jarang membenarkan Anjanaa meluangkan banyak masa pada gajet atau media sosial. "Daripada peranti teknologi, saya menggalakkan dia membaca dan melibatkan diri dalam board games (permainan papan) termasuk aktiviti seni dan kraf. "Saya dan suami berbangga kerana anak perempuan kami mencipta rekod antarabangsa. Kedua-dua anugerah itu adalah dorongan dan pencapaian dalam satu pakej. "Ibu bapa mesti menyokong minat pendidikan anak-anak masing-masing bagi membantu membina keyakinan, kebolehan dan perkembangan peribadi mereka. "Buat masa ini, Anjanaa sedang berusaha keras untuk memperbaiki rekod masanya bagi memecahkan lebih banyak rekod dunia. Dia akan mewakili Malaysia dalam Pertandingan Muzik dan Bakat Festival Seni Antarabangsa Asia Pasifik 2022 pada bulan depan," katanya. - The Star Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI