KEHIDUPAN sewaktu kecilnya penuh onak dan berliku. Dibesarkan dalam sebuah keluarga yang agak susah, episod duka Dr Abdul Hadi Samsi, 34, bermula apabila dia kehilangan bapa tercinta sewaktu berusia lima tahun akibat menderita kanser tulang. Ibunya pula hanya berniaga nasi lemak untuk menyara dia dan enam adik beradik yang lain, justeru pendapatan yang diperoleh boleh dikatakan 'cukup-cukup makan' dan kebanyakan masa tidak cukup untuk menampung keperluan lain. Hadi (berjubah) bersama beberapa penghuni yang masih tinggal di rumah Anak Yatim Asrama Damai. Disebabkan kesempitan wang, Abdul Hadi dan tiga adik-beradiknya menghuni rumah kebajikan kendalian Persatuan Rumah Kebajikan Anak-Anak Yatim Damai, Kuang, Selangor ketika masing-masing berusia antara dua hingga 16 tahun. "Saya menghuni rumah anak yatim itu sejak 1995, iaitu ketika nak masuk umur tujuh tahun. Sewaktu saya berada di tingkatan empat, ibu pula menyusul arwah ayah... ibu meninggal dunia kerana kanser perut. "Waktu ayah meninggal dunia, saya kecil lagi... saya tak mengerti. Tapi waktu emak meninggal dunia, saya rasa kosong. Saya rasa masa depan gelap. ARTIKEL BERKAITAN: Pernah dihalau kerana disangka jual barang, kini pensyarah kelulusan PhD ini bukti dirinya OKU 'rare' – “Jangan tak tahu saya suka melancong” ARTIKEL BERKAITAN: Hebat! Dua beradik qari qariah cipta kejayaan Tilawah al-Quran, rupanya mak ayah mereka pun bukan biasa-biasa "Lama juga saya pendam perasaan sakit itu. Sebulan hingga dua bulan juga cuba move on. Dan waktu itu apa yang menjadi turning point adalah kata-kata pengetua dan pengasas rumah anak yatim, Ustaz Suhaimi Dzajuli. "Kata beliau, tak ada orang yang ubah kita, tapi hanyalah kita sendiri. Kalau kita miskin, tak ada ilmu, tak ada orang yang pandang kita. Gambar ketika menerima skrol PhD yang disampaikan oleh Sultan Selangor selaku Canselor UPM. "Itulah kata-kata motivasi yang membuatkan saya pasang tekad nak berubah," ujar Abdul Hadi ketika berkongsi kisah kehidupannya di rumah anak yatim, kepada mStar. Abdul Hadi yang merupakan anak kelahiran Kampung Paya Jaras, Sungai Buloh, Selangor menghuni rumah anak yatim berkenaan selama 13 tahun. Melangkah keluar sebaik sahaja tamat tingkatan enam, Abdul Hadi menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda (Sains) Pembangunan Manusia di Universiti Putra Malaysia (UPM). Dia kemudian melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Sains Politik dan Kerajaan, seterusnya peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang yang sama, juga di universiti berkenaan. Sewaktu Majlis Konvokesyen UPM ke-45, Mac lalu. "Ustaz Suhaimi adalah orang yang bagi galakan supaya saya melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi sebagai inspirasi kepada adik-adik penghuni anak yatim yang lain. Begitu juga dengan guru-guru di sana. "Penghuni di sana terdiri daripada pelbagai latar belakang yang berbeza. Alhamdulillah kejayaan saya ini menjadikan saya penghuni pertama yang memperoleh PhD. "Namun saya mengharapkan lebih ramai lagi akan mengikut jejak langkah yang sama," katanya. Apa yang menjadi turning point saya adalah kata-kata pengetua dan pengasas rumah anak yatim ini, Ustaz Suhaimi Dzajuli. DR ABDUL HADI SAMSI Abdul Hadi berjaya menggenggam ijazah PhD dalam bidang Sains Politik dan Kerajaan pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) kali ke-45, Mac lalu. "Saya hadiahkan kejayaan ini buat keluarga dan semua guru yang menjaga saya di Persatuan Rumah Kebajikan Anak-Anak Yatim Damai, Kuang, Selangor selama 13 tahun dan mendidik saya seperti anak mereka sehingga ke peringkat universiti. Bersama pensyarah merangkap penyelia PhD, Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain. "Saya tak mampu membalas semuanya, namun saya bertekad untuk memberi semula (give back) dari segi kemahiran dan kewangan untuk adik-adik penghuni di sana," ujarnya yang kini berkhidmat sebagai pegawai khas kepada Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPM. Tambah Abdul Hadi, dia berharap kisah hidupnya mampu diambil sebagai pendorong kepada remaja atau anak-anak yatim lain untuk tidak menjadikan status diri sebagai penghalang untuk mencapai kejayaan. Abdul Hadi dan adik-beradiknya yang pernah menghuni Asrama Damai menziarahi pengasas rumah anak yatim, Suhaimi Dzajuli. "Kita cuba buktikan kepada penyumbang yang sering salurkan derma dan dana kepada rumah anak yatim, dan juga kepada masyarakat bahawa asrama anak yatim juga boleh ubah orang susah untuk menjadi orang yang berjaya. "Ingat bahawa hanya diri kita saja tahu apa yang kita mahu. Kita saja tahu apa yang kita impikan. Kalau kita masih harapkan simpati dan empati orang lain, kita takkan berjaya. Jangan down, sebaliknya pandang hikmah yang diberi. "Dan bila dah berjaya jangan lupa berbuat kebaikan, insya-Allah benda baik juga berbalik kepada kita," ujarnya lagi. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI