BUKAN calang-calang! Ada yang mempunyai latar belakang kerjaya sebagai seorang doktor, doktor gigi, ahli farmasi, pelakon, cef, usahawan, barista, jurulatih kecergasan dan banyak lagi. Mereka merupakan antara 24 jejaka idaman Malaysia yang akan bersaing untuk merebut gelaran Mr World Malaysia 2022, sebuah pertandingan yang dianjurkan oleh Universal Music Malaysia (UM). Pertandingan ini bertujuan untuk mencungkil bakat baharu dan mempelbagaikan portfolio bakat di bawah naungan Celebrity360, sebuah agensi pengurusan bakat UM. Kesemua finalis ini yang mewakili hampir semua negeri di Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak, diperkenalkan dalam satu majlis yang diadakan di citizenM, Bukit Bintang, Kuala Lumpur, pada 10 Ogos lalu. Majlis memperkenalkan 24 finalis Mr World Malaysia 2022 yang berlangsung baru-baru ini. "Universal Music Malaysia berharap melalui projek seperti Mr World Malaysia, kami dapat mengukuhkan lagi portfolio bakat kami di samping mengembangkan segmen yang berbeza selain nyanyian dan lakonan," kata Pengarah Urusan UM, Kim Lim. ARTIKEL BERKAITAN: Ibu meninggal dunia, bapa pula kena pulang Indonesia... Wanita asal Tawau ini kerja keras demi ubah nasib, kini ada bisnes sendiri Malah tambah Kim Lim, menerusi acara tersebut, ia secara tidak langsung dapat mendokong bakat baharu yang bakal membawa nama Malaysia bersama jenama tempatan ke pentas dunia kelak. Pemenang akan mewakili Malaysia di pertandingan berprestij global Mr World 2022 yang dijangka diadakan di United Kingdom pada hujung tahun ini. Orang ramai dijemput memeriahkan program temu mesra bersama kesemua 24 finalis yang akan diadakan pada 28 Ogos ini di Pavilion Bukit Jalil. Pelbagai aktiviti menarik menanti hadirin termasuk peluang memenangi tiket ke acara gala akhir yang dijadualkan berlangsung pada bulan September. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI