suria

Abang bomba sado belanja biceps terkejut tiba-tiba jadi ‘famous’, netizen jumpa akaun IG... Rupanya bertugas di balai Puchong je!

Manir merupakan salah seorang anggota bomba yang tular dalam perarakan sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2022.

DUA tahun suram dek pandemik Covid-19, rakyat Malaysia meraikan detik 31 Ogos dengan semangat luar biasa ketika Sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Paling mencuri tumpuan dalam sambutan itu tentunya kehadiran 19 anggota bomba sado yang menaiki beberapa buah trak sambil menayang otot biceps sehingga wajah mereka menjadi 'fenomena' dan tular di media sosial.

Salah seorang anggota terlibat, Asmasaifulhayat Ahmad, 32, mengakui hilang kata-kata apabila dia dan rakan-rakan menerima reaksi luar biasa netizen dalam sambutan keramat itu pada Rabu.

manir3

Manir sudah 10 tahun berkhidmat sebagai anggota bomba.

"Ini pertama kali saya terlibat dalam perarakan Hari Kebangsaan. Kami mula berlatih untuk perarakan sejak 24 Ogos. MasyaAllah, saya rasa ini satu kenangan yang tak boleh dilupakan.

"Penonton yang sangat meriah, sukar nak diungkapkan dengan kata-kata. Semasa perarakan dan berada di atas trak bomba, saya rasa nak menangis sebab teruja. Rasa meremang pun ada.

"Ingatkan habis di situ saja, rupa-rupanya viral di media sosial pula. Saya rasa terharu dengan sokongan netizen yang sangat positif," ujarnya.

10 tahun penuh suka duka

Dalam temubual bersama mStar, dia yang senang disapa Manir sempat mengimbas semula perjalanan hidupnya yang sudah 10 tahun bergelar anggota bomba.

Menurut anak jati Terengganu itu, dia bersyukur dapat menceburkan diri dalam bidang pekerjaan yang diminati, malah seronok memberi khidmat bakti kepada masyarakat.

"Saya menyertai bomba ketika umur 22, pada tahun 2012. Kiranya dah 10 tahun saya bergelar anggota bomba. Saya minat kerja-kerja membantu orang ramai. Apabila rekrut, saya terus jatuh cinta dengan pekerjaan ini.

manir2

Sebahagian anggota bomba sado yang terlibat dalam Sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka.

"Masa zaman sekolah pun saya menyertai kadet bomba. Pada saya, kerja bomba sangat seronok sebab setiap hari saya akan melalui pengalaman berbeza-beza. Operasi setiap hari tak sama.

"Mungkin hari ini kebakaran dapur, esok kebakaran ruang tamu. Ada hari lain berdepan dengan ular pula. Tidak pernah spesifik dengan satu tugas saja. Paling penting, kena ada kekuatan mental dan fizikal," ujarnya yang berkhidmat di Balai Bomba dan Penyelamat Puchong, Selangor.

Sudah menjadi lumrah dalam pekerjaannya, Manir turut berdepan dengan pelbagai peristiwa ngeri yang sehingga kini masih segar di ingatannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Setinggi mana patriotisme anda? Hayati 15 info mengenai sejarah terciptanya Jalur Gemilang

"Banyak benda mencabar. Paling diingati tentunya pada tahun 2018, saya pergi mengeluarkan mayat yang sudah seminggu di dalam bilik air. Bau mayat itu melekat dalam hidung saya selama seminggu.

"Saya terkena badi mayat sehingga perlu mendapatkan rawatan daripada pengamal perubatan Islam. Masa tahun 2015 dulu, saya juga pernah kutip otak mangsa kemalangan. Kepala mangsa tembus. Bagi saya ini adalah dua pengalaman paling mencabar," ujarnya.

Sihat dan sado

Dalam kesibukan bekerja, Manir juga aktif menjaga fizikal dan turut bergelar jurulatih kecergasan secara sambilan sejak tahun 2015.

Selain aktif dalam bidang sukan sejak zaman sekolah, Manir turut berjinak-jinak dalam dunia bina badan sehingga dia menjadi juara dua kali pada tahun 2018.

"Selain bekerja sebagai anggota bomba, saya juga merupakan personal trainer sejak tahun 2015. Sehingga ke hari ini, saya dah melatih lebih 50 individu. Ada yang gemuk nak kurus, ada yang kurus nak sado dan sebagainya.

manir4

Manir terharu apabila dia dan rakan-rakan menerima sokongan netizen selepas tular di media sosial.

"Saya merupakan atlet Terengganu ketika zaman sekolah. Dulu saya main olahraga, ragbi dan bola sepak. Selepas saya alami kecederaan lutut, saya pilih untuk sertai aktiviti bina badan.

"Saya banyak menyertai pertandingan bina badan. Dua kali juara badan cantik masa tahun 2018. Kepada mereka yang nak sado, boleh datang ke gim untuk work out dan buat latihan weight lifitng.

"Kalau boleh invest sikit cari ilmu berkaitan cara bina otot. Kena pastikan cara pemakanan dan cara work out yang betul. Kalau yang nak kurus pula, boleh ikut panduan pemakanan sihat yang digariskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," ujarnya yang memiliki berat 86 kilogram (kg) dan berketinggian 170 sentimeter (sm).

Akhir bicara, Manir menitipkan ucapan terima kasih atas sokongan ramai dan menganggap semua yang berlaku kali ini sebagai kenangan paling manis dalam hidupnya.

manir5

Manir turut bekerja secara sambilan sebagai jurulatih kecergasan sejak tahun 2015.

"Saya banyak kongsi mengenai fitness saja. Sejak viral selepas Sambutan Hari Kemerdekaan, followers di Instagram juga meningkat. Ramai yang mesej dan hantar kiriman video perarakan kepada saya.

"Ramai juga yang mesej tanya cara untuk memohon pekerjaan sebagai bomba. Saya nak ucapkan terima kasih mereka kepada yang hadir ke Dataran Merdeka dan beri sokongan di media sosial. Anda semua memang awesome," ujarnya yang memiliki hampir 27,000 pengikut di Instagram.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain