suria

Bermula dari bawah pokok, kini Fateh Watches ungguli jenama jam tangan mewah Malaysia... Dulu jual di FB tak laku!

Jenama Fateh Watches semakin mendapat tempat dan dikenali ramai

BERMULA dengan berniaga di bawah pokok sehingga pernah dibasahi hujan dan khemah diterbangkan ribut, kini Fateh Watches menjadi jenama jam tangan mewah yang terunggul di Malaysia.

Berkongsi pengalaman menubuhkan empayar perniagaan, Pengasas Fateh Watches, Zainal Mohd Ali berkata, dia sama sekali tidak menyangka bahawa produk yang dihasilkan itu akan melalui fasa 'gelap' sebelum mampu kukuh di pasaran sehingga sekarang.

"Dengan pengalaman yang ada saya tidak berhadapan dengan masalah reka bentuk, teknik, pembuatan dan sebagainya sehinggalah jam tangan berjaya dihasilkan.

"Pada awalnya, saya ingat senang saja nak jual produk ni... hanya letak dalam Facebook dan orang akan beli. Tapi sepanjang tempoh itu, tak ada pembeli," ujarnya yang turut mengakui rasa kecewa.

Pun begitu, disebabkan jam tangan sudah dihasilkan, dia mencari inisiatif tersendiri untuk memasarkannya.

Tambahan pula mendapat dorongan daripada isteri tercinta.

"Barang sudah ada, jadi suatu hari isteri suruh pergi jual di mana-mana sahaja dan bermula daripada situ saya bergerak ke kedai termasuk pusat servis Proton dan Honda.

Moonphase Skeleton Strata antara produk yang dihasilkan Fateh Watches.

Moonphase Skeleton Strata antara produk yang dihasilkan Fateh Watches.

"Dalam 10 pusingan, kira-kira dua jam tangan terjual. Pada masa tu, jam yang dijual berharga sekitar RM500 sahaja.

"Kemudian saya cuba berniaga di Pasar Tani Stadium Shah Alam di Selangor... ada orang cakap tak boleh jual jam, tapi saya cakap rezeki Allah yang tentukan," ujarnya yang turut menyertai program atau majlis yang dianjurkan sesetengah pihak.

Meskipun berasa sukar, usaha beliau tidak terhenti begitu saja.

Zainal kemudiannya cuba berniaga di surau dan memulakan jualan selepas waktu Zohor.

"Di surau ramai orang beli. Saya letak sebelum sembahyang Zohor dan selepas solat akan ada orang beli... macam di Shah Alam, yang banyak beli adalah mereka yang berkhidmat sebagai jurutera, profesor, Datuk mahupun bergelar yang Tan Sri.

"Apaila saya terangkan tentang pembuatan jam, barulah mereka percaya dan di bawah pokok juga saya berjaya tandatangan kontrak bagi menghasilkan kira-kira 200 utas jam," jelasnya yang terus bangkit membina empayar Fateh Watches.

PENGALAMAN

Menceritakan tentang kerjaya yang diceburi sejak tahun 1974, ujar Zainal, pada awalnya dia berkhidmat di sebuah kilang kejuruteraan di Shah Alam.

"Tiba-tiba saya ditawarkan untuk mengikuti latihan di Switzerland tapi pada masa tu tak tahu latihan berkaitan apa.

"Setibanya di sana, rupanya berkaitan pembuatan jam tangan mewah Patek Philippe... kebetulan saya memang minat dengan jam, jadi rasa sangat bertuah.

"Tambahan pula tiada orang Malaysia yang berpeluang belajar buat jam. Selepas dua tahun training, mereka buat kilang di Sungai Merab... daripada kosong sehingga ambil staf untuk dilatih dalam tempoh enam bulan tentang bagaimana nak buat jam," katanya yang berkhidmat kira-kira 30 tahun sebelum kilang tersebut tutup disebab isu dalaman shareholder.

Jam tangan wanita yang dihasilkan bersifat eksklusif kerana turut dihiasi mutiara di dalamnya.

Jam tangan wanita yang dihasilkan bersifat eksklusif kerana turut dihiasi mutiara di dalamnya.

Menurutnya yang kini berusia 70 tahun, selepas penutupan kilang, dia kemudiannya didatangi seorang individu dari Taiwan.

Ujar beliau, dia diminta untuk berada di negara tersebut selama tiga minggu bagi mengetahui tentang konsultasi berkaitan.

"Mula-mula tiga minggu, kemudian dia pujuk saya dan pergi sekali lagi ke sana selama enam bulan. Selepas itu dia maklumkan ada kilang di China.

"Bermula dari situlah saya berkhidmat selama 13 tahun dan sepanjang tempoh itu saya bergerak dari Taiwan, China dan Hong Kong... dari 2003 hingga 2016," kongsinya yang mengambil keputusan bersara pada usia 63 tahun.

Zainal berkata, disebabkan tidak berkhidmat sebagai penjawat awam, dia tidak mempunyai simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebaliknya hanya mempunyai duit sumbangan persaraan.

Katanya, duit simpanan akan habis jika tidak dilaburkan dengan sebaiknya.

Justeru dia memilih untuk membina perniagaan berasaskan jam tangan sekali gus menggunakan kemahiran yang dimiliki selama puluhan tahun.

"Saya ada rancangan lepas bersara, jadi apa yang saya belajar dan buat... saya nak berbakti balik pada Malaysia dan tubuhkan satu syarikat.

"Pada masa tu, saya tanya anak-anak untuk guna nama yang sedap dan ada sejarah dan mereka cadangkan nama Fateh," tambahnya yang berkongsi kisah inspirasi di YouTube APHHD Story.

Pun begitu, selepas mendirikan bisnes, barulah dia mengetahui tentang selok belok perniagaan yang sentiasa ada turun dan naik.

Dalam pada itu, beliau berharap usaha penubuhan jam tangan tersebut berkekalan dan lebih ramai masyarakat mengenali jenama Fateh.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain

Pelakon Lan Zailan meninggal dunia