suria

Pasangan OKU tak mahu menempel di Masjid Jamek, guna kerusi roda jadi ‘modal’ simpati... “Beli la sebab produk, bukan kesian”

Rahinor dan Surwati mahu terus berusaha membina nama dalam bidang keusahawanan.

KEKURANGAN pada diri tidak mematahkan semangat pasangan suami isteri orang kelainan upaya (OKU) ini untuk berjaya seperti orang lain.

Walau kudrat dan keupayaan agak terbatas, mereka tidak menunggu bulan jatuh ke riba dan enggan hanya menagih simpati daripada masyarakat.

Pasangan istimewa Rahinor Nordin, 42, dan Surwati Azaman, 43, kedua-duanya lumpuh dan memerlukan kerusi roda untuk membantu pergerakan.

Gambar OKU 4

Minyak Atuk yang menjadi produk keusahawanan pasangan OKU.

Rahinor lumpuh selepas ditimpa kemalangan melibatkan sebuah lori ketika menunggang motosikal ke tempat kerja manakala isterinya, Surwati lumpuh sejak umurnya 16 tahun apabila mengalami demam panas.

Demi sumber pendapatan bagi menyara hidup, minyak serbaguna ramuan peninggalan turun-temurun keluarga yang dikenali sebagai Minyak Atuk dipasarkan sebagai produk perniagaan mereka.

Produk Minyak Atuk tersebut diadun dari ramuan asli yang diwarisi ibu Rahinor selama dua generasi dan bahannya terdiri daripada daun herba dan akar kayu terpilih seperti sirih dan pegaga.

Menurut mereka Minyak Atuk dikatakan sesuai untuk merawat pelbagai penyakit ringan seperti ulser, sakit tekak, buasir dan ruam.

ARTIKEL BERKAITAN: Berstatus OKU, peniaga air di tepi sekolah buntu cari jalan tampung kos pembedahan lutut... Bajet 2022 bantu ubah kehidupan

ARTIKEL BERKAITAN: Peniaga yong tau foo OKU nangis ketika cari rezeki, sanggup berniaga jauh dari rumah sebab nak lari daripada pesaing

“Selepas saya berkahwin pada 2014, isteri yang beria yang nak ajak saya pasarkan dan kembangkan. Sebelum ini keluarga terdekat saja yang tahu tentang produk ini.

“Sekarang ini kami jual Minyak Atuk dekat tapak niaga di Times Square. Kalau ada event dekat mana-mana dan ada diberikan tapak kami pun akan join jual.

“Kami lebih selesa direct selling sebab kalau online kami tak tahu nak explain macam mana.

Rahinor Nordin bersama Minyak Atuk yang diwarisi daripada ibunya.

“Kami pun tengah dalam proses sewa lot kedai dekat Taman Melati untuk dijadikan tempat memasak dan proses, sekarang ni buat dekat rumah saja di Wangsa Maju,” kata Rahinor kepada mStar.

Dia ditemui pada program pemberian geran perniagaan bagi program Liga Usahawan OKU Malaysia (SAY Lead Pro) anjuran Selangor Youth Community (SAY) yang disokong oleh Yayasan Hasanah.

Pemberian itu disempurnakan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Dalam pada itu kata Rahinor, walaupun kelihatan hampir mustahil untuk menjayakan perniagaan sebegitu dengan kekangan yang perlu dihadapi, dia dan isteri tetap cekal mengharunginya.

“Nak menguruskan diri itu semua tidak ada masalah. Nak beli barang kami dah biasa buat.

“Kereta saya diubah suai pedal minyak dan brek mengikut keadaan saya. Gear saya memang pakai auto. Jadi kalau nak drive mana-mana kami tak perlu bergantung kepada orang,” jelas Rahinor.

Namun dia bersyukur kerana program Liga Usahawan OKU Malaysia banyak memberi tunjuk ajar kepada Rahinor dan Surwati dalam selok-belok pemasaran produk.

Surwati Azaman yang mendorong suaminya, Rahinor untuk memasarkan produk Minyak Atuk.

“Mereka mengajar kami untuk marketing. Mentor kami guide untuk berbelanja dengan lebih teratur. Barang apa yang perlu, barang apa yang tak perlu. Macam dulu kami main beli je apa yang boleh.

Mentor pun ada ajar macam mana nak bagi packaging lagi menarik. Macam mana nak pancing dan berhadapan dengan customer,” kata Surwati.

Cabaran dan semangat

Bercerita tentang cabaran, Rahinor dan Surwati berkata pada mulanya mereka sukar untuk mendapatkan kepercayaan pembeli kerana produk Minyak Atuk belum mempunyai pengiktirafan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Cabaran yang terbesar adalah meyakinkan orang untuk beli produk baru ini selain mendapatkan pengesahan halal serta kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.

Surwati dan Rahinor masih mempelajari cara memasarkan produk di media sosial.

Seterusnya kata Surwati, stigma masyarakat terhadap golongan OKU juga didakwa memberikan impak kepada pemasaran produk mereka.

“Kalau kami duduk dekat tapak niaga, orang akan tengok saja produk itu. Kita cerita pun orang macam tak faham sangat. Tetapi apabila orang lain yang normal jaga tapak kami, ada pula yang datang.

“Apabila nampak OKU jaga, susah mereka nak beli,” cerita Surwati kesal.

Walau apa pun rintangan yang dihadapi, Rahinor dan Surwati bertegas untuk tidak mahu mengharapkan belas kasihan orang ramai dan akan terus berusaha.

“Ada yang sarankan kami duduk dekat tempat yang ramai orang lalu-lalang dan jual produk, macam dekat Masjid Jamek.

“Kami tak nak buat macam itu sebab dah macam minta sedekah. Kami nak orang beli produk sebab produk dan bukan beli sebab kami OKU atau rasa kesian,” kata Surwati.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain