MELIHAT anak muda di awal usia 20-an membuka premis perniagaan sendiri, pasti ramai yang menyangka dia mendapat tajaan daripada bapa bergelar datuk seperti drama ‘megah holding’. Namun menyoroti figura seorang tukang gunting rambut verstail di Presint 3, Putrajaya ini, dia bukanlah berketurunan T20 sebaliknya hanya anak kampung yang bercita-cita tinggi untuk mengubah nasib keluarga. Menerusi perkongsian kali ini, mStar mengetengahkan kecekalan anak jati Tanah Merah, Kelantan yang sanggup merantau ke Pulau Pinang bagi mengutip pengalaman sebagai tukang gunting rambut sebelum akhirnya membuka kedai sendiri. ARTIKEL BERKAITAN: Bermula dari bawah pokok, kini Fateh Watches ungguli jenama jam tangan mewah Malaysia... Dulu jual di FB tak laku! Menurut Ahmad Fathi Mohd Zaidi, dia meminati kerjaya sebagai tukang gunting rambut sejak kecil kerana sering melihat gerak-geri bapanya semasa menggunting rambut pelanggan. Malah, semasa masih bersekolah dan tinggal di asrama, dia sudah mula menjana pendapatan sampingan sebagai tukang gunting meskipun tidak diajar menggunakan peralatan berkaitan. “Saya tengok ayah gunting rambut dan daripada situ saya belajar... sepanjang usia membesar, ayah tidak pernah mengajar tentang teknik menggunting rambut. “Tapi disebabkan minat, saya sentiasa mempraktikkannya bermula dengan rakan-rakan sekolah di asrama,” ujarnya yang merupakan anak sulung daripada tujuh beradik. Sejak daripada itu, dia yang mesra dipanggil Afat mula mengasah bakat sehingga sanggup mengikut bapa saudaranya berhijrah ke Pulau Pinang dan bekerja sebagai tukang gunting rambut bagi mendapatkan pengalaman tambahan. Meskipun baru beusia 18 tahun ketika itu, dia yakin untuk mengejar minatnya termasuk membuat keputusan drastik untuk berhenti belajar semasa berada di Tingkatan 6. Afat (duduk belakang, kiri) bersama keluarga yang sentiasa memberi sokongan terhadapnya. Boleh digelar sebagai bakat keturunan, Afat juga menyatakan dua lagi adik lelakinya turut mengikut jejak langkah bapanya untuk menjadi seorang tukang gunting rambut. Pun begitu, masing-masing berkelana ke negeri lain dan tidak tertumpu di kampung halaman sahaja. Hampir berputus asa Tidak dinafikan, di usia yang masih muda dan berada jauh dari keluarga tercinta, Afat juga pernah merasa putus ada sehingga ingin melupakan hasratnya bergelar barber versatile yang mempunyai premis sendiri. Sepanjang tempoh empat tahun berkelana menimba pengalaman, pelbagai perkara telah berlaku kepadanya. “Masa tu memang masih mentah, jiwa muda... jadi ada rasa tak puas hati dan memberontak yang menyebabkan saya ingin berhenti. Banyak kali juga alami perasaan macam tu. “Tapi saya bersyukur kerana keluarga sentiasa support dan memberi nasihat. Berkat kesabaran juga, saya mampu bertahan dalam tempoh empat tahun. “Alhamdulillah akhirnya saya berjaya membuat simpanan untuk membuka premis sendiri di Putrajaya,” ujarnya yang turut mendirikan rumah tangga pada Mac 2021 dan mempunyai seorang cahaya mata. Menurut Afat lagi, dia tidak pernah mengikuti sebarang pengajian atau kursus rasmi berkaitan dandanan rambut tetapi hanya mempelajarinya menerusi pemerhatian, pengalaman digunting dan menerusi tutorial YouTube. Cabaran memulakan perniagaan Memilih untuk membuka perniagaan di Putrajaya yang terkenal sebagai ‘pusat’ penjawat awam semestinya pilihan terbaik yang dilakukan Afat. Pun begitu, ia tidaklah seindah yang difikirkan kerana anak muda berusia 25 tahun ini bertutur pekat dalam loghat Kelantan. “Saya memang pekat Kelantan kerana asal kampung, jadi agak sukar juga pelanggan ‘luar’ nak faham apa yang saya katakan. “Tapi saya akan cuba juga berkomunikasi dengan mereka kerana saya seorang yang peramah dan gemar berbicara, yang penting saya memahami kemahuan pelanggan dan dapat memuaskan hati mereka menerusi hasil guntingan,” katanya lanjut. Mengakui pernah berhadapan dengan amarah pelanggan, ujar Afat, kejadian berlaku semasa dia bekerja di Pulau Pinang. Pelanggan juga diberi konsultasi tentang gaya rambut pilihan terlebih dahulu. “Saya tak dengar apa yang diperkatakan pelanggan, jadi hasil guntingan rambut tidak seperti yang dimahukan. Syukur dia tidak marah saya seperti yang pernah dialami rakan sekerja yang lain... cumanya dia pesan ‘lain kali dengar betul-betul’. “Masa tu memang rasa bersalah dan hanya boleh meminta maaf sahaja. Awal tu rasa down juga tapi bila difikirkan balik ia antara cabaran yang perlu saya atasi jika ingin berjaya. “Sejak itu juga saya akan meminta pelanggan menunjukkan contoh atau gambar potongan yang diingini,” katanya. Tambah Afat, dengan cara itu juga dia bukan sahaja dapat mengelakkan kesilapan tetapi dapat memberi konsultasi kepada pelanggan sama ada style pilihan itu sesuai atau tidak digayakan. Menurutnya, ia berikutan jenis rambut dan bentuk kepala setiap individu adalah berbeza, oleh itu potongan atau style yang diingini perlu dipadankan dengan keadaan diri terlebih dahulu. “Apabila saya mula memberi pandangan dan cadangan seperti itu, pelanggan akan berasa lebih selesa serta gembira. Mereka juga berharap tukang gunting yang lain dapat berbuat perkara sama supaya hasil yang diberikan lebih memuaskan,” ujarnya yang sering mendengar keluhan dan aduan pelanggan tentang ketidakpuasan hati selepas membuat guntingan rambut di sesetengah premis. Seperti peniaga lain, Afat juga berharap dapat meluaskan perniagaannya termasuk membuka cawangan. Pun begitu, pada masa ini dia masih selesa mengemudi bisnes seorang diri tanpa pekerja kerana bimbang sekiranya hasil yang diberikan pekerja tidak memuaskan. “Dulu masa bekerja dengan orang, saya agak kerap membaiki hasil guntingan staf baru... selain dapat komplen, ada yang tidak melakukannya dengan kemas dan teliti. “Mungkin saya agak cerewet sedikit tapi kepuasan pelanggan adalah keutamaan saya. Jadi, sementara waktu ini biarlah saya buat seorang diri sehingga betul-betul boleh melatih staf. “Lagipun, nak jadi tukang gunting perlukan minat serta kebolehan dan ia perlu diasah supaya menjadi mahir. Tapi kalau asyik guna patung pun tak boleh juga kerana bentuk kepala dan jenis rambut manusia adalah berbeza,” tambahnya berkongsi tips. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI