SENTIASA menjaga pemakanan! Itulah petua yang diamalkan oleh hero derma darah, Lum Kien Seng untuk memastikan tahap kesihatannya berada dalam keadaan yang optimum bagi menjalankan tanggungjawab sosial tersebut. Warga emas ini mendapat perhatian ramai selepas kisahnya yang 'bersara' selepas kali ke-356 menderma darah dan aferesis, dikongsikan di laman Facebook Pusat Darah Negara (PDN), baru-baru ini. Mula menderma darah secara konsisten sejak 1988, dan menjadi penderma aferesis sejak 2000, tarikh 2 Disember lalu menjadi 'titik noktah' kepada kerja kebajikan yang sudah sebati dengan dirinya. Lum memegang beg berisi platlet (tangan kanan) dan beg berisi plasma (tangan kiri). Berkongsi cerita dengan mStar, Lum yang berusia genap 70 tahun pada 6 Disember (Selasa) berkata, dia mula menderma darah ketika masih bergelar penuntut di Universiti Pertanian Malaysia (kini Universiti Putra Malaysia). "Ketika itu pihak bank darah negara datang ke kampus untuk menjalankan kempen derma darah. Jadi saya tanpa ragu-ragu menyertainya. "Sebenarnya ada peristiwa di sebalik kisah bagaimana saya bertekad mahu menjadi penderma. Satu ketika dahulu, mendiang bapa saya sakit tenat. Dia ada sakit jantung dan perlu mengambil ubat cair darah. "Secara tak sengaja, bapa saya tercedera... darah mengalir tak berhenti. Dia dikejarkan ke hospital dan dimasukkan dua beg darah untuk menggantikan darah yang hilang. Lum bersama isteri tersayang yang sentiasa memberi galakan kepada tanggungjawab sosial yang dilakukan. "Dua beg darah itu menyelamatkan nyawa mendiang bapa. Sejak itu, saya bertekad untuk menderma untuk menyelamatkan nyawa orang lain pula," ujar pesara guru yang menetap di Taman Maluri, Kuala Lumpur ini. ARTIKEL BERKAITAN: Inilah wira tak didendang... derma darah sejak 1988, warga emas ‘bersara’ selepas kali ke-356 jalankan tanggungjawab Mengulas lanjut mengenai tabiat pemakanannya, Lum berkata ia sama seperti individu lain dan tiada 'ramuan' rahsia atau istimewa yang diamalkan. "Untuk menjadi penderma darah dan aferesis, kesihatan memang penting. Untuk itu, perlu jaga pemakanan. Saya tak terlalu ambil makanan yang bergaram, berlemak dan berminyak. "Bersenam tu iya juga. Sebelum lockdown rajin juga berjoging di taman. Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saya buat senaman ringan saja di rumah. Saya tak terlalu ambil makanan yang bergaram, berlemak dan berminyak. LUM KIEN SENG PENDERMA DARAH DAN AFERESIS "Seiring dengan peningkatan usia, doktor nasihatkan hanya briskwalk saja. Yang paling penting cukup tidur, sekurang-kurangnya lima jam. "Saya bersyukur dikurniakan tubuh badan sihat dan tiada masalah kesihatan lain. Tapi apabila sudah melepasi 50 tahun, kena lalui pemeriksaan kesihatan secara berkala dan jalani prosedur seperti X-ray, ECG dan ujian darah untuk menderma," ujarnya yang berkhidmat sebagai pendidik selama hampir 40 tahun. Lum mengakui perasaannya bercampur-baur ketika mengunjungi Pusat Darah Negara (PDN) pada 2 Disember untuk melakukan pendermaan buat kali terakhir. "Warga di PDN dah macam keluarga sendiri. Sedih juga rasanya kali terakhir melakukan pendermaan. Kalau boleh terus menderma hingga usia 75 tahun, pasti saya teruskan tapi had usia penderma hanya 70 tahun. Lum diraikan oleh warga Pusat Darah Negara sewaktu hari terakhir pendermaannya, 2 Disember lalu. "Sekarang saya bukan sahaja bersara daripada kerjaya, tapi 'bersara' daripada menjadi penderma. Berehat di rumah sahaja. Namun saya berbesar hati jika dijemput mana-mana pihak untuk menjadi penceramah bagi menggalakkan masyarakat menderma darah atau aferesis. "Buat masyarakat yang berhasrat menjadi penderma, jagalah kesihatan anda. Jauhi dadah, rokok dan minuman keras. Bukan bermaksud perokok tak boleh derma tapi dinasihatkan elakkan. "Yang bertubuh badan sihat, jangan takut jarum. Sakitnya hanya macam kena gigitan semut. Mana tahu, dengan darah kita, boleh selamatkan nyawa orang lain yang sangat-sangat memerlukan," ujarnya lagi. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI