TAHUN lalu seorang kanak-kanak autisme berjaya mencatat rekod Malaysia kerana mengenal pasti 198 bendera negara dalam tempoh sembilan minit 54 saat. Ia merupakan jumlah bendera di seluruh dunia yang paling banyak dikenal pasti oleh kanak-kanak yang penghidap autisme. Pada 7 November lalu, kanak-kanak berusia lima tahun, Rashwin Kalithas menambah satu lagi pencapaiannya dalam Malaysia Book Of Records (MBOR) apabila menjadi kanak-kanak autisme termuda yang mengadakan pameran seni digital secara solo. Menyedari bakat dimiliki anak kelahiran Selangor itu merupakan sesuatu yang amat bermakna buat dirinya dan keluarga. Rashwin tidak menghadiri sebarang kelas khas untuk menghasilkan rekaan seni digital. Individu yang paling teruja dengan pengiktirafan Rashwin dalam MBOR sudah tentu ibunya, Krishnarani Balakrishnan, 39. "Saya amat berbangga dan kagum dengan bakat Rashwin. Kata-kata tidak dapat menggambarkan kegembiraan itu. Saya dan suami mahu menonjolkan bakat uniknya. Tetapi, paling penting, kami mahu autisme dilihat sebagai sebahagian daripadanya. ARTIKEL BERKAITAN: Kanak-kanak Malaysia usia 8 tahun catat 2 rekod dunia, berjaya namakan negara 230 bendera kurang 5 minit ARTIKEL BERKAITAN: Berjaya namakan negara 147 bendera dalam 15 minit, budak 4 tahun pecah rekod MBOR... kini gigih menghafal nama planet "Kami mahu menolak tanggapan salah atau negatif terhadap penghidap autisme. MBOR memberi kami platform untuk mencapai matlamat kami," kata Krishnarani dalam wawancara bersama The Star. Kanak-kanak berbakat itu mengadakan pameran selama sebulan iaitu The World Through His Eye: Immersive Visual Experience, di Digital Art Gallery By Filamen di Kuala Lumpur, pada Jun. Rashwin menyukai warna-warna terang, goresan, garisan, titik dan karya seni seperti galaksi. Rashwin disahkan menghidap Autism Spectrum Disorder (ASD) ketika berusia 20 bulan. Namun, dengan terapi intervensi awal dan sokongan daripada keluarganya, si cilik ini berjaya berkembang menjadi kanak-kanak ceria dan berbakat. Menurut Krishnarani, anak lelakinya lebih responsif dan yakin serta boleh mengikut arahan mudah. "Rashwin adalah kanak-kanak autisme pada tahap rendah. Tetapi, sebaliknya, dia mempunyai ingatan fotografi yang luar biasa dan perbendaharaan kata yang tinggi berbanding usianya. "Dia dengan mudah boleh menamakan benda di sekelilingnya, menghafal tempat dan arah. Dia boleh membaca ketika baru berusia dua tahun. "Minat terbesarnya ialah melalui bendera dunia. Dia tahu bagaimana komputer riba berfungsi dan boleh mengendalikan Microsoft Word kerana penggunaan papan kekunci memenuhi keperluan derianya," kata ibu kepada dua anak itu. Krishnarani (kiri) bersama Rashwin. Rashwin mengembangkan minat dalam lukisan seni digital sewaktu berusia tiga tahun. "Rashwin menyukai warna-warna terang, goresan, garisan, titik dan karya seni seperti galaksi. Dia boleh melengkapkan semua ini melalui seni digital dengan pergerakan animasi. "Mencipta imej seni digital memberikannya kegembiraan yang luar biasa. Semuanya bermula dengan aplikasi lukisan android yang ringkas dan dia berjaya memahami dengan pantas tetapan, pemilihan dan menukar palet warna," kata Krishnarani, yang berkongsi perjalanannya dalam membesarkan Rashwin di Facebook. Krishnarani berkata, Rashwin tidak menghadiri sebarang kelas khas untuk menghasilkan rekaan seni digitalnya yang rumit. Tambahnya, dalam dua tahun lalu, anaknya berjaya mengumpul ribuan corak dalam hard drive. Rashwin menjadi kanak-kanak autisme termuda yang mengadakan pameran seni digital secara solo. Krishnarani berhenti kerja sebagai pengurus operasi di sebuah firma insurans untuk menjaga anaknya. Mengakui membesarkan kanak-kanak autisme begitu mencabar, namun Krishnarani menerima hakikat itu sebagai 'satu perkembangan'. "Ia boleh meletihkan, terutama apabila dia mengalami hari yang teruk, waktu itu tiada apa yang anda lakukan adalah betul. Tetapi, kita biarkan detik-detik itu berlalu dan akan mengembalikan minda kita untuk fokus pada kehidupan yang kita ada. "Saya terus mengingatkan diri bahawa anak yang sama juga sering mengejutkan kami dengan mencapai sesuatu yang baharu yang membanggakan kami. "Bagi kebanyakan orang, ia mungkin kelihatan seperti pencapaian kecil, tetapi bagi kanak-kanak autisme, ia adalah satu pencapaian yang besar!” katanya lagi. Rashwin (dua, kiri) mendapat sokongan daripada keluarga. Sehubungan itu, dia berharap orang ramai akan lebih menerima golongan berkeperluan khas dengan tangan terbuka. "Cabaran utama adalah untuk beralih daripada pemikiran mencari penawar dan menerima kanak-kanak autisme seadanya. Syukur, kami telah beralih dari fasa penafian dan kini mula menerima autismenya. "Rashwin masih mempunyai perjalanan yang panjang, dan kami memberi tumpuan kepada kemahiran hidupnya. Kami mahu dia menjalani kehidupannya dengan pengawasan minimum. "Pada masa sama, kami juga mempunyai rancangan untuk meneroka cara bagi menjamin masa depannya dalam bidang ini atau bahkan kami, dengan latihan yang sewajarnya dalam seni digital. "Kami mahu dia berpegang pada kemahiran ini apabila dia meningkat usia," katanya. - The Star Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI