MELIHATKAN hasil karyanya, pasti ramai tidak menyangka bahawa anak gadis berusia 23 tahun ini pernah melalui episod 'kegelapan' sebelum berjaya mencipta nama sebagai seorang anak seni. Malah minatnya pernah dihalang oleh orang tua sehinggakan dia diberi satu tempoh percubaan untuk membuktikan keupayaan diri dan bersaing dalam industri seni tanah air. ARTIKEL BERKAITAN: Bermula dari bawah pokok, kini Fateh Watches ungguli jenama jam tangan mewah Malaysia... Dulu jual di FB tak laku! Berkongsi kisah pengembaraannya sehingga impian direstui keluarga tercinta, Khairunisa Mohd Izham berkata, pada awalnya dia menuruti setiap kemahuan ayah dan ibu yang mahukan bidang akademik diberi keutamaan. "Parents lebih utamakan akademik berbanding hobi... jadi hasil daripada pencapaian akademik, saya dapat biasiswa untuk sambung pelajaran dalam asasi sains dan seterusnya berjaya mengikuti pengajian dalam bidang Sains Perubatan di peringkat ijazah sarjana muda," ujarnya kepada mStar. Peluang mengasah bakat Mengakui dia tidak berpeluang untuk berkecimpung dalam bidang kesenian, ujarnya yang mesra dipanggil Khai, perjalanan sebagai pengkarya bermula semasa berada di tahun kedua selepas dia mempunyai sedikit masa untuk menerokai perkara baru. Antara hasil karya Khai. "Pada masa tu juga saya ada masalah untuk tidur dan dinasihatkan membuat sesuatu yang lebih relaks bagi merehatkan minda. Jadi masa tu, saya mula melukis dan buatnya sebagai hobi untuk kesihatan mental serta mengubah pola tidur. "Hanya dapat peruntukan 30 minit sehari untuk melukis," luahnya yang kemudian menyatakan hasrat untuk menjadi seorang artis kepada kedua orang tuanya selepas tamat belajar. Ia susulan selepas tamat pengajian dan sementara menunggu tawaran pekerjaan, anak kedua daripada tiga beradik ini mempunyai banyak masa untuk lebih fokus dan mendalami seni lukisan yang diminati. Dalam tempoh satu tahun tu baru saya sedar dan buka mata sedikit tentang cabaran menjadi seorang artis yang tiada pengalaman. KHAI IZHAM "Masa tu saya rasa nak bergiat secara aktif sebagai seorang artist tapi parents tak bersetuju dengan keputusan yang dibuat kerana saya tiada pendidikan formal mahupun pengalaman dalam industri tersebut. "Parents memang halang dan bagi saya tempoh percubaan selama satu tahun untuk buktikan diri sebagai seorang artis," kongsinya. Melihatnya sebagai satu cabaran, Khai terus mengorak langkah dengan menambah baik setiap hasil karyanya selain turut mencipta art print dan mencari klien yang berpotensi sama ada untuk tempahan mahupun membeli. Mengakui berhadapan dengan kesukaran, namun gadis kecil molek ini tidak patah semangat sebaliknya terus merancang strategi untuk membuktikan kemampuannya. "Dalam tempoh satu tahun tu baru saya sedar dan buka mata sedikit tentang cabaran untuk menjadi seorang artis yang tiada pengalaman. Tapi syukur, dalam tempoh itu, saya berjaya menjadi lebih baik dalam bisnes dan meningkatkan kemahiran sebagai pengkarya... saya juga cuba mengaktifkan diri dalam sosial media. Lukisan landskap dan bangunan menjadi pilihannya. "Walaupun ada sedikit pencapaian kerana telah beralih ke Instagram, namun untuk tempoh satu tahun yang diberikan, saya tak rasa boleh tunjuk big impact kepada parents. "Bermula daripada situ, saya cipta akaun TikTok dengan menggunakan nama Khai Izham kerana platform ini lebih mudah untuk jelaskan pelbagai perkara kerana berasaskan video," luahnya. Pun begitu, seawal membabitkan diri dalam platform baharu itu, dia tidak mahir dalam membuat suntingan video selain sukar untuk berinteraksi dengan pelayar yang lain serta masih tiada persona sebagai seorang artis seni. Namun akhirnya anak jati Ipoh, Perak ini mampu menarik nafas lega kerana 'percaturan' menerusi aplikasi TikTok berjaya membuahkan hasil selepas berjaya menampilkan diri sebagai seorang artist menerusi perkongsian lukisan bangunan dan landskap. Keluarga beri restu, sokong impian Selepas berjaya 'mencipta nama' di ruangan media sosial tersebut, Khai mula mempromosikan hasil karyanya dan pada masa sama berkongsi ilmu yang dimiliki di samping membuat tutorial kepada peminat seni khususnya pelajar. "Memang sangat greatful sehingga sekarang... apabila introduce TikTok shop, lagilah bisnes berkembang baik. "Setiap yang saya peroleh ini adalah berkat sokongan semua pengikut sepanjang tempoh itu untuk saya menjadi seorang artist dan saya rasa bukan saya yang inspired mereka tetapi mereka sebenarnya yang memberi inspirasi kepada saya sehingga menjadi better person dalam lukisan serta mempunyai persona sebagai artist," ujarnya gembira. Berkongsi tentang perubahan kedua orang tuanya, ujar Khai, dia bersyukur kerana ibu dan bapanya merestui impian untuk menjadi seorang pengkarya seni selepas tempoh percubaan yang diberikan. Setiap lukisan yang dihasilkan mempamerkan tekstur dan 'details'. "Layanan mereka semakin baik berbanding sebelum ini, sekarang mereka bagi the best support untuk saya selain turut menjadi 'pengkritik' terbaik supaya saya dapat perbaiki diri. "Pada saya, sebelum ini bukanlah mereka tidak menyokong tetapi lebih kepada bimbang sekiranya saya tidak dapat survive dalam bidang yang ingin diceburi," imbasnya yang turut gembira kerana keluarganya turut sama mempromosikan hasil karya yang dilakukan. Malah katanya, walaupun berhadapan 'turun naik' dalam bisnes, ibu dan ayahnya sentiasa memberi sokongan serta reaksi positif. Utamakan pendidikan Sebagai graduan Sains Perubatan yang memilih seni sebagai kerjaya, Khai menasihati golongan remaja sepertinya supaya mengutamakan akademik terlebih dahulu. Tegasnya, dengan memiliki akademik, seseorang itu boleh membuat pilihan dalam kerjaya sama ada hobi mahupun berlandaskan bidang pengajian. Selain itu, katanya pencapaian akademik tersebut boleh dijadikan sebagai back-up plan apabila impian tidak kesampaian dan kerana itulah ayahnya memberi tempoh percubaan satu tahun. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI