suria

“Pelanggan herdik masa saya nak makan” - Dulu kerja kilang, kini pegang anugerah Agensi Million Ringgit 13 tahun berturut-turut 

Nur Azam bermula dari bawah sebelum mengecapi kejayaan.

MASIH segar dalam ingatan Nur Azam Zamberi apabila mendapat panggilan daripada salah seorang pelanggan yang melemparkan kata-kata herdikan sehingga mendakwa dia cuba menipu dengan menjual polisi takaful sekitar 15 tahun lalu.

Nur Azam, 41, berkata, sebelum kejadian dia adalah insan paling gembira kerana berjaya menjual polisi berkenaan namun pelanggan bertukar fikiran selepas membuat pembayaran.

"Saya masih ingat itu adalah hari paling gembira sebab akhirnya ada pelanggan yang membeli polisi berkenaan tetapi lain pula jadinya apabila suami wanita berkenaan menelefon dan mengherdik ketika saya hendak menyuap makanan.

"Suami wanita itu mendakwa saya cuba menipu isterinya dan tanpa memberi kesempatan saya menjelaskan situasi sebenar mereka meminta saya pulangkan kembali wang polisi yang telah dibayar.

Nur Azam 4

Sebelum berjaya sebagai perunding kewangan, Nur Azam pernah bekerja kilang.

"Bayangkan betapa sedihnya saya sampai tak lalu makan kerana usaha saya sia-sia sampai tak menjamah masakan ibu," katanya kepada mStar.

Insiden itu tidak membuatkan Nur Azam patah semangat sebaliknya menjadi pencetus untuk berjaya sebagai perunding kewangan demi memberi pemahaman lebih baik kepada masyarakat terutamanya dalam kalangan orang Melayu.

ARTIKEL BERKAITAN: Bermula dari bawah pokok, kini Fateh Watches ungguli jenama jam tangan mewah Malaysia... Dulu jual di FB tak laku!

ARTIKEL BEKRAITAN: Perjuangan melawan penyakit takkan bernoktah, pengasas Megaklinik Zahran mahu harungi bersama masyarakat

Nur Azam berkata, dia tidak menyalahkan pelanggan berkenaan kerana ketika itu pemahaman dan pengetahuan masyarakat tentang pengurusan kewangan masih rendah dan dia melihat ia sebagai prospek kerjaya yang boleh dipelopori.

Permulaannya dalam bidang tersebut juga bukan mudah, apabila dia hanya menjinak-jinakkan diri secara sambilan ketika masih bekerja sebagai penyelia sebuah kilang di Ipoh.

Nur Azam 5

Syarikat miliknya berjaya menggondol Anugerah Best Digital Agency.

Mahu didik masyarakat tentang pengurusan kewangan

Meskipun mempunyai pendapatan tetap setiap bulan, Nur Azam tidak berasa puas dengan pencapaian tersebut dan mahu memperbaiki ekonomi diri dan keluarga selain ingin membantu orang ramai memahami tentang pengurusan kewangan.

"Saya selalu tengok ada dalam kalangan kawan-kawan yang mengeluh sebab tidak mempunyai wang mencukupi atau suka berhabis terhadap perkara tidak penting yang pada akhirnya tidak mendatangkan hasil.

"Apabila melihat kepada situasi ini saya sedar tentang pentingnya ilmu pengurusan kewangan dan masyarakat kita masih rendah pengetahuan mengenai perkara itu. Jadi saya mahu tolong mereka," katanya.

Pemegang ijazah dalam bidang Sains Komputer dari Universiti Putra Malaysia (UPM) ini berkata, meskipun tidak mempunyai ilmu mendalam tentang kewangan namun itu tidak menjadi alasan baginya untuk berjaya.

Setahun saya buat kerja sambilan itu dengan niat menambah pendapatan keluarga dan ingin bantu orang lain sebelum berhenti kerja dan fokus sebagai perunding kewangan sepenuh masa.

NUR AZAM ZAMBERI

PERUNDING KEWANGAN

Buktinya, Nur Azam kini menyandang jawatan Pengarah Agensi Kumpulan di sebuah syarikat takaful terkemuka selain bergelar Presiden Azam Gemilang (AGG) Group yang mempunyai ribuan ejen di bawah pengurusannya.

"Selepas waktu bekerja saya akan menyertai kelas kewangan dan takaful selain berjumpa pelanggan... meskipun ada yang tidak membeli polisi tetapi saya anggap ia sebagai latihan agar saya lebih yakin berdepan dengan orang dan memperbaiki ilmu tentang pengurusan kewangan.

"Saya cuba beri pemahaman kepada rakan-rakan terdekat dan ingin membantu mereka membuat pelaburan dan menguruskan kewangan dengan betul dan Alhamdulillah semakin lama, saya mula mendapat kepercayaan ramai.

"Setahun saya buat kerja sambilan itu dengan niat menambah pendapatan keluarga dan ingin bantu orang lain sebelum berhenti kerja dan fokus sebagai perunding kewangan sepenuh masa," ujarnya.

Nur Azam 3

Antara trofi yang pernah diterima syarikatnya.

Agensi Million Ringgit 13 tahun berturut-turut

Kini selepas lama berada dalam bidang ini, Nur Azam menerima pelbagai kejayaan sehingga 13 tahun berturut-turut mengungguli anugerah Agensi Million Ringgit serta ejen bertaraf 'Malaysia Million Dollar Round Table' (MDRT) dan Agensi Superstar.

Malah pada bulan lalu, agensinya diiktiraf dan berjaya dinobatkan dengan Anugerah Best Digital Agency atas usaha mewujudkan sebuah aplikasi bagi membantu merekod semua aktiviti perunding kewangan dengan dipantau pihak pengurusan AGG.

Menerusi aplikasi itu, Nur Azam berkata, semua aktiviti perunding kewangan akan direkodkan dalam sistem termasuk berjumpa prospek, latihan dan seminar.

"Apa menariknya mengenai sistem ini, ia bukan sahaja mudah pihak pengurusan membuat pemantauan tetapi perunding kewangan di bawah AGG akan menerima insentif dalam bentuk mata yang boleh ditebus kemudian.

Nur Azam 1

Nur Azam berhasrat membantu lebih ramai ejen menjadi perunding kewangan berjaya.

"Aplikasi ini dapat meningkatkan semangat mereka untuk lebih berdaya saing dalam pasaran dan ia yang pertama dihasilkan oleh mana-mana agensi kewangan sebelum ini," katanya yang mengeluarkan modal RM20,000 bagi mewujudkan sistem berkenaan.

Tidak hanya itu, Nur Azam berkata, agensinya juga bakal memperkenal insentif khas gaji untuk perunding kewangan separuh masa menerusi program Besmart.

Katanya, perunding kewangan sambilan akan menerima RM1,000 sebulan apabila bergelar perunding kewangan di bawah AGG dalam usaha menggalakkan mereka yang berminat dalam bidang itu menyertainya.

"Saya mahu rekrut lebih ramai perunding kewangan baru terutamanya dalam kalangan golongam muda kerana bidang ini jika kena dengan hala tuju dan usaha, mereka mempunyai masa depan cemerlang.

"Atas sebab itu saya mulakan skim Besmart ini agar mereka dapat elaun tetap selain komisyen," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain