suria

Antara pemimpin Islam digeruni dunia... Ini 16 fakta tentang Presiden Iran Ebrahim Raisi

Presiden Iran, Ebrahim Raisi. -Foto AP

NAHAS helikopter yang mengorbankan Presiden Iran, Ebrahim Raisi di kawasan pergunungan di barat laut Iran, pada Ahad mengejutkan dunia.

Laporan daripada pihak mencari dan menyelamat (SAR) menunjukkan bahawa semua penumpang termasuk Raisi dan Menteri Luar Hossein Amir-Abdollahian telah terkorban.

Tragedi tersebut dilaporkan berlaku semasa Raisi yang berusia 63 tahun dalam perjalanan pulang dari melawat wilayah Azerbaijan Timur selepas merasmikan sebuah projek empangan.

Merupakan antara pemimpin negara Islam yang digeruni, ini fakta menarik tentang Ebrahim Raisi atau nama sebenarnya Sayyid Ebrahim Raiso-Sadati.

1. Dilahirkan di Mashhad, Iran pada 14 Disember 1960.

2. Dilantik menerajui Republik Islam Iran menerusi pilihan raya umum bermula 3 Ogos 2021. Bagaimanapun, Raisi pernah bertanding jawatan Presiden Iran pada 2017 namun tewas kepada Hassan Rouhani.

Raisi dilaporkan terlibat dalam nahas helikopter selepas merasmikan sebuah projek empangan di wilayah Azerbaijan Timur. -Foto Reuters

Raisi dilaporkan terlibat dalam nahas helikopter selepas merasmikan sebuah projek empangan di wilayah Azerbaijan Timur. -Foto Reuters

3. Selain dikenali sebagai seorang ahli politik konservatif dan berprinsip Iran, Raisi juga merupakan pakar undang-undang Islam.

4. Pernah berkhidmat dalam beberapa jawatan sistem kehakiman Iran antaranya Timbalan Ketua Hakim (2004–2014), Peguam Negara (2014–2016), dan Ketua Hakim Negara (2019–kini).

5. Merupakan Qadi dan Timbalan Qadi Tehran pada tahun 1980-an dan 1990-an.

Dalam tempoh lima bulan pada tahun 1988, beliau adalah sebahagian daripada jawatankuasa yang menyelia beberapa siri hukuman mati terhadap tahanan politik, yang menyebabkan dirinya tidak popular dalam kalangan pembangkang Iran. Malah insiden tersebut menyebabkan Amerika Syarikat mengenakan sekatan ke atasnya.

6. Raisi mula belajar di seminari agama Qom yang terkenal pada usia 15 tahun, dan terus berguru di bawah beberapa ulama Islam pada masa itu.

7. Pada awal 20-an, dilantik sebagai pendakwa raya di beberapa bandar sehingga akhirnya berjaya ke ibu negara Tehran untuk berkhidmat sebagai timbalan pendakwa raya.

Raisi seorang yang lantang bersuara ketika berada  dalam markaz tentera perang Iraq-Iran

Raisi seorang yang lantang bersuara ketika berada dalam markaz tentera perang Iraq-Iran. -Foto Wikipedia

8. Pada tahun 1983, berkahwin dengan Jamileh Alamolhoda, anak perempuan Imam Solat Jumaat Mashhad Ahmad Alamolhoda dan dikurniakan dua anak perempuan.

9. Pada tahun 1989, dilantik sebagai pendakwaraya Tehran selepas kematian Pemimpin Tertinggi pertama Iran Ayatollah Ruhollah Khomeini.

10. Selain itu Raisi dikenali kerana berkhidmat sebagai Penjaga dan Pengerusi Astan Quds Razavi, sebuah wakaf agama terbesar di Mashhad dari 7 Mac 2016 hingga 2019 dan merupakan anggota Majlis Himpunan Pakar bagi Provinsi Khorasan Selatan, yang dipilih kali pertama pada pilihan raya 2006.

Kerjayanya terus berkembang maju di bawah pengganti Khomeini, Ayatollah Khamenei yang mengukuhkan statusnya dalam penubuhan Iran.

11. Kewibawaan Raisi dalam pertubuhan agama adalah kuat, dengan hubungan yang kukuh bersama mendiang Khomeini serta Khamenei, yang telah melantiknya ke beberapa jawatan kanan.

Raisi ketika berucap dalam Majlis Himpunan Pakar pada 2007

Raisi ketika berucap dalam Majlis Himpunan Pakar pada 2007. -Foto Wikipedia

12. Beliau juga telah berjaya mengekalkan hubungan baik dengan semua cabang kerajaan, tentera dan perundangan serta kelas pemerintah teokratik yang berkuasa.

13. Bagaimanapun, Raisi dikatakan mengetuai Iran semasa negara tersebut mengalami krisis ekonomi berikutan taraf hidup rakyatnya semakin merosot.

14. Beliau juga dikritik pada penghujung 2022, berikutan kematian Mahsa Amini ketika dalam tahanan polis moral Iran.

Gadis berusia 22 tahun itu dilaporkan telah ditangkap ketika dia meninggalkan stesen metro di Tehran bersama ahli keluarganya selepas didakwa tidak mengenakan hijab yang merupakan peraturan wajib negara.

15. Protes menggemparkan itu telah berlarutan selama berbulan-bulan, dengan kebanyakan wanita menanggalkan dan membakar tudung mereka selain memotong rambut di khalayak ramai.

16. Selain aktif berpolitik dan kepimpinan, Ebrahim Raisi juga gemar menulis dan telah menghasilkan beberapa buah buku berkaitan sistem perundangan. Antara yang diterbitkan adalah syarahan mengenai undang-undang fiqah yang mempunyai 3 jilid (bahagian kehakiman, ekonomi dan agama); Erse-Bi-Wares (Pewarisan tanpa pewaris); konflik prinsip dan penampilan dalam perundangan dan undang-undang.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain