suria

Mahu berdikari, hidup macam insan normal... Pemuda OKU berhenti kerja receptionist, kini gigih jual aneka biskut

Bisnes danielbeeskut telah bermula sejak PKP2.0.

KEKURANGAN diri tidak menjadi penghalang untuk lelaki ini berusaha keras mencari rezeki bagi meneruskan kehidupan.

Meskipun menghidap serebral palsi, Daniel Cheng tidak pernah mengharapkan bantuan atau sumbangan daripada masyarakat.

Dia sebaliknya menjalankan perniagaan menjual kuih dan biskut secara dalam talian menggunakan kudrat yang ada.

Berkongsi cerita dengan mStar, pemuda berusia 33 tahun ini berkata, jenama Daniel Beeskut diperkenalkan ketika negara dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

"Saya mula masa PKP 2.0... selepas saya berhenti kerja kerana isu persekitaran di pejabat.

"Walaupun mereka menyediakan kemudahan untuk golongan OKU (orang kurang upaya) namun ia tidak boleh digunakan.

"Misalnya tandas OKU, ia dijadikan tempat penyimpanan dan bilik stor. Jadi sukar untuk saya gunakannya dengan keadaan berkerusi roda dan hanya tangan kiri sahaja yang berfungsi," ujarnya.

Daniel juga akan membuka booth perniagaan jika berkesempatan

Daniel juga akan membuka booth perniagaan jika berkesempatan.

Malah kata Daniel, situasi yang dialami itu menyebabkan dia terpaksa menahan air kecil atau besar sepanjang tempoh bekerja.

"Kalau nak buang air kecil atau air besar tak boleh, kena tahan sampai habis kerja, yang OKU punya dijadikan stor," katanya yang pernah bertugas sebagai penyambut tetamu dan bahagian pengkeranian di sebuah syarikat.

Bercerita tentang perihal diri, dia yang menetap di Kepong Kuala Lumpur berkata, kekangan yang dialami menyebabkan dia mula mencari tempat bagi mendapatkan stok bahan untuk memulakan perniagaan yang dirancang.

"Saya tinggal sendiri bersama kawan baik selepas ibu dan ayah meninggal dunia. Jadi, segala-galanya saya lakukan sendiri termasuk membuat carian di Google bagi mendapatkan stok.

"Kawan baik saya selalu tolong dan dia juga akan buat bersama-sama sekiranya tidak sibuk sebab saya cepat letih serta tidak boleh duduk lama," tambahnya.

Selain jualan di laman Instagram danielbeeskut, Daniel juga boleh dihubungi menerusi talian 0122118379 bagi membuat tempahan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain