suria

Pramugara sebak pertama kali rai Aidilfitri di perantauan, siap bawa baju raya 'terbang' bersama

Danial memulakan tugasnya sebagai pramugara pada Ogos 2024.

MERAIKAN 1 Syawal seorang diri dan jauh dari keluarga pastinya mengundang sebak sesiapa sahaja. 

Begitulah yang dirasai Muhammad Danial Faris Hashim selepas memulakan karier baharu sebagai pramugara sejak Ogos 2024. 

Dia yang pertama kali merayakan Aidilfitri di perantauan turut meluahkan rasa rindu untuk berkumpul bersama keluarga dan bersalam-salaman di pagi lebaran. 

“Rasa sebak tu ada sebab raya pertamalah orang kata paling penting. Raya memang sebulan tapi pagi raya pertama tu yang kita berkumpul satu keluarga bersalam-salaman.

Danial bersama rakan kru penerbangan Batik Air yang menyambut 1 Syawal di Melbourne

Danial bersama rakan kru penerbangan Batik Air yang menyambut 1 Syawal di Melbourne

“Demi tugas yang digalas, saya relakan keadaan, lagipun sekarang dah canggih… ada teknologi yang mendekatkan kita walau jauh beribu batu,” luahnya yang terlibat dengan penerbangan bermula tiga bulan lalu. 

Menurut jejaka berusia 29 tahun ini, dia mendapat tahu dirinya akan meraikan raya di perantauan pada penghujung Februari 2025. 

Oleh itu katanya, persediaan awal telah dilakukan dengan membawa baju raya ‘terbang’ bersama. 

Danial berpeluang menunaikan ibadah sunat di Mekah sempena Ramadan lalu.

Danial berpeluang menunaikan ibadah sunat di Makkah sempena Ramadan lalu.

“Saya tiba di Melbourne, Australia pada 29 Mac dan berada selama tiga hari di sana. 

“Jadual cuti pula pada 3 dan 4 April, walaupun diberi cuti dua hari,  saya tidak dapat pulang ke kampung halaman di Tangkak, Johor kerana perlu standby,” tambahnya. 

ARTIKEL BERKAITAN: “Bang, saya hilang fokus salin resipi ni” - Kongsi video masak, pemuda bikin ramai ‘geram’ sebab suara merdu

ARTIKEL BERKAITAN: Sering beraya di luar negara sejak 2010, Aidilfitri kali ini lebih ‘special’... anak ‘terbangkan’ keluarga dari Malaysia ke Amerika

Meskipun berada di benua terkecil di dunia pada pagi lebaran, dia yang mesra disapa Danial tetap meraikan Aidilfitri dengan penuh ceria bersama rakan sekerja. 

“Ibu bapa dan keluarga sedia maklum dengan tugasan saya yang mungkin akan perlu bertugas tak kira masa serta berada di luar negara kerana saya single rated crew untuk penerbangan jarak atau medium and long route

“Mereka pesan juga pekerjaan satu amanah yang perlu digalas sebaik mungkin. Lagipun, semua ahli kru penerbangan dianggap ‘keluarga’ dan kami memang merancang OOTD gambar raya bersama. 

“Kami berjalan di sekitar Melbourne pakai baju raya dan meneruskan tradisi seperti di Malaysia walaupun jauh di perantauan,” kongsinya lagi. 

Syukur Alhamdulillah, berkat doa dan sokongan mereka, saya berjaya mencapai salah satu impian yang dah lama saya impikan.

MUHAMMAD DANIAL FARIS HASHIM

Dia yang berketinggian 175 sentimeter persis seorang model mengakui rindukan juadah rendang dan lemang air tangan ibu serta ayahnya. 

Bagaimanapun, kedua-dua orang tuanya berjanji untuk menyediakan juadah istimewa itu setibanya dia di kampung halaman. 

“Keluarga terutama mak saya sangat memahami, dan akan masak juadah raya kali kedua apabila saya pulang ke desa. 

“Saya bertuah kerana keluarga sangat memahami,” ujarnya yang sempat melakukan serba sedikit persiapan hari raya bersama keluarga sebelum melakukan penerbangan ke Melbourne. 

Keluarga memahami cita-citanya sebagai pramugara

Keluarga memahami cita-citanya sebagai pramugara.

Pernah bertugas sebagai pegawai projek selama tiga tahun, katanya, kerjaya tersebut adalah impian ibu dan ayahnya. 

“Berkhidmat sebagai pegawai projek merupakan impian mak abah saya yang mahu melihat saya bekerja dan menetap di Putrajaya. 

“Jadi saya penuhi hasrat mereka dahulu kerana saya percaya perlu untuk memenuhi hasrat mereka sebagai membalas budi pengorbanan mereka membantu dari segi kewangan semasa saya belajar peringkat ijazah di UiTM (Universiti Teknologi MARA). 

"Selepas mak abah berpuas hati hasrat mereka tercapai, mereka yang sarankan saya untuk menjadi pramugara sebab ia impian saya dari bangku sekolah. 

“Syukur Alhamdulillah, berkat doa dan sokongan mereka, saya berjaya mencapai salah satu impian yang dah lama saya impikan,” imbaunya yang kini bertugas sebagai kru penerbangan Batik Air Malaysia. 

Danial sebelum ini pernah tular di platform TikTok kerana suaranya yang merdu ketika merakamkan video masakan sekitar tahun 2022.

Artikel Lain