suria

Jangan diejek jika anak tak mampu berpuasa penuh... jom ketahui tip elak anak-anak puasa 'yang yok' sepanjang Ramadan

Peranan ibu bapa penting dalam memupuk minat anak-anak kecil berpuasa.
1 / 1

LEBIH sebulan ‘berperang’ dengan anak-anak di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kini ibu bapa berdepan pula dengan perangai anak-anak kecil di bulan Ramadan.

Dalam menyambut Ramadan, yang mulia, pasti ramai anak-anak kecil dan ibu bapa teruja untuk menjalani ibadah berpuasa.

Sudah tentu bukan mudah melatih anak kecil untuk mula berpuasa seperti orang dewasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Kami Sedia Membantu’ jadi siulan, ada pula teringat mak kerja nurse - “Dah dua bulan tak jumpa umi”

Menurut Pakar Pemakanan (Dietitian), Hospital Sungai Petani, Nur Zakira Imana Mohd Fadzil ibu bapa tidak perlu memaksa anak-anak kecil berpuasa.

“Tetapi ibu bapa perlu fahami mereka, memeriksa kemampuan dan bertanya jika ingin cuba berpuasa dan mula secara berperingkat.



Kanak-kanak akan seronok berpuasa jika mendapat sokongan daripada ibu bapa.

“Dari segi fizikalnya, mereka ini tidak berpengalaman dan masih belum cukup memahami tentang kewajipan berpuasa secara mendalam, ” kongsinya kepada mStar.

Nur Zakira turut memberi beberapa tip untuk ibu bapa melatih anak-anak kecil supaya seronok berpuasa

Peringkat umur mula berpuasa

Tiada usia yang ditetapkan bagi kanak-kanak untuk mula melatih diri berpuasa.

Namun ia boleh dilakukan secara berperingkat dan ibu bapa haruslah memantau kemampuan anak-anak yang mula berpuasa.

Makanan seimbang

Seperti pemakanan orang dewasa, kanak-kanak juga mesti dibekalkan tenaga dengan pemakanan yang seimbang dan berkhasiat bagi membantu meningkatkan daya tahan anak semasa berpuasa.

Pemakanan seimbang bermaksud hidangan lengkap yang mengandungi sumber karbohidrat, protin, lemak dan serat.



Pemakanan seimbang penting untuk tenaga anak-anak sepanjang berpuasa.

Antara hidangan sahur yang disarankan adalah sepinggan nasi yang mengandungi lauk pauk seperti ayam, ikan atau telur serta sayur-sayuran.

Sayur-sayuran dan 3 biji buah kurma amat penting semasa bersahur kerana ianya membekalkan sumber serat yang tinggi bagi mengekalkan rasa kenyang yang lebih lama.

Jika tidak mengambil hidangan nasi, pastikan sumber karbohidrat lain diganti seperti roti, bihun, spagetti dan lain lain bersama hidangan protin dan serat.

Pengambilan segelas susu dan buah kurma amat penting untuk membekalkan tenaga yang cukup sepanjang berpuasa.

Berat badan turun mendadak

Makanan yang tinggi kalori dan protein dapat meningkatkan berat badan.

Contoh makanan yang tinggi kalori adalah makanan bergoreng, susu penuh krim, dan hidangan sepinggan nasi.

Jadi, pastikan anak-anak mengambil hidangan yang lengkap semasa berbuka puasa dan bersahur.

Selain itu, anak-anak yang berpuasa digalakkan mengambil makanan ringan sebelum tidur seperti roti, bijirin dan susu untuk menambah kalori bagi megelakkan penurunan berat badan

Air kosong vs air manis

Sebagai ibu bapa, kita mestilah menerangkan kepentingan pengambilan air masak untuk kesihatan kepada anak-anak.

Dehidrasi atau kekurangan air dalam badan boleh mengakibatkan banyak kesan buruk kepada kesihatan anak-anak.

Jika anak-anak sudah memahami kepentingan ini, mudah untuk mereka mengikut saranan pengambilan air lapan gelas sehari.



Kawal pengambilan minuman manis untuk anak-anak kecil ketika berbuka puasa.

Ibu bapa juga mesti mengatur jadual pengambilan air semasa berbuka puasa, dua jam selepas berbuka puasa, sebelum tidur dan semasa bersahur bagi memastikan pengambilan air cukup seperti yang disarankan tetapi tidak membebankan mereka.

Sekiranya anak-anak tak mampu berpuasa separuh hari ataupun sepanjang hari, jangan sesekali mengejek, mengungkit, atau memalukan anak yang tidak berpuasa di hadapan orang lain.

Ia boleh menjadikan mereka kurang yakin diri dan tak mahu mencuba lagi.

Apa yang penting, banyak-banyak berdoa pada Allah agar dipermudahkan segalanya.

Puasa, Seronok, Kanak-Kanak

Artikel Lain