SETIAP kali membeli buah atau sayur-sayuran, perkara pertama yang akan kita lakukan apabila sampai ke rumah adalah menyimpan barangan tersebut dalam peti sejuk, bukan? Kita buat begitu kerana merasakan ia perlukan udara sejuk untuk terus kekal segar tetapi sebenarnya ada beberapa jenis buah yang tidak patut disimpan dalam peti sejuk. Ini kerana tidak semua buah boleh tahan 'sejuk' dan ia akan kekal segar lebih lama sekiranya anda letakkan di dalam bakul dalam suhu bilik.ARTIKEL BERKAITAN: Siapa kata buat kerja rumah tak boleh kurus? Ini 5 aktiviti setanding bersenam Berikut adalah senarai beberapa buah yang tidak perlu disimpan dalam peti sejuk tetapi tetap akan segar! 1. Tomato Jika difikirkan, peniaga atau pasar raya tidak pernah meletakkan tomato di dalam peti sejuk dan ia dipamerkan dengan bahan-bahan kering lain seperti bawang, ubi kentang dan sebagainya. Ini kerana, tomato boleh hidup segar dalam suhu biasa dan jika disimpan dalam peti sejuk ia boleh membuatkan rasanya masam dan teksturnya kasar. 2. Epal dan buah pir Jika anda suka simpan dua buah ini dalam peti sejuk, boleh ubah tabiat itu kerana ia akan mempercepatkan proses pematangan buah. Sebab itu ia cepat rosak dan isinya menjadi lembik dan tak ranggup! 3. Pisang Di pasar raya sendiri, mereka akan meletakkan pisang di atas rak. Itu juga yang perlu anda lakukan di rumah! Satu-satunya situasi yang membolehkan anda simpan pisang dalam peti sejuk apabila ia sudah terlalu masak. Ia dapat menghentikan proses kematangannya dan boleh digunakan untuk membuat kek atau cekodok pisang! 4. Tembikai Sedapnya tembikai sejuk! Betul tapi sebelum memotongnya biarkan ia di atas rak dan tidak perlu disimpan dalam peti sejuk. Sejukkan apabila ingin memakannya agar lebih sedap dan segar. Jika disimpan dalam peti sejuk, ia akan berubah menjadi pucat dan isinya keras. 5. Avocado Cuba simpan avocado dalam peti sejuk dan potong selepas beberapa hari - anda akan dapati isinya menjadi kehitaman dan rasa manisnya akan menjadi sedikit pahit. Sebaik-baiknya, beli buah-buahan yang mudah rosak ini apabila anda benar-benar memerlukannya dan bukannya beli untuk disimpan dalam peti sejuk! Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!