suria

Cukupkah jarak satu meter untuk elak jangkitan Covid-19?

Penjarakkan sosial dapat membendung penularan virus.

SETIAP hari kita mendengar Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengingatkan masyarakat agar mengamalkan jarak satu meter bagi mengekang penularan Covid-19 dalam sidang media hariannya.

Tapi kenapa perlu menjarakkan diri satu meter dan bukannya dua atau lima meter?

Apabila seseorang itu bersin, kadar kelajuan titisan cecair atau droplet dianggarkan 150km/j dan boleh tersebar antara satu hingga dua meter.

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan anggap topeng muka merimaskan... kajian dedah virus Covid-19 boleh tersebar melalui pernafasan, percakapan!

Berdasarkan kajian saintifik terhadap virus yang menyerang saluran pernafasan sama seperti Covid-19, satu meter adalah jarak minima yang memadai namun lebih daripada itu adalah lebih baik.

"Asasnya ialah semakin dekat kita dengan orang yang telah dijangkiti Covid-19, semakin tinggi peluang kita terkena jangkitan.

"Jarak satu meter ini disokong WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) dan majoriti negara menggunakan jarak ini sebagai jarak minima penjarakkan sosial seperti China, Hong Kong, Denmark, Perancis dan Malaysia," kata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi laman rasminya di Facebook.



Tidak bersentuhan atau bersalaman juga diterapkan bagi mengelakkan penularan Covid-19.

Bagaimanapun ada negara menetapkan jarak minima berbeza seperti Korea Selatan (1.4 meter), Australia, Jerman, Itali (1.5 meter), Amerika Syarikat (1.8 meter) dan United Kingdom, Kanada serta Sepanyol (2 meter).

Sementara itu, kajian terbaharu dikeluarkan jurnal perubatan, The Lancet menyatakan jarak satu meter sudah cukup untuk mengurangkan risiko jangkitan.

Ini kerana selain jarak, fakor masa juga turut diambil kira.

"Berada selama enam saat pada jarak satu meter dengan positif Covid-19 sama risiko untuk terkena jangkitan jika berada satu minit pada jarak dua meter.

"Asasnya, makin lama kita berada dekat dengan pesakit, makin tinggi risiko untuk kita terkena jangkitan," jelas KKM.

Faktor inilah antara kriteria digunakan oleh petugas kesihatan KKM di lapangan untuk menjejaki kontak rapat kepada pesakit Covid-19.

Atas sebab itu juga, tidak semua orang yang pernah berhubung rapat dengan positif Covid-19 dikategori kontak rapat selain tidak semua kontak rapat dikenal pasti itu dijangkiti virus itu kerana faktor jarak dan masa.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Covid-19, Penjarakkan Sosial, Virus, WHO, KKM

Artikel Lain