suria

Komer... Jangan 'ingker' dah boleh rentas negeri!

Pemandangan yang dijangka dapat dilihat pada hujung minggu ini apabila ramai mengambil peluang untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

NAMPAKNYA komer semua senyum lebor selepas Perdana Menteri mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) diganti dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun sehingga 31 Ogos depan.

Mana tidaknya, bermula tarikh itu juga perjalanan rentas negeri dibenarkan kecuali di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Inilah saat yang kita nanti-nantikan... Terbayang terus wajah ayah dan ibu serta kaum keluarga yang sudah tiga bulan terpisah. Kelonggaran diberikan itu adalah peluang untuk bertemu kembali dengan orang kesayangan tambahan pula kita masih dalam bulan Syawal.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak dapat balik beraya tanda kasih sayang kepada ibu bapa... elak mereka dijangkiti, kita mampu harunginya!

Dari sudut positifnya, khabar gembira itu adalah atas hasil usaha kita juga yang mematuhi semua saranan kerajaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKPB yang dilaksanakan kerajaan.

Kebenaran itu seperti hadiah berharga buat semua rakyat Malaysia yang sudah bertungkus lumus dan bersama-sama melandaikan penularan wabak Covid-19 di negara ini yang penuh dengan suka, duka serta keperitan.

Reaksi yang teman tengok di laman sosial seperti Facebook dan Instagram juga rata-rata menyambut baik pengumuman itu serta mula merancang perjalanan ke kampung malah bercuti di dalam negara.



Pastikan kita mematuhi arahan dan SOP ditetapkan agar tiada kluster baharu wujud.

Maka tak hairan, Pulau Langkawi antara destinasi pelancongan domestik popular menerima tempahan luar biasa sebaik sahaja pengumuman itu dibuat.

Tapi dalam kita berseronok dapat bercuti dan pulang ke kampung, teman harap komer jangan ingker (seronok sangat). Laluan utama lebuh raya ke arah Utara dan Selatan juga dijangka sibuk hujung minggu ini dan ia turut membimbangkan.

Bayangkan berapa ramai akan ambil peluang ini untuk pulang ke kampung halaman? Bukannya salah tapi sebaik-baiknya kita berhati-hati dan rancang perjalanan dengan betul.

Teman harap sangat kita semua tetap menjaga diri dan semua mengikuti semua SOP ditetapkan kerajaan dan bukannya menganggap ini sebagai satu tempoh berseronok!

Tepuk dada, tanya iman - adakah kita sanggup mengharungi sekali lagi PKP? Ini bukan masanya untuk kita berkumpul dengan adik-beradik dan saudara mara bagi melepaskan kerinduan.

Sebaik-baiknya, tetapkan jadual dengan adik-beradik lain, agar kita tidak berkumpul terlalu ramai di kampung. Sentiasa ingatkan diri bahawa kita boleh menjadi punca penyebaran virus itu. Teman pasti komer juga tidak mahu menyebarkan sebarang virus kepada orang yang tersayang, bukan?

Negara kita mungkin sudah tidak banyak kes Covid-19 tetapi seperti mana misterinya virus itu, tiada sebab ia tak boleh menyerang kita secara senyap.

Jangan kita anggap ini sebagai satu kebebasan untuk berbuat apa sahaja sebaliknya inilah masanya kita buktikan bahawa kita boleh hidup dalam 'New Normal'.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain