suria

Minat atau obses? Impi miliki syarikat penerbangan sendiri, anak Johor ini 'bina' KIM International Airport

Kebanggaan... Akim bersama koleksi pesawat dan replika kapal terbang yang dibinanya sendiri.

SEJAK dibangku sekolah, Abdul Hakim Marsin cukup obses dengan segala perkara berkaitan kapal terbang sehinggakan dia memasang angan-angan untuk bergelar seorang kru kabin.

Pantang nampak replika kapal terbang yang dijual di kedai mainan atau dalam talian, pemuda berusia 27 tahun ini pasti akan membelinya untuk dijadikan koleksi.

ARTIKEL BERKAITAN: Gong ganti loceng rumah, idea rare Azmin Aziz! Kereta klasik MGYA antara ratusan koleksi 30 tahun paling berharga - “Ia bukan sekadar kenang zaman dahulu...”

"Kalau bercakap tentang minat terhadap kapal terbang, ia bermula sejak saya dibangku sekolah lagi. Setiap kali melihat kapal terbang, saya pasti teruja dan memasang angan-angan menaikinya suatu hari nanti untuk ke destinasi kegemaran saya.



Akim berhasrat untuk merealisasikan replika KIM International Airport menjadi nyata.

"Saya mula mengumpul replika kapal terbang sejak 2011 dan sehingga kini saya mempunyai koleksi lebih 20 pesawat," katanya kepada mStar.

Minatnya itu juga membuatkan Hakim atau lebih mesra dengan sapaan Akim memasang cita-cita untuk bergelar seorang kru kabin.

Bagaimanapun hasratnya itu tidak kesampaian di atas sebab-sebab tertentu.



Akim menghabiskan RM1,000 untuk membina replika itu.

Pun begitu kata anak kelahiran Johor ini, dia tetap diterima bekerja sebagai Pembantu Khidmat Pelanggan syarikat penerbangan tambang murah, Air Asia sejak 2018 sebelum perkhidmatannya ditamatkan sekitar Jun lalu akibat pandemik Covid-19.

Tugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor sepanjang tempoh itu membuatkan minat Akim terhadap industri penerbangan semakin mendalam.

Daripada hanya mengumpul replika kapal terbang daripada pelbagai syarikat penerbangan, Akim turut membina replika lapangan terbangnya sendiri yang diberi nama KIM International Airport.



Sebahagian foto yang dikongsi Akim.

Nama itu diambil bersempena namanya 'Akim' dan dia telah membelanjakan lebih RM1,000 untuk membuat model lapangan terbang serta menyusun replika pesawat dalam koleksinya.

"Biasanya saya akan ke kedai aksesori di bahagian permainan kanak-kanak untuk mencari bahan-bahan membuat lapangan terbang KIM International Airport," ujarnya.

Cerita Akim, rekaan lapangan terbang itu juga dibuat berdasarkan pemerhatian di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dan menjadikannya sebagai inspirasi kepada pembinaan model tersebut.



Antara koleksi kesayangannya yang dikumpul sejak 2011.

"Semasa bekerja, saya pernah ditempatkan di beberapa bahagian dan hasil pemerhatian saya dijadikan sebagai ilham bagi membina replika lapangan terbang saya sendiri," ujarnya.

Dalam pada itu, Akim berkata, sejak tidak lagi berkhidmat dengan Air Asia, dia banyak menghabiskan masa mencantikkan lagi replika lapangan terbangnya.

Tambahnya, dia tidak melihat minatnya itu sekadar hobi sebaliknya memasang impian untuk memiliki sebuah syarikat penerbangannya sendiri suatu hari nanti malah menjadikan bekas majikannya, Ketua Pegawai Eksekutif Air Asia, Tan Sri Tony Fernandes sebagai inspirasi.

"Saya berharap agar pandemik Covid-19 ini akan segera pulih dan saya mahu kembali bekerja dalam industri penerbangan yang amat saya cintai," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Replika, Hobi, Air Asia, Kapal Terbang, Pesawat

Artikel Lain