suria

Bukan biasa-biasa... Hanya guna cap jari, pensyarah hasilkan potret Tunku Abdul Rahman!

Pelukis, Vivian Ng bersama potret Tunku Abdul rahman yang dihasilkan menggunakan cap jari tangan kanannya. Foto Ihsan Niuniu's Gallery

CAP jari adalah salah satu bahagian penting dalam menentukan identiti seseorang yang memberi gambaran jelas mengenai siapa diri kita, malahan ia sememangnya sukar ditemui atau ditiru.

Bagi pelukis potret, Vivian Ng Suet Yuan, ia juga adalah metafora tepat bagi menggambarkan identiti pelbagai budaya yang terdapat di Malaysia, seperti mana cap jari, ia unik dan tidak dapat diganti dengan apa sekali pun.

ARTIKEL BERKAITAN: Gong ganti loceng rumah, idea rare Azmin Aziz! Kereta klasik MGYA antara ratusan koleksi 30 tahun paling berharga - “Ia bukan sekadar kenang zaman dahulu...”

Atas dasar itu, Ng memutuskan untuk menghasilkan sebuah potret Tunku Abdul Rahman yang juga Perdana Menteri Malaysia Pertama dengan hanya menggunakan cap jari.



Ng menggunakan cap jari tangan kanan bagi menyiapkan potret Tunku Abdul Rahman.

Karya yang berjudul 'Hargai Keharmonian' itu mengambil masa selama lima hari untuk disiapkan dengan ribuan cap jari tangannya digunakan bagi menyiapkan potret itu.

Lebih menarik, Ng menggunaakan tiga warna; kuning, hitam dan merah yang menandakan bangsa Melayu, Cina dan India.

"Ini adalah potret cap jari saya yang pertama. Tunku Abdul Rahman adalah Bapa Malaysia. Saya harap kita akan selalu ingat apa yang telah beliau sumbangkan kepada negara 63 tahun yang lalu," kata wanita berusia 28 tahun ini merujuk kepada pengisytiharan kemerdekaan negara oleh Tunku Abdul Rahman pada 31 Ogos 1957.

"Saya bukan ahli politik, saya juga tidak boleh membuat banyak perubahan atau mengharapkan sebarang perubahan. Tetapi saya boleh menggunakan tangan saya untuk memberi penghormatan kepada bapa pengasas Malaysia.



Ng turut menghasilkan dua lagi potret tokoh kemerdekaan, Tun Tan Cheng Lock dan Tun V. T. Sambanathan.

"Sekurang-kurangnya saya berharap selagi ada orang yang melihat lukisan ini, ia akan mengingatkan mereka tentang semangat patriotisme," katanya.

Ng yang berasal dari Bentong, Pahang adalah pengasas Galeri Niuniu dan dia juga pernah menyambung pengajian dalam bidang seni bina dan reka bentuk serta mempunyai Ijazah Sarjana Seni Bina Landskap Universiti Leeds Beckett, England.

Selain sibuk melukis dan menguruskan galeri miliknya, Ng juga bergelar pensyarah di sebuah kolej di Petaling Jaya.

Ini bukan kali pertama Ng menghasilkan potret pemimpin terkenal Malaysia, bulan lalu, dia pernah menghasilkan potret Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.



Ng mengambil masa lima hari menyiapkan potret berkenaan.

Selain potret Tunku Abdul Rahman, Ng turut menghasilkan dua lagi tokoh politik era kemerdekaan, Tun Tan Cheng Lock dan Tun V. T. Sambanathan yang pernah menemani Tunku ke Britian untuk berunding tentang kemerdekaan.

"Sempena hari kemerdekaan, harapan saya agar kita terus memiliki negara yang aman selain keharmonian di antara semua kaum di Malaysia," katanya.

Semua potret yang dihasilkan Ng sedang dipamerkan di Galeri Niuniu yang terletak di Sungai Chua, Kajang, Selangor. - THE STAR

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain