suria

Jom tambah ilmu.. pasti seronok masuk kelas bahasa Mandarin bersama Cikgu Tang

Jom belajar Bahasa Mandarin bersama Cikgu Tang.

BAGI mewujudkan suasana pembelajaran menarik dalam kalangan kanak-kanak, terdapat pelbagai cara yang boleh dilakukan selain bahan bacaan secara fizikal.

Atas dasar itu, Majalah Kuntum kini mengorak langkah dengan memperkenalkan siri animasi dan video-video pembelajaran yang menarik di YouTube menerusi saluran Kuntum Star.

ARTIKEL BERKAITAN: Cabar adrenalin dalam pusat beli belah! Ini 11 permainan lasak lagi mendebarkan anda kena cuba di Escape Challenge

Menerusi Kuntum Star, ibu bapa dan pembaca setia Majalah Kuntum boleh mengenali dengan lebih dekat watak serta maskot utama majalah itu, Pintar dan Comel dalam siri animasi dengan teknik 2D yang diketengahkan selain siri Belajar Bahasa Mandarin Bersama Cikgu Tang seperti Kenali Kuntum, Kelab Sains Pintar dan Chef Jr. Kuali.



Cikgu Tang mengajar bahasa Mandarin dengan cara mudah difahami.

Istimewanya, siri animasi Majalah Kuntum yang dipertontonkan memfokuskan kepada penerapan elemen dan nilai moral baik serta memupuk amalan murni dalam kalangan penonton cilik yang terdiri daripada latar belakang sosial berbeza dan berbilang bangsa.

Selama 40 tahun berjaya bertahan di persada industri penerbitan majalah negara, jenama Majalah Kuntum yang diterbitkan oleh Star Media Group Berhad ingin sentiasa dekat di hati pembacanya dengan bergerak seiring mengikut peredaran masa dan teknologi.

Kini, melalui saluran YouTube Kuntum Star anda berpeluang melihat Pintar dan Comel beraksi di samping keletah tidak kering gusi rakan-rakannya.

Bukan itu sahaja, anda juga jangan ketinggalan untuk turut mengikuti siri animasi mempelajari Bahasa Mandarin. Siri ini dapat membantu penonton dalam meningkatkan kemahiran mempelajari bahasa Mandarin yang dikelolakan oleh Cikgu Tang.



Maskot Majalah Kuntum, Pintar dan Comel.

Dengan tagline ‘Mendidik Sambil Menghibur’, siri animasi ‘Belajar Bahasa Mandarin Bersama Cikgu Tang’ diharapkan dapat melahirkan rasa seronok dan menarik minat si kecil untuk mempelajari bahasa Mandarin dalam suasana santai dan ceria hanya melalui gajet atau peranti telefon pintar anda.

Malah, melalui siri animasi ‘Belajar Bahasa Mandarin Bersama Cikgu Tang’, sesi pembelajaran yang mudah difahami ini disertai dengan latihan menulis dengan betul. Ini kerana ramai tahu berbahasa Mandarin tetapi tidak tahu menulis dan membaca bahasa itu.

Cikgu Tang juga mengajar tentang aspek pertuturan dan sebutan yang betul. Anda dan si kecil pasti teruja menonton animasi berbentuk video grafik yang menarik dalam suasana kelas yang sebenar.

Mari sama-sama memupuk sifat ingin tahu bersama Majalah Kuntum dalam meneroka alam ilmu pengetahuan tanpa sempadan. Ikuti kami di YouTube... Selamat menonton dan terhibur!

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain