suria

Apa itu My Shakhsiyyah AR? Yang pasti bukan calang-calang, dah menang 10 anugerah!

My Shakhsiyyah AR merupakan aplikasi telefon pintar yang mengandungi teknologi augmented reality (AR) atau realiti terimbuh untuk menjelaskan akhlak Islam.

SEIRING dengan perubahan teknologi, pensyarah dan penuntut di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu telah berjaya membangunkan sebuah aplikasi yang mengandungi teknologi Augmented Reality (AR) atau realiti terimbuh.

Ketua projek inovasi ini, Dr. Mohd Hasrul Shuhari menjelaskan aplikasi My Shakhsiyyah AR dibangunkan bagi menjelaskan akhlak dalam Islam yang perlu dimiliki oleh seorang Muslim.

"My Shakhsiyyah atau sahsiahku yang bermaksud sifat-sifat yang membezakan seseorang dengan yang lain. Ringkasnya, ia berkaitan akhlak dan sifat mulia yang perlu dimiliki oleh seseorang Muslim.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak susah kekal produktif kerja dari rumah... cuba 7 cara ini pasti anda enjoy!

"Untuk menjelaskan berkenaan akhlak Islam, teknologi AR dimanfaatkan penggunaannya agar ia dapat menarik minat orang ramai," katanya yang juga pensyarah kanan di Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), UniSZA.



My Shakhsiyyah Speaking Dictionary memudahkan pengguna mencari maksud sesuatu perkataan.

Teknologi AR ini dicipta oleh Morton Heilig pada tahun 1962, yang mana beliau mendefiniskan AR ini sebagai keadaan di mana pengguna dapat melihat gabungan objek maya dan dunia sebenar dalam masa nyata.

Ia juga dianggap sebagai proses yang menggabungkan objek maya ke dalam dunia nyata yang bersifat interaktif secara realiti dalam bentuk animasi 2D dan 3D.

Dalam pada itu, Dr. Mohd Hasrul berkata, aplikasi ini mengandungi marker (penanda) yang mana apabila diimbas ia akan memaparkan pada skrin telefon pintar antaranya video bacaan al-Quran, animasi rehal yang mengandungi ayat al-Quran dan pilihan pembaca al-Quran berkenaan ayat tentang akhlak.



My Shakhsiyyah Game adalah aplikasi permainan yang diadaptasi dari game Super Mario.

Ia juga mengandungi video-video animasi berkenaan adab-adab antaranya adab dengan guru, ibu bapa, ketika tidur dan lain-lain.

"Aplikasi AR ini juga digabungkan dengan dua aplikasi yang lain iaitu My Shakhsiyyah Game dan My Shakhsiyyah Speaking Dictionary.

"My Shakhsiyyah Game adalah aplikasi permainan yang diadaptasi dari game Super Mario. Ia dibangunkan dengan menggunakan perisian pengarangan multimedia seperti adobe flash, adobe photoshop dan beberapa perisian lain," jelasnya.

Tidak hanya itu, Dr. Mohd Hasrul memberitahu elemen multimedia seperti animasi, grafik, audio dan teks juga digunakan.

"Setelah diimbas pada markernya, pengguna boleh bermain game menerusi telefon pintar dan komputer. Permainan ini memerlukan kawalan daripada pengguna untuk mengendalikan watak di atas platform yang sedia ada.

"Watak perlu mengharungi beberapa rintangan dan soalan berkaitan sifat-sifat mahmudah berdasarkan pandangan Imam al-Ghazali perlu dijawab untuk menamatkan permainan ini dengan berjaya," ujarnya.



Aplikasi ini mengandungi marker (penanda) yang mana apabila diimbas ia akan memaparkan pada skrin telefon pintar.

Sementara itu, turut disertakan adalah My Shakhsiyyah Speaking Dictionary iaitu teknologi voice recognition yang boleh mengesan suara pengguna.

Ini jelasnya, apabila marker ARnya diimbas, ia akan membawa pengguna ke pautan khas. Pautan tersebut menyediakan kemudahan kepada penguna untuk mencari istilah-istilah dalam Pengajian Islam seperti istilah dalam bidang akidah, syariah, akhlak, ilmu kalam, mantik dan lain-lain.

"Contohnya, apabila sesuatu istilah dalam bidang akhlak disebut padanya, ia akan memaparkan definisinya secara bersuara dan bertulis. Di samping itu, dinyatakan juga sumber bagi definisi istilah-istilah tersebut dari buku-buku istilah berautoriti yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

"Ia juga secara automatik memaparkan video-video youtube yang berkaitan istilah yang berkaitan," katanya.

Dr. Mohd Hasrul memberitahu berdasarkan kajian soal selidik yang dilaksanakan kepada 100 pelajar, 90 peratus daripada mereka bersetuju bahawa pembelajaran akhlak menerusi aplikasi ini dapat menarik minat untuk memahami tentang akhlak yang mulia.



Dr. Mohd Hasrul (tiga dari kiri) menerima anugerah MPI UniSZA 2019.

Selain Dr. Mohd Hasrul, projek inovasi ini turut disertai oleh kumpulan dari UniSZA dan telah berjaya memenangi 10 anugerah daripada enam pertandingan inovasi termasuk MPI UniSZA 2019, UniCeL UniSZA 2019, PIP UUM 2019, IUCEL UNIMAS 2019, PECIPTA UTHM 2019 dan MPI 2020 Kolej Universiti TATI.

Anugerah yang diperolehi menerusi pertandingan inovasi tersebut ialah 1 Special Award, 5 Gold, dan 4 Silver. Anugerah ini melibatkan aplikasi My Shakhsiyyah Game dan My Shakhsiyyah Speaking Dictionary secara berasingan dan juga aplikasi secara gabungan iaitu My Shakhsiyyah AR.

"Saya berharap agar inovasi ini dapat ditambah baik berdasarkan respon dari pengguna dan kini sedang berusaha untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk mengkomersialkannya," katanya.

Artikel Lain