suria

Rupa-rupanya ada cara ‘berbual’ dengan kucing... sangat mudah, jom cuba!

"Hai, awak apa khabar?" -foto Getty

SAINTIS mendapati bahawa mengecilkan mata anda adalah cara terbaik untuk membina hubungan dengan kucing.

Dalam satu kajian oleh universiti-universiti di Portsmouth dan Sussex, United Kingdom, penyelidik mendapati bahawa teknik itu sebenarnya meniru senyuman yang diberikan oleh kucing.

Ia sekali gus akan menjadikan manusia nampak lebih menarik bagi si bulus.

ARTIKEL BERKAITAN: Kajian: Kucing sebenarnya tahu namanya, cuma kadang-kadang pilih buat 'dek' apabila dipanggil

Profesor Karen McComb, dari Sekolah Psikologi di University of Sussex yang menyelia penyelidikan itu berkata: "Sebagai seorang yang telah mempelajari tingkah laku haiwan dan merupakan pemilik kucing, gembira apabila dapat tunjukkan bahawa kucing dan manusia dapat berkomunikasi dengan cara ini.

"Ini adalah sesuatu yang telah disyaki oleh banyak pemilik kucing, apabila dapat membuktikannya ia sangat menggembirakan.

"Pertama sekali, kajian ini untuk mengkaji secara eksperimen peranan 'kerdipan mata perlahan' dalam komunikasi antara kucing-manusia.

"Anda boleh cuba sendiri dengan kucing anda di rumah, atau dengan kucing yang anda temui di jalanan. Ini adalah kaedah terbaik untuk mewujudkan ikatan dengan kucing.

"Cuba kecilkan mata ke arah mereka seperti sedang senyum santai, kemudian pejamkan mata selama beberapa saat. Anda akan dapati mereka bertindak balas dengan cara sama dan anda boleh memulakan satu perbualan," katanya.



Mengecilkan mata anda seperti mana yang sering dilakukan oleh kucing dapat mewujudkan komunikasi dua hala. -foto Getty

Pasukan penyelidik itu yang diketuai oleh Dr Tasmin Humphrey dan Profesor Karen McComb, saintis tingkah laku haiwan di University of Sussex, melakukan dua eksperimen untuk kajian yang diterbitkan dalam jurnal Nature Scientific Reports.

Eksperimen pertama mendedahkan bahawa kucing lebih cenderung melakukan kerdipan mata secara perlahan kepada pemiliknya setelah pemiliknya melakukannya terlebih dahulu, berbanding ketika mereka tidak berinteraksi.

Eksperimen kedua pula, yang mana kali ini seorang penyelidik dari pasukan psikologi mendapati bahawa kucing lebih cenderung mendekati tangan orang yang melakukan eksperimen selepas mereka mengenyit mata kepada si bulus itu, berbanding ketika mereka menggunakan ekspresi neutral.

Dr Humphrey berkata: "Memahami secara positif bagaimana kucing dan manusia berinteraksi dapat meningkatkan pemahaman masyarakat terhadap haiwan itu, meningkatkan kebajikan dan dapat memberitahu kita mengenai kemampuan sosio-kognitif spesies yang kurang dikaji ini.

"Penemuan ini berpotensi digunakan untuk menilai kesejahteraan kucing dalam pelbagai keadaan, termasuk praktis veterinar dan tempat perlindungan," katanya. -MetroUK

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain