LUKISAN mural 3D yang memaparkan keindahan kawasan jelapang padi berlatarbelakangkan Gunung Jerai dan keadaan penanaman padi pada tahun 1879, bakal menjadi tarikan baharu kepada pengunjung yang melawat Alor Setar, Kedah. Lukisan bertemakan ‘Alor Setar Tradisi 1879' pada tembok dinding Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Setar lama di Jalan Penjara, di sini adalah inisiatif Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) bertujuan memperindahkan pemandangan bandar raya selain menyingkap nostalgia tanaman padi secara tradisional.ARTIKEL BERKAITAN: Warga emas Terengganu tak peduli dianggap gila, kutip 9,000 botol kaca di pesisir pantai... paling sempoi siap buka muzium! Datuk Bandar Alor Setar Datuk Zaid Ahmad lukisan sepanjang 37 meter itu dihasilkan oleh sekumpulan pelukis profesional yang diminta menggambarkan keadaan atau proses tanaman padi yang diamalkan petani pada 1879.“Sebelum ini, tembok berkenaan kelihatan agak kusam dan berlumut, jadi MBAS mengambil inisiatif mengindahkan tembok ini dengan lukisan mural dengan beberapa elemen bagi mengimbau kembali proses tanaman pada 1879 di daerah ini, ” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini. Pelukis mural, Datuk Chen Teck Ming tekun mewarnakan lukisan mural 3D memaparkan keindahan kawasan jelapang padi berlatar belakangkan Gunung Jerai. Katanya, lukisan mural itu terbahagi kepada dua bahagian dengan bahagian pertama sepanjang 12 meter memaparkan keindahan pemandangan jelapang padi pada waktu siang dengan kombinasi pelbagai warna. Sementara bahagian kedua sepanjang 25 meter hanya menggunakan warna hitam dan putih memaparkan keadaan atau cabaran masyarakat pada 1879 mengusahakan penanaman padi termasuk proses menanam, memotong atau mengerat padi dan membajak menggunakan kerbau. Pelukis utama lukisan mural tersebut Datuk Chen Teck Ming, 55, berkata beliau bersama 10 lagi individu telah memulakan lukisan itu pada 29 Sept lalu dan akan siap sepenuhnya dalam masa terdekat. “Bagi menghasilkan lukisan mural ini, kami menggunakan cat kalis air dan cuaca untuk memastikan mural ini bertahan lama. Saya berharap lukisan ini dapat mengembalikan nostalgia selain memberi didikan kepada generasi muda mengenai susah-payah pesawah dahulu menanam padi dan mencari rezeki, ” katanya. Chen, pernah menghasilkan mural pada dinding selebar 27.44 meter dengan ketinggian 14.6 meter di sebuah premis di Jalan Abdul Jalil, Taiping, Perak sehingga tercatat dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai lukisan luaran 3D terbesar di negara ini, tahun lepas. - BERNAMA Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!