suria

Menuju kegemilangan... Ayuh pereka muda, perkasakan industri buluh negara ke persada dunia

Industri buluh mempunyai potensi besar.

MALAYSIA terkenal sebagai pengeksport utama kayu dan produk berkaitan kayu tetapi tidak ramai yang mengetahui adanya produk berasaskan buluh yang mempunyai potensi besar untuk dieksport.

Terdapat 70 spesies buluh di Malaysia di mana 20 spesies dikategorikan sebagai spesies terbaik dunia dan ia terdapat di hutan asli di negara ini dimana spesies utama termasuk buluh jenis Beting, Betung, Semantan dan Tumpat.

Buluh adalah komoditi yang digunakan oleh sepertiga penduduk dunia sebagai bahan penting untuk pembinaan rumah. Ia juga digunakan untuk pembuatan rakit secara tradisional yang berfungsi sebagai pengangkutan penting selain digunakan secara meluas dalam bidang pertanian, pembinaan, seni dan kraftangan, pembuatan perabot dan sebagainya.

Ia boleh menjadi sumber bahan mentah yang mampan memandangkan buluh cepat matang hanya dalam masa tiga hingga empat tahun dan dapat hidup sehingga 100 tahun lamanya.

Industri ini telah berkembang pesat apabila jumlah eksport yang dicatatkan pada tahun 2015 hanya RM791,000 melonjak kepada RM9.16 juta pada tahun 2019.

Ia sejajar dengan Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh 2011-2020 dimana didalam pelan tersebut terdapat lima teras strategik, iaitu - penubuhan ladang buluh, melestarikan pengurusan sumber asli sedia ada, pembangunan modal insan, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta promosi dan perdagangan.

Sebelum ini, tidak ada ladang buluh komersial melainkan ia tumbuh secara semula jadi di hutan atau berhampiran kawasan kampung yang menjadikan proses penuaian kadang kala sukar dilakukan.



Papan buluh berlaminasi boleh digunakan untuk membuat perabot.

Bagaimanapun sejak 2014, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi melalui anak syarikat milik MTIB, Forest Plantation Development Sdn Bhd - memperkenalkan insentif melalui Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH) dengan memberi pinjaman untuk peladangan buluh sebanyak RM10,000 sehekatar pada kadar faedah tiga peratus.

Bagi mengukuhkan sumber bahan mentah, MTIB juga membangunkan tapak semaian dan makmal kultur tisu di Ipoh, Perak untuk menghasilkan anak benih berkualiti dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 300,000 anak benih setahun.

Program ini juga melibatkan penduduk setempat bagi membangunkan hutan buluh komuniti sebagai tanaman alternatif, selain membuka ruang kerjasama penyelidikan bersama pihak-pihak luar dalam memastikan pembekalan anak benih yang berkualiti untuk kegunaan industri.

MTIB juga turut merangka Model Ladang Buluh seluas 15 hektar di Terengganu untuk penanaman lima spesies buluh iaitu Semantan, Betong, Beting, Beti dan Hitam untuk dijadikan pusat rujukan dan eko-pelancongan bagi meningkatkan kesedaran umum tentang penggunaan buluh sebagai bahan mentah alternatif. Program ini mendapat sokongan kerajaan Negeri Terenggnau.

Sejajar dengan hasrat pihak kerajaan dalam mengetengahkan buluh sebagai sumber bahan mentah alternatif, Pihak MTIB melalui Pusat Biokomposit dan Gentian juga sedang menjalankan beberapa kajian berkaitan buluh termasuk kaedah pengekstrakan gentian buluh melibatkan 13 spesis komersial bagi melihat keupayaan dan kekuatan penghasilan gentian buluh yang dapat digunakan dalam sektor-sektor pembuatan yang menggunakan gentian.

Selain itu, beberapa kajian turut dijalankan antaranya pembangunan produk laminasi sebagai aplikasi struktur dan pembangunan produk perabot moden berasaskan papan laminasi buluh.

MTIB juga turut melakukan aktiviti perkongsian tentang teknologi terkini selain pembangunan sumber manusia kepada pengusaha yang berminat di samping program meningkatkan kapasiti untuk pemain industri melalui perkongsian teknologi terkini di luar negara, perkongsian ilmu dan latihan langsung.

Sementara itu, bagi tujuan pemasaran dan promosi berkaitan produk berasaskan buluh, salah satu kaedah digunakan oleh MTIB adalah melalui penubuhan Pusat Reka Bentuk Tanggam (TDC) yang menyediakan perkhidmatan reka bentuk serta hab bagi pereka, pelajar dan industri berkaitan.

Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Industri MTIB, Nik Zuraihah Nik Mohammad, berkata objektif penubuhan TDC adalah untuk meningkatkan kreativiti pereka muda untuk berkarya untuk menghasilkan rekabentuk yang boleh diterima oleh pasaran.

Sejak penubuhannya pada 2014, ia telah membawa ramai pereka muda tempatan ke peringkat antarabangsa untuk membantu mengkomersialkan rekaan perabot mereka selain mendedahkan portfolio mereka di luar negara.

Hasilnya, pelbagai aktiviti berjaya dikembangkan termasuklah program padanan perniagaan di mana ia menghubungkan pereka dengan pengeluar atau peruncit untuk mewujudkan usaha sama.

"Biasanya, ramai merasakan (kayu) adalah industri yang sudah suram, tetapi sekarang pereka muda kita sudah tahu tentang potensi industri ini.

"Kami bukan entiti perniagaan sebaliknya memfokuskan kepada impak jangka panjang selain membantu industri bergerak untuk menghasilkan produk yang mempunyai nilai dan tahap harga lebih tinggi untuk tujuan eksport dengan beralih daripada industri perabot biasa ke pembuatan reka bentuk dan juga jenama asli," jelasnya.

Permintaan untuk buluh dari Malaysia terus meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan menerusi pelaksanaan strategi yang tepat, potensi industri ini dapat dikembangkan.

MTIB akan melancarkan Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh 2021-2030 sebagai asas kepada perancangan tersusun untuk pembangunan industri ini.

Mengikut pelan tindakan itu, terdapat lima teras strategik termasuk meningkatkan polisi dan memperluaskan sumber bahan mentah, pembangunan modal insan, kepakaran dan keupayaan; memperkukuhkan inovasi, teknologi serta penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan; mengukuhkan rantaian bekalan dan jaminan kualiti serta memperkukuhkan strategi pemasaran dan perkongsian pintar industri buluh.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
MTIB, Buluh, Industri Buluh, Kayu, mStarKlik

Artikel Lain