BANYAK masa terluang yang dimiliki sebahagian besar masyarakat ketika pandemik Covid-19 ini. Memikirkan tentang cara mengisi masa terluang, aktiviti memelihara haiwan barangkali boleh menjadi pilihan bagi mereka yang melihat ia sebagai satu keseronokan atau ketenangan. Namun, berdasarkan ramalan Pinterest dalam Pinterest Predictions, terdapat empat kategori haiwan peliharaan yang dijangka menjadi trend pada tahun depan termasuklah haiwan tak berbulu. ARTIKEL BERKAITAN: Awas jika si bulus gerakkan telinga... Ketahui 4 maksud di sebaliknya! Antara sebab haiwan tidak berbulu ini menjadi pilihan popular pencinta haiwan kerana ia mudah untuk dijaga dan tidak terlalu rumit dari segi perawatan berbanding haiwan lain seperti kucing, anjing dan sebagainya. Berikut merupakan empat haiwan peliharaan yang dijangka bakal trend pada tahun 2021: 1. Iguana Iguana sudah tidak asing lagi menjadi haiwan peliharaan bagi sesetengah individu, bahkan ada juga yang membawa haiwan ini berjalan-jalan menikmati keindahan alam. Jika sebelum ini haiwan ini dilihat kecil dan comel ketika berada di kedai, sebenarnya ia boleh membesar. Haiwan ini dikatakan sesuai bagi mereka yang berani dan ia tidak perlu dijaga dengan rapi asalkan ia mendapat pencahayaan dan makanan secukupnya. 2. Kura-kura Kura-kura antara haiwan tidak berbulu yang jinak dan sesuai dipelihara oleh sesiapa sahaja terutamanya kanak-kanak ketika pandemik ini. Penjagaan kura-kura yang tidak sukar membuatkan lebih ramai berminat untuk menjadikan ia sebagai haiwan peliharaan. Malah, kos untuk menjaga haiwan ini juga tidak tinggi. 3. Kodok Mungkin ada orang berasa geli dengan kodok tetapi sebenarnya ramai mahu menjadikan ia sebagai haiwan peliharaan. Ini kerana ramai merasakan kodok adalah haiwan yang kecil dan comel serta unik. 4. Siput Siput juga antara haiwan yang diminati sejak akhir-akhir ini. Pinterest melaporkan, kata kunci siput melonjak naik dan menunjukkan ia bakal menjadi trend pada tahun hadapan. Penjagaan siput adalah sangat mudah, ia tidak memerlukan usaha atau wang yang banyak. Ini sangat sesuai bagi mereka yang tidak mempunyai banyak masa tetapi mahu memelihara haiwan sebagai teman di rumah. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!