suria

Dalgona Coffee, BPN, 7 Hari Mencintaiku antara carian tertinggi Google Malaysia 2020

Resepi, drama serta bantuan kerajaan pada pandemik antara yang mendapat carian tertinggi di Google Malaysia.

TIADA siapa dapat menyangkal 2020 bukan sahaja tahun yang menyedihkan dan mendebarkan tetapi ia juga memberi pengalaman baharu kepada kita apabila perlu menyesuaikan diri akibat pandemik Covid-19.

Kebanyakan masanya, kita akan duduk di rumah sebagai langkah berjaga-jaga dan lebih banyak menghabiskan masa dengan aktiviti lain termasuk menggunakan internet.

Google Malaysia baru sahaja mengeluarkan senarai tahunan Year in Search iaitu imbasan kembali mengenai carian kolektif sepanjang tempoh 12 bulan lalu - dan ia cukup menarik untuk dilihat.

ARTIKEL BERKAITAN: Binatang tak berbulu dijangka jadi trend haiwan peliharaan 2021, kodok salah satu daripada 4 pilihan!

Apa sahaja yang dicari oleh rakyat Malaysia di Google?

1. Resepi

Makanan dan rakyat Malaysia memang tak boleh berpisah dan tak hairan resepi mendapat carian tertinggi di Google.

Dalgona Coffee mendahului dalam senarai ini yang menjadi fenomena sehinggakan ramai yang berkongsi video cara membuat minuman itu di laman sosial.

Populariti minuman ini turut menyebabkan munculnya versi lain seperti Dalgona Milo yang turut tersenarai sebagai resepi kedua popular carian.

Memandangkan ramai duduk di rumah, memasak dijadikan sebagai hobi dan munculah resepi viral seperti Biscoff Cheesecake, Kek Tornado serta Kek Marble Jelita.

Antara kata kunci carian popular resepi termasuklah Youtiao, Kuih Cek Mek Molek, Apam Balik, Taufufa’dan‘Burnt Cheesecake.

2. Sokongan kewangan

Satu lagi kategori yang menonjol tahun ini adalah carian mengenai bantuan kewangan daripada kerajaan memandangkan sektor ekonomi yang terjejas akibat Covid-19.

Jadi tak hairan, 'Bantuan Prihatin Nasional' dibawah pakej rangsangan ekonomi muncul sebagai carian terhangat dalam kategori ini.

Skim 'Bantuan Sara Hidup' yang diperkenalkan kerajaan pula menduduki tanggan kedua dalam carian sokongan kewangan.

Manakala ‘KWSP i-Lestari’ carian terhangat yang ketiga dalam senarai ini melegakan ahli-ahli KWSP yang dibenarkan pengeluaran sehingga RM500 sebulan daripada akaun 2.

Skim perlindungan kesihatan takaful percuma ‘mySalam’ yang melindungi kira-kira 8 juta rakyat Malaysia berada di kedudukan seterusnya sementara ‘LHDN semakan’ berada di kedudukan yang kelima.

Bantuan lain yang turut menjadi carian terhangat adalah - ‘eGUMIS’, ‘Geran Khas Prihatin’, ‘Program Saringan Prihatin PERKESO’, ‘Bantuan Khas Sarawakku Sayang’ dan ‘Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia’.

3. Covid-19

Tahun ini juga, ramai membuat carian mengenai Covid-19 termasuk langkah berjaga-jaga, perkembangan terkini dan kesedaran mengentikan wabak tersebut.

Selain itu, rakyat Malaysia juga banyak membuat carian mengenai frontliners yang bekerja tanpa henti bagi membantu memerangi virus ini - ‘Coronavirus’, ‘Thank you coronavirus helpers’ dan ‘Coronavirus tips’ menjadi carian terhangat dalam kategori ini.

4. Drama dan program realiti

2020 merupakan tahun di mana kita mencari cara untuk berhibur di rumah. Drama dan program realiti yang ditonton secara maraton mencapai tahap tertinggi di Malaysia dan dunia.

Di Malaysia, senarai carian terhangat adalah drama Forensic Heroes IV selain 7 Hari Mencintaiku 2 berjaya mendapat tontonan sebanyak 12 juta menerusi 33 episod yang ditayangkan.

Drama Korea The world of the Married yang mempunyai pengikut tersendiri selain filem yang memenangi anugerah Oskar, Parasite turut mendapat perhatian.

Selain itu drama yang turut mendapat carian tertinggi termasuklah Line Walker 3, Youth With You musim kedua, Bigg Boss 4 Vote, Crash Landing on You dan Nothing But Thirty.

Artikel Lain