APABILA masuk tahun baharu, pasti ramai daripada kita yang ingin melakukan pelbagai perubahan termasuk hiasan dalam rumah bagi mencipta suasana lebih segar. Nampaknya, pandemik Covid-19 yang melanda dunia sejak setahun lalu turut memberi kesan kepada idea dan motivasi mencantikkan kediaman memandangkan kini kita lebih banyak menghabiskan masa di dalam rumah. ARTIKEL BERKAITAN: Mahu hias rumah secantik ini? Pemiliknya pesan jangan terburu-buru, hias rumah bukan kerja satu hari Pelbagai inspirasi yang wujud dalam fikiran termasuklah untuk mengecat, baik pulih perabot lama atau gantikan dengan yang baharu, mengubah susun atur ruang tamu serta bilik tidur. Bersempena kedatangan 2021, terdapat beberapa konsep yang menjadi pilihan berdasarkan kajian dan data pencarian di Pinterest. 1. Corak neon Gaya popular tahun ini jelas dilihat ramai yang beralih kepada corak atau warna neon. Warna neon yang cerah lagi terang itu sangat diminati ramai lebih-lebih lagi dari segi pencahayaan. Bahan-bahan bercahaya seperti kertas dinding neon, lampu LED berwarna-warni dan lain-lain lagi menjadi idea utama bagi menghias dalaman rumah terutamanya di bahagian bilik tidur. Suasana seperti ini sememangnya diminati oleh golongan Gen Z. 2. Konsep Japandi Ramai yang tertarik dengan reka bentuk rumah berkonsepkan Japandi. Dalam erti kata lain, konsep itu lebih kepada ala timur dan barat. Konsep ini memaparkan rumah yang moden sekaligus nampak mewah jika pandai bermain dengan hiasan. Ciri-cirinya menghias rumah moden Japandi ini lebih kepada warna-warna neutral dari ruang tamu hinggalah ke dapur. 3. Rak dapur sebagai galeri Pinterest mendapati bahawa rak dapur akan menjadi sudut yang akan lebih difokuskan untuk menghias rumah kali ini. Ramai yang akan meluangkan masa sepenuhnya di ruangan ini berbanding dahulu. Oleh itu, idea menghias dapur itu adalah sesuatu yang sudah dapat dijangka. Antaranya reka bentuk dapur, hiasan dapur dengan peralatan memasak atau sebagainya dihias dengan kemas sekali. 4. Ruang kerja di rumah Ini merupakan sudut yang paling penting yang membuatkan ramai yang akan menghias dengan cantik dan kemas. Bekerja dari rumah bukanlah sesuatu yang mudah untuk mendapat motivasi setiap masa. Oleh itu, ramai yang berfikiran dengan menghias ruangan kerja di rumah ini sedikit sebanyak akan membuat mereka lebih selesa dan semangat untuk bekerja dari rumah. Ada juga di antara mereka yang sanggup menghias ruangan kerja ini sehingga menjadi 'closet-office'. Pencarian idea ini melalui pinterest juga terbukti meningkat berkali ganda gara-gara pandemik Covid-19 ini. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!